Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), kos kerosakan bencana alam kini 18 kali ganda lebih tinggi berbanding 1950-an dan turut memberi kesan ekonomi sesebuah negara.

Pengurus Negara, Autodesk Singapura, Malaysia dan Brunei Chris Lee berkata, untuk pulih dan bangkit semula daripada bencana, selain pembinaan paip yang lebih banyak atau lebih bagus, mendalamkan empangan, meluaskan perparitan atau membina dinding, kemajuan sistem teknologi menghadapi serta mengekang, dan mitigasi banjir boleh dimanfaatkan.

Katanya, pada peringkat global, kita boleh melihat banyak bandar menggunakan teknologi maju tiga dimensi (3D) bagi menyusun semula tumpuan pembangunan selepas berlakunya bencana alam.

Sebelum ini, kata beliau, menjadi lumrah manusia membina semula kerosakan daripada bencana alam sama seperti bentuk asalnya. Walau bagaimanapun, dengan lebih banyak data dan maklumat, pemulihan bencana merupakan peluang terbaik untuk membina semula kerosakan secara pintar.

Dengan model bandar 3D yang merangkumi bangunan, rupa bumi digital, rangkaian telekomunikasi dan utiliti pintar, perancang bandar akan mendapat manfaat kerana mereka boleh menentukan fasiliti tenaga, komunikasi, air dan air kumbahan yang mungkin terjejas oleh bencana alam.

Kata beliau lagi, dengan mengambil langkah selanjutnya, jika semua elemen disepadukan ke dalam model tersebut, simulasi bencana sebenar pada model 3D sebelum ia dibina dapat menggambarkan bagaimana sesuatu struktur atau kawasan akan bertindak balas kepada kesan-kesan bencana.

“Inilah manfaat memiliki kuasa pengkomputeran awanan (cloud computering) yang tiada batasan bagi mengumpul himpunan data besar (big data) dan melakukan simulasi prestasi dalam pelbagai keadaan,” ujarnya.

Bagi responden pertama yang tiba ke lokasi seperti anggota polis dan bomba, ketepatan model 3D bermakna mereka tidak lagi mempertaruh nyawa memasuki sesuatu kawasan bencana secara membuta tuli.

Sebaliknya kata beliau, maklumat yang diperlukan berada di hujung jari menerusi simulasi persekitaran digital yang memberikan data reka bentuk kejuruteraan dan pelan binaan sesebuah bangunan, selain persekitaran bandar termasuk prasarana di bawah tanah. Jika petugas kecemasan dilengkapi dengan iPad sebagai contoh, model 3D dapat memberi petunjuk lokasi paip gas sebelum mereka memasuki bangunan yang rosak, ia mungkin maklumat yang menyelamatkan nyawa.

Katanya, kekerapan bencana alam, terutama ribut taufan dan banjir, semakin meningkat sejak beberapa dekad ini.

Bagi membantu bandar di negara ini bersedia daripada banjir dan seumpamanya, perancang bandar perlu mengambil kira sistem penyenggaraan dan fasiliti pengurusan. Teknologi seperti realiti maya (VR), pengimbas Internet Segalanya (IoT) dan dron boleh memberikan amaran dan data kepada jurutera awam serta pasukan pengurusan air bandar raya pada masa sebenar. Alat pengimbas boleh diletakkan pada tempat-tempat khusus bagi memberi amaran dan maklum balas masa sebenar.

Selain itu, dengan menggunakan dron, ia memberi kelebihan untuk merakam video masa sebenar untuk memudahkan pemeriksaan terowong di bawah tanah.

Dengan mengumpul dan menganalisis maklumat seumpamanya, para perancang dan jurutera boleh menganggar apa yang diperlukan untuk menguruskan empangan, terowong, paip dan aset-aset prasarana lain dengan lebih baik dan memanjangkan jangka hayatnya.

Seiring dengan pertambahan penduduk bandar di seluruh negara, risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda disebabkan bencana alam turut meningkat.

“Sementara pemahaman kita terhadap bencana alam ini semakin baik mengikut masa, kita masih tidak berupaya meramal dengan tepat bila dan di mana bencana seperti puting beliung, banjir dan gempa bumi akan berlaku,” ujarnya.

Hari ini, teknologi boleh diperoleh dari Autodesk dan lain-lain yang menggabungkan data seni bina, reka bentuk kejuruteraan dan geospatial.

Kata beliau, sebagaimana kerajaan membina semula kemudahan semula untuk lebih tahan lasak, orang ramai harus bertindak atas kewujudan data besar dan keupayaan ini. Ini kerana bencana alam pasti akan berlaku dan kita boleh melakukan persediaan lebih baik menghadapinya.