Tidak dinafikan, arus pembangunan telah memberikan impak kepada air dan persekitarannya yang semakin tercemar dan berkurangan akibat perubahan iklim seperti pemanasan global dan sebagainya.

Oleh itu, di negara ini, terdapat Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang hidropersekitaran.

Sebagai sebuah Pusat Fokal Kebangsaan dalam penyelidikan berkaitan air dan persekitarannya, sudah semestinya Nahrim mempunyai kemudahan yang lengkap dan bertaraf nasional bagi melakukan pelbagai penyelidikan yang akan memanfaatkan orang ramai dan industri.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed, kemudahan yang terdapat membantu pihaknya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya.

Sebagai contoh antara fasiliti adalah makmal model fizikal yang digunakan bagi menguji dan membuat penyelidikan secara terperinci mengenai sesuatu permasalah berkenaan hidropersekitaran.

“(Ketika ini) antara masalah yang dihadapi ialah kawasan tebing sungai mahu pun pantai mengalami hakisan yang turut memberi kesan terhadap penduduk berdekatan.

“Jadi, Nahrim menjalankan penyelidikan dengan mengumpulkan data-data dan menghasilkan produk inovasi bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya ketika ditemui di NAHRIM, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Nahrim juga membangunkan inovasi Blok Perlindungan Hakisan dan Perluasan Pantai NAHRIM (NEXC) yang merupakan produk perlindungan pantai daripada masalah hakisan dan sebagai mekanisma perluasan pantai secara semula jadi.

Produk inovasi tersebut dibangunkan melalui fasiliti Coastal Basin, merupakan salah satu kaedah pengujian fizikal bagi penilaian impak hidraulik kepada persekitaran pantai yang dinamik.

Persekitaran pantai sebenar di lokasi terpilih boleh dihasilkan semula secara skala kecil di dalam makmal.

Parameter yang diambil kira termasuklah batimetri profil pantai, aras air laut dan pasang surut, magnitud ombak dan arus pantai serta geometri produk inovasi.

Ketika eksperimen, ombak dijana oleh penjana ombak yang seterusnya dikenakan ke atas struktur pantai untuk satu tempoh yang ditetapkan pada keadaan aras laut tertentu untuk melihat dan merekod impak interaksi antara struktur ombak, aras laut serta sentimen.

Menerusi pengujian itu juga, penilaian keberkesanan dan kestabilan produk inovasi dapat ditentukan, seterusnya impak struktur ke atas persekitaran pantai juga dapat dikenalpasti.

Produk itu memenangi pingat emas pada Pameran Antarabangsa Rekaan Inovasi dan Teknologi ke-28 (ITEX 2017) dan Pertandingan Rekaan Inovasi Antarabangsa di Kanada (iCan 2017).

Terbaru, makmal tersebut baru sahaja menyiapkan model fizikal Tasik Ringlet di Cameron Highlands bagi mengkaji faktor mendapan yang berlaku serta mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan banjir kilat akibat mendapan tasik.

Selain itu, Nahrim juga menggiatkan penciptaan teknologi terbaharu dalam usaha meningkatkan kualiti air melalui Makmal Kualiti Air (MKA).

Makmal tersebut berfungsi sebagai pusat menganalisis air bagi pelbagai parameter kimia dan biologi.

Nahrim sedang menaik taraf makmal sedia ada dengan kemudahan fasiliti high-end bagi melaksanakan penyelidikan berkaitan bahan pencemar kompleks di bawah kategori Contaminants of Emerging Concerns (CECs) yang merangkumi aspek pembangunan metodologi pengukuran tahap rendah.

Antara CEC yang sedang dikaji oleh MKA adalah Endocrine Disrupting Chemicals (EDCs) yang sekiranya terdapat pada konsentrasi tertentu akan mengganggu sistem hormon dalam badan manusia yang boleh mengakibatkan kanser dan kecacatan bayi.

