Menyedari hakikat ini, pelbagai langkah telah diambil dalam usaha membangunkan masyarakat yang mahir dalam pengekodan atau pengaturcaraan komputer.

Pada masa yang sama, demi terus membangunkan ekosistem teknologi negara, minat kepada pengekodan perlu dipupuk dalam diri generasi akan datang.

Ini termasuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak autisme kerana ada antara mereka yang pintar atau genius dalam bidang masing-masing.

Melihat kepentingan tersebut, pusat kecergasan dan aktiviti khusus bagi kanak-kanak autisme, We Rock Spectrum berkolaborasi dengan Microsoft Malaysia menganjurkan program Rocking the Spectrum with an Hour of Code,

Pengasas pusat tersebut, Nori Abdullah, berkata, hari ini pengekodan antara kemahiran yang diperlukan oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Ini kerana, teknologi tersebut akan diguna pakai pada masa hadapan menyebabkan tiada mana-mana golongan terkecuali daripada mempelajarinya.

“Masyarakat perlu bersedia mulai dari sekarang kerana teknologi pengekodan merupakan kemahiran yang diperlukan pada masa akan datang.

“Ini tidak terkecuali bagi kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) seperti penghidap autisme, kerana cara mereka berfikir adalah berbeza.

“Disebabkan alasan itu kami mengadakan kerjasama dengan Microsoft Malaysia menganjurkan program memperkenalkan asas pengekodan atau pengaturcaraan komputer melalui permainan komputer Minecraft.

“Program ini khusus untuk golongan kanak-kanak yang mengalami masalah autisme,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Rocking the Spectrum with an Hour of Code di Petaling, Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Nori, selain ingin memberi pendedahan awal dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak terhadap pengekodan, pengaturcaraan dan sains komputer, program tersebut juga dianjurkan bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2018.

Seramai 50 kanak-kanak autisme dari sekitar Lembah Klang, diberikan tutorial serta bimbingan oleh sukarelawan dari Microsoft dan Persatuan Kebangsaan Austisme Malaysia (Nasom).

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman, memberitahu pihaknya teruja dengan kolaborasi yang terjalin bersama We Rock Spectrum, yang diharap akan bersifat jangka masa panjang.

Katanya, inisiatif tersebut adalah untuk membantu kanak-kanak autisme menguasai teknologi pengekodan.

“Teknologi hari ini bukan sahaja memudahkan masyarakat melakukan pekerjaan harian, tetapi turut membantu golongan yang memerlukan seperti orang buta dan kanak-kanak autisme.

“Hari ini dengan adanya teknologi segalanya tidak mustahil dan kami percaya dengan mendedahkan kanak-kanak di awal usia termasuk kanak-kanak autisme dengan teknologi, ia mampu mengubah mereka.

“Ini menunjukkan kita berada di landasan yang tepat untuk memperkenalkan pengekodan kerana inilah masa depan.

“Kami mahu generasi akan datang bersedia menempuh dunia serba baharu termasuk ekonomi digital dan semua ini memerlukan kemahiran pengekodan,” katanya.

Ternyata, proses pembelajaran secara berterusan amat penting dan tidak boleh terhenti kerana kanak-kanak termasuk penghidap autisme sentiasa memerlukan sokongan, perubahan gaya dan kualiti hidup.

Apa yang diharapkan dengan mendedahkan mereka kepada teknologi pengekodan ini, ia mampu merangsang pemikiran masa hadapan mereka.