Sebuah lagi destinasi pelancongan yang mampu menarik kunjungan orang ramai terutama mereka yang gemarkan konsep luar bandar dan pertanian, Tanjung Tualang pastinya tidak mengecewakan.

Perak Agrotourism Resort (Patro) yang terletak kira- kira 15 minit menaiki kenderaan dari bandar Tanjung Tualang menawarkan lebih daripada sekadar pusat percutian dan istirahat bersama keluarga kerana kawasan ini mempunyai aset alam sekitar pertanian, tasik yang membentuk satu suasana kedamaian.

Berada di kawasan ini bermakna pengunjung seolah-olah dalam kepungan suasana kampung yang hampir sempurna dan mendamaikan.

Kemudahan yang ditawarkan juga menarik dan memenuhi keperluan pengunjung.

Daya tarikan dan kemudahan yang ditawarkan itu dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu pertanian, aktiviti dan kemudahan penginapan.

Aset pertanian yang terdapat di sini iaitu ladang mangga chokanan yang serba menghijau dengan pokok berketinggian mencapai 40 meter. Selain itu, Patro juga mempunyai ladang itik yang menambah nilai ketenangan dan suasana harmoni. Mereka yang tidak pernah melihat bagaimana cili ditanam menggunakan teknologi fertigasi dengan sistem yang serba moden dan bersih. Kemerahan warna cili yang berbuah segar pastinya memukau pandangan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melawat ladang kelulut yang terdapat di sini dan jangan bimbang, lebah ini tidak menyengat.

Bagi mereka yang gemarkan pokok herba, peluang menyaksikan ladang herba pastinya ditunggu-tunggu.

Ladang milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak itu menambah keindahan landskap taman berkenaan.

Mengenai aktiviti pula, pengunjung pastinya tidak mempunyai masa yang cukup untuk merasai semua aktviti yang ditawarkan seperti menunggang kuda, berbasikal sekitar taman dan bermain paintball. Aktiviti menunggang jentera semua rupa bumi (ATV), berkayuh menggunakan bot dan juga berkayak serta suasana nyaman pastinya mengujakan pengunjung merasai pengalaman beraktiviti lasak di sini.

Malah, mereka yang gemarkan aktiviti berkhemah juga pastinya tidak mahu ketinggalan menikmati suasana tasik yang menjanjikan ketenangan jauh daripada hirup-pikuk kota.

Mengenai penginapan pula, Patro menawarkan pelbagai jenis kemudahan bergantung kepada kemampuan mereka. Mereka boleh memilih Villa Super Deluxe dengan harga RM450 atau Villa Deluxe pada harga RM350. Kedua-duanya dilengkapi kemudahan asas tetapi apa yang penting, panorama menghadap tasik itulah yang menggamit pengunjung.

Mereka yang benar benar ingin merasai suasana desa mungkin boleh memilih penginapan rumah kampung yang serba indah, tetapi klasik. Rumat kutai yang boleh didiami empat orang menawarkan harga RM1,200 tetapi lengkap dengan kemudahan jakuzi dan bar mini. Bagi yang kurang mampu tetapi masih ingin suasana desa, pilih sahaja Family Twin berharga RM700 atau Rumah Kayu berharga RM400.

Bagi golongan muda mereka, mungkin boleh memilih Tube Camp yang boleh menempatkan dua penghuni bagi seunit dengan harga RM100.

Lebih menarik, pergerakan anda melawat kesemua aset, kemudahan dan penginapan di sini disokong oleh sistem monotrem yang dihasilkan oleh syarikat anak tempatan yang tidak asing lagi iaitu Zull Design Autotronic (ZDA).

Bagi yang ingin merasai pengalaman berkonsepkan Farm Tour, perjalanan hanya mengambil masa 45 minit untuk melawat tanaman cili fertigasi, ladang mangga, kawasan penginapan rumah kampung dan penternakan itik serta dilengkapi dengan cara-cara pembuatan telur asin.

Kerja-kerja fabrikasi, reka bentuk dan mekanikal monotrem diketuai Muhammad Asif Zulkifli, kerja-kerja pendawaian elektrikal dan kemasan pula oleh Muhammad Asyraff Zulkifli, manakala bimbingan utama untuk membinanya diketuai pengasas ZDA, Zulkifli Haron.

Menurut Muhammmad Asif, monotrem tersebut boleh digunakan di atas jalan yang tidak berturap dan juga ladang.

“Monotrem ini dilengkapi dengan lima gerabak penumpang dan sebuah gerabak khas untuk orang kurang upaya (OKU) yang wajib disediakan. Ini kerana monotrem berkenaan mempunyai sistem brek angin keselamatan pada gerabak untuk golongan tersebut,’’ ujarnya.

Antara keunikan monotrem berkenaan adalah bilangan gerabak boleh dikurangkan sekiranya tiada ramai pelawat.

Sebagai langkah keselamatan, setiap gerabak dilengkapi loceng kecemasan dan pembesar suara sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dingini dan sebagai kemudahan petugas menerangkan setiap tempat yang dilawati.

Monotrem berkenaan perlu dikawal oleh dua orang petugas iaitu yang pertama sebagai pemandu, manakala yang kedua sebagai pemantau keselamatan pengunjung dan bersedia untuk brek kecemasan di dalam gerabak OKU.

ZDA sedia terima tempahan bina monotrem

ZULL Design Autotronic (ZDA) bersedia menerima tempahan dari mana-mana pihak yang berminat untuk menggunakan monotrem untuk kemudahan mereka.

Kejayaan pembangunan monotrem berkenaan oleh ZDA untuk Perak Agrotourism Resort (Patro) menyusul selepas kejayaan syarikat tersebut membangunkan monotrem yang sama di Selangor Fruits Valley (SFV) Batu Arang Selangor sebelum ini.

Menurut Zulkifli Haron, monotrem yang direka dan dibangunkan di kilang ZDA di Sungai Choh, Rawang, Selangor dan mampu membuat pusingan 180 darjah tanpa mengambil jarak yang jauh. Pergerakan pusingan dilengkapi sistem mekanikal pusingan.

Beliau berkata, kerja-kerja membina set monotrem berkenaan mengambil masa antara 40 hingga 50 hari dan merupakan yang pertama dan terpanjang tanpa landasan di Malaysia.

“Monotrem ini diminati oleh kanak-kanak dan kewujudannya menjadikan sesebuah tempat sebagai daya tarikan disebabkan reka bentuk dan warna yang direka khas atas permintaan pembeli atau penyewa.

Malah spesifikasinya mengikut keperluan pembeli atau penyewa,’’ ujarnya.