Pada masa yang sama, MKA juga menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan inovasi bagi menghasilkan produk peningkatan kualiti air yang mesra alam dan teknologi hijau.

Fokus perubahan iklim

Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (Nahrim) kini memfokuskan kepada Penyelidikan Impak Perubahan Iklim ke atas Sumber Air Malaysia seiring dengan peredaran masa.

Menurut Ketua Pengarahnya, Dr. Azuhan Mohamed pihaknya telah menghasilkan Nahrim Technical Guide No. 1 iaitu Anggaran Bentuk Hujan Ribut Masa Depan di bawah Senario Perubahan Iklim di Semenanjung Malaysia.

Teknologi tersebut dapat membantu jurutera, perancang dan penggubal dasar dalam merekabentuk, merancang dan membangunkan infrastruktur yang berkaitan dengan air di bawah senario perubahan iklim.

Di samping itu, Nahrim juga membangunkan produk inovasi Portal Pengetahuan Perubahan Iklim Malaysia (N-HYDAA) yang dibangunkan menggunakan pendekatan teknologi Big Data Analytic (BDA).

“Bagi tujuan itu, Nahrim mengoptimumkan penggunaan 10 bilion data unjuran hidro iklim bagi tempoh 90 tahun untuk tujuan analisis, perancangan dan pengurusan serta menyokong pembuatan keputusan dalam menangani kesan dan impak perubahan iklim di Malaysia.

“Jadi, kita buat unjuran jumlah hujan akan datang akibat perubahan iklim sampai 2100, serta jangkaan waktu kering yang akan memanfaatkan pengusaha tanah mahu pun ladang,” ujarnya.

Tidak terhad dengan itu, institusi yang terdiri daripada 158 kakitangan dengan 80 daripadanya adalah penyelidik itu turut meluaskan kajian kepada penyelidikan peningkatan aras laut akibat perubahan iklim pada masa depan.

Penyelidikan Peningkatan Aras Laut Susulan Perubahan Iklim itu menggunakan data Satelit Altimeter dari 30 stesen di sepanjang perairan Malaysia.

Data tersebut kemudiannya diasimilasikan dengan Atmospheric Oceanic General Circulation Model (AOGCM) untuk menghasilkan unjuran kenaikan aras laut di sepanjang pantai Malaysia pada tahun 2020, 2040, 2060, 2080 dan 2100.

“Kita menjangkakan kenaikan aras air laut sebanyak satu meter pada tahun 2100 di kawasan Pantai Barat Sabah akibat daripada perubahan iklim ini.

“Jadi, persiapan awal dapat dilakukan bagi mengelakkan kawasan rendah berhampiran pantai ditenggelami air,” katanya lagi.

Secara umumnya, Dr. Azuhan berkata, kelestarian sumber air dan kesejahteraan persekitarannya memerlukan kerjasama semua pihak untuk menguruskannya dengan cara yang berhemah.

Dalam pada itu, Pengarah Makmal Hidraulik dan Instrumentasi Nahrim,Ir. Dr. Safari Mat Desa berkata, ujian berkenaan isu pemendapam Tasik Ringlet di Cameron Highland tersebut bakal dijalankan dengan secepat mungkin bagi mengetahui punca berlakunya masalah berkenaan.

Setelah itu, menurutnya, satu kaedah penyelesaian akan dikemukan kepada pihak berkuasa untuk membantu mengurangkan bencana alam seperti banjir kilat akibat pemendapan tasik sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan tasik berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Makmal Kualiti Air Nahrim, Syazrin Syima Sharifuddin menjelaskan, Makmal kualiti air Nahrim antara yang terbaik dan dipercayai oleh bukan sahaja masyarakat tempatan, malahan pihak luar negara.

Dengan fasiliti yang lengkap dan dibantu oleh tenaga pekerja yang mahir, makmal kualiti air Nahrim sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik bagi menjamin kualiti air di negara ini.