Rencam minggu ini memaparkan apakah yang akan berlaku kepada satelit dan stesen angkasa apabila sudah tamat tempoh.

Antara stesen angkasa pernah terhempas

  • Skylab

MENGORBIT Bumi dari 1973 hingga 1979, Skylab merupakan satu-satunya stesen angkasa AS. Skylab memasuki semula ke dalam atmosfera pada 11 Julai 1979.

Meskipun ditetapkan untuk jatuh di kawasan laut di selatan tenggara Cape Town, Afrika Selatan, kesilapan pengiraan semasa menetapkan lokasi menyebabkan serpihan Skylab jatuh di kawasan antara Esperance dan Rawlinna di barat Australia. Stesen angkasa itu juga tidak terbakar dengan pantas seperti yang dijangka NASA.

Remaja berusia 17 tahun, Stan Thornton menemukan 24 keping serpihan Skylab di rumahnya di Esperance. Seorang ahli perniagaan dari Philadelphia kemudian membawa remaja itu ke AS untuk menuntut hadiah AS$10,000 yang ditawarkan oleh San Francisco Examiner bagi serpihan pertama Skylab yang diserahkan ke pejabatnya.

  • Mir

MIR adalah stesen angkasa dikendalikan oleh Kesatuan Soviet dan kemudian Rusia yang beroperasi di orbit rendah dari 1986 hingga 2001.

Sebelum Mir memasuki semula ke atmosfera, stesen angkasa itu ditetapkan untuk terhempas di lokasi terpencil di selatan Lautan Pasifik.

Daripada 135 tan berat struktur Mir, dijangkakan 27 tan terselamat ketika jatuh ke Bumi tetapi untuk menemukan serpihan itu adalah sangat tipis. Meskipun ada beberapa orang mendakwa menemukan serpihan Mir termasuk ada yang membuat lelongan di eBay, sehingga kini ia tidak pernah disahkan.

Cara melupuskan satelit

SAMA seperti mana-mana mesin, satelit mempunyai jangka hayat. Walau apa pun fungsi satelit sama ada memantau cuaca, mengira gas rumah hijau di atmosfera atau mengkaji bintang, semua satelit akan menjadi usang dan tidak lagi berfungsi bila sampai masanya. Apakah yang akan berlaku apabila satelit sudah tamat tempoh? Pada masa sekarang terdapat dua pilihan bergantung kepada berapa tinggi satelit itu berada.

Jarak dekat:

Bagi satelit yang berada dalam jarak dekat, jurutera akan menggunakan bahan api terakhir satelit itu untuk memperlahankannya. Dengan cara itu, ia akan jatuh dari orbit dan hangus terbakar di dalam atmosfera.

Jarak jauh:

Kaedah kedua ialah menghantar satelit itu lebih jauh dari Bumi. Ia memerlukan banyak bahan api bagi satelit bergerak cukup perlahan untuk jatuh kembali ke dalam atmosfera. Bagi kebanyakan satelit tinggi, ia memerlukan sedikit bahan api untuk menghantarnya jauh ke angkasa daripada menghantarnya kembali ke Bumi.

Pusara satelit

Melupuskan satelit yang berada di orbit rendah sangat mudah. Satelit itu akan hangus terbakar ketika ia jatuh ke Bumi dalam kelajuan ribuan kilometer sejam.

Namun tidak ada ancaman kepada penduduk Bumi. Bagaimana pula dengan objek besar seperti stesen angkasa dan apal angkasa yang berada di orbit rendah? Objek ini mungkin tidak hangus terbakar sepenuhnya sebelum jatuh ke Bumi dan boleh membahayakan nyawa manusia.

Terdapat satu kaedah penyelesaian iaitu pengendali kapal angkasa boleh menetapkan destinasi terakhir satelit lama itu bagi memastikan sebarang serpihan jatuh ke kawasan terpencil.

Kawasan itu ada nama gelarannya iaitu “Pusara Kapal Angkasa”. Ia terletak di Lautan Pasifik dan lokasi itu sangat jauh dari penempatan manusia. Bagaimana pula dengan satelit yang dihantar ke jauh ke angkasa? Satelit tersebut dihantar ke “orbit pusara” yang terletak hampir 322 kilometer dari satelit paling jauh dari Bumi. Jaraknya adalah 36,050 kilometer dari Bumi.

Namun, sebahagian satelit itu akan kekal dalam orbit untuk satu tempoh yang sangat lama. Mungkin suatu hari nanti pada masa hadapan, manusia perlu menghantar “trak sampah angkasa” bagi melupuskan bangkai satelit.