Padi merupakan tanaman strategik dari segi keselamatan makanan, pembasmian kemiskinan dan lain-lain isu sosial dan politik di negara ini kerana sekiranya bekalan tidak mencukupi, negara akan diancam krisis makanan.
Justeru, pengeluaran padi perlu terus diberi perhatian bagi tujuan penghasilan makanan ruji untuk rakyat negara ini.
Memandangkan permintaan terhadap padi terus meningkat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sentiasa peka dengan kehendak penduduk di negara ini untuk sentiasa memastikan keperluan tersebut dipenuhi.
Terbaharu, dua varieti baharu padi iaitu padi MARDI Sempadan 303 dan MARDI Sebernas 307 dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini. Sebernas 307 merupakan varieti terbaharu yang diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan sebagai alternatif kepada varieti sedia ada.
Menurut Saintis Kanan MARDI yang terlibat dengan penemuan Sebernas 307, Amirrudin Mokhtar, MARDI Sebernas 307 merupakan hasil kacukan antara induk varieti padi MR 256 dan P493.
“Proses pembangunan varieti bermula dari awal kacukan sehingga penanaman peningkatan skala selama 22 musim.
“Permohonan varieti bermula pada musim utama 2006/2007 dan menerusi beberapa musim penilaian seterusnya diikuti dengan peningkatan skala pada musim utama 2017/2018,” katanya ketika ditemui sempena majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI di Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor baru-baru.
Tambah Amirrudin, varieti padi itu dikategorikan sebagai pokok sederhana tinggi, tegak serta tegap dengan daun pengasuh sederhana panjang.
Padi jenis itu mempunyai perolehan beras dan beras kepala yang kurang sedikit berbanding MR 263. 
Namun begitu, ia mempunyai beras yang panjang dengan nisbah panjang dan lebar melebihi MR 263 selain mempunyai kandungan amilosa sederhana sebanyak 24 peratus berbanding MR 263 dengan 22 peratus.
Konsistensi gel dan pecahan alkali setanding MR 263 sekali gus menghasilkan nasi sederhana lembut dan tidak melekit.
Menurut Elixson Sulian yang juga merupakan Saintis Kanan MARDI yang terlibat dengan kajian dan penyelidikan padi MARDI Sempadan 303 berkata, padi tersebut dihasilkan melalui kaedah kacuk ulang antara varieti pada MR 256 dan varieti ulangan MR 253.
Secara amnya, proses pembangunan varieti bermula dari kacukan sehingga penanaman peningkatan skala ialah 25 musim atau lebih 12 tahun.
Kacukan awal dilaksanakan pada musim utama 2005/2006 seterusnya melalui proses pemilihan pukal dan pedigri serta penilaian awal hasil di MARDi Seberang Perai, 
Pulau Pinang sebelum dimajukan ke percubaan penyesuaian pelbagai lokasi dan ujian penentusahan setempat sekitar musim 2014/2015 hingga musim utama 2017/2018.
“Padi jenis ini mempunyai daun pengasuh yang pendek dan tegak dengan jangka masa matang antara 104 hingga 106 hari serta dikategorikan sebagai matang awal.
“Namun demikian, pokok padi ini mempunyai batang yang panjang yang memberikan purata ketinggian pokok setinggi 120.3 sentimeter sementara panjang tangkai sekitar 28.3 sentimeter.
“Peratus pengisian biji bernas per tangkai adalah melebihi 70 peratus. Kelebihannya dapat dilihat pada biji padi yang berat 1,000 bijinya ialah 28.2 gram.” jelasnya.
MARDI Sempadan 302 pula mempunyai panjang beras melebihi 6.21 milimeter  (mm) dan dikategorikan sebagai beras panjang dan tirus dengan nisbah panjang dan lebar beras melebihi  tiga mm yang sesuai dengan cita rasa dan kehendak pasaran tempatan. “Kandungan amilosa dan konsisten gel yang sederhana memberikan cita rasa nasi yang sederhana lembut. Nilai pecahan alkali yang rendah memberikan tekstur sederhana seroi,” ujarnya.
Dalam masa sama,  Elixson berharap varieti padi baharu tersebut mampu meningkatkan pendapatan kepada petani dengan anggaran peningkatan sehingga 10 tan sehektar menerusi teknik serta teknologi yang disyorkan.

MARDI hasil 47 varieti padi sejak 1969

PENGERUSI Lembaga Pengelola Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI), Datuk Mohd. Satim Diman berkata, sehingga kini usaha penyelidikan MARDI yang bermula dari 1969 sehingga kini berjaya mengisytiharkan sebanyak 47 varieti (jenis) padi.
Menariknya, lebih daripada 90 peratus daripada kawasan tanaman padi di Malaysia atau 350,000 hektar menggunakan varieti pada yang dihasilkan oleh MARDI.
Katanya, pada 2016 negara menghasilkan padi sebanyak 2.74 juta metrik tan iaitu 75 peratus daripada keperluan sara diri (SSL) sementara selebihnya diimport bagi memenuhi keperluan yang semakin bertambah ekoran pertambahan jumlah penduduk dan permintaan beras istimewa yang juga meningkat.
Dalam pada itu mengenai pengisytiharan dua varieti baharu padi itu Mohd. Satim berkata, nama padi MARDI Sempadan 303 adalah sempena nama kawasan padi tersebut di bangunkan sementara MARDI Sebernas 307 kerana sifat padi itu yang ‘penuh berisi’.
“MARDI akan terus melaksanakan penyelidikan bagi menghasilkan teknologi termasuk varieti padi baharu dari masa ke semasa dan juga mengambil pendekatan proaktif dalam menyelesaikan masalah yang timbul di lapangan untuk faedah para pesawah. 
“MARDI dalam masa sama juga akan terus menjalankan kerjasama dengan semua pihak dari jabatan dan agensi pembangunan pertanian di peringkat persekutuan dan negeri selain meminta petani agar terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti pesawah,” katanya lagi.