Ramai mungkin bersetuju, bagi lelaki telefon pintar mungkin akan dikeluarkan daripada saku atau poket kerana telefon pintar sudah menjadi barangan wajib yang dibawa ke mana-mana.

Laporan menyebut jumlah pengguna telefon bimbit di negara ini mencecah 11 juta.

Bayangkan dalam sebuah rumah, setiap ahli keluarga menggunakan telefon bimbit dan dilaporkan setiap pengguna menghabiskan masa selama tiga jam dengan telefon bimbit mereka.

Mungkin tidak keterlaluan jika mengatakan, telefon bimbit kini merupakan ‘nyawa’ kedua kita dan akan kehilangan arah jika tanpa telefon bimbit.

Di sebalik semua itu, pengguna jangan lupa penggunaan yang terlalu lama dibimbangi mengundang risiko yang pelbagai.

Antara risikonya termasuklah antaranya cepat kehabisan data, kehabisan kuasa bateri dan terdapat pula laporan mengatakan penggunaannya mengundang masalah kesihatan.

Masalah tersebut menjadi cakap-cakap umum kalangan pengguna bahayanya radiasi yang dihasilkan telefon bimbit.

Cakap-cakap tersebut sebenarnya agak merisaukan kerana kita dimomokkan dengan perkataan radiasi yang membawa konotasi negatif.

Radiasi merupakan bentuk tenaga bergerak yang terdiri daripada medan elektrik dan magnetik yang bergerak dalam kelajuan cahaya.

Bagi menepis kata-kata tersebut, pembuktian perlu dilakukan dan usaha tersebut telah dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak beberapa tahun lepas.

UTM menerusi Pusat Komunikasi Wayarles (WCC) itu dilengkapi dengan peralatan yang dikenali sebagai Specific Absorption Rate (SAR) bagi mengukur tahap radiasi yang dihasilkan oleh telefon bimbit.

Menurut pengarah pusat berkenaan, Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman, alat tersebut merupakan sebahagian daripada kelengkapan dalam WCC yang dibiayai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)

SAR mempunyai dua komponen utama iaitu robotic probe atau alat pengesan radiasi dan juga cecair khas yang berfungsi sebagai badan manusia yang menerima sinar radiasi.

SAR ialah pengukuran kadar tenaga yang diserap oleh badan manusia apabila terdedah kepada gelombang elektromagnet frekuensi radio (RF). Radiasi yang dihasilkan telefon bimbit adalah gelombang radio (gelombang elektromagnet).

Radiasi elektromagnetik merupakan gelombang elektrik dan magnetik.

Bayangkan apabila kita membuat atau menjawab panggilan, telefon bimbit biasanya diletakkan pada telinga di tepi kepala dan radiasi diserap.

Isu yang timbul daripadanya adalah kemungkinan radiasi berlebihan boleh mengundang risiko kanser.

Menurut Dr. Tharek, masalah yang mencetuskan kebimbangan itu sebenarnya tidaklah serius seperti yang dikatakan.

Menurut beliau, gelombang radio tersebut tidak membahayakan kerana kekuatannya terlalu tinggi.

“Radiasi yang dihasilkan biasanya (seperti) dalam ketuhar gelombang mikro untuk menghasilkan haba memanaskan makanan,’’ ujarnya sambil memberitahu alat tersebut 
ketika ini hanya terdapat 
di WCC dan digunakan sebagai rujukan mengukur tahap 
radiasi yang dihasilkan telefon bimbit.

Setakat ini katanya, hanya WCC yang mempunyai peralatan seumpama itu di negara ini untuk mengukur kadar radiasi yang dihasilkan telefon bimbit yang biasanya disahkan oleh SIRIM Berhad.

Radiasi yang dihasilkan dari stesen pemancar juga dikatakan tidaklah boleh dikategorikan sebagai bahaya kerana kuasa radiasi yang dipancarkan amat rendah.