Ini kerana untuk tidak menghasilkan sampah dalam sehari pun seolah-olah seperti tidak masuk akal.

Namun, bagi Tin Fong Yun, 28, dia mampu melakukannya dengan hanya menghasilkan jumlah sampah bersaiz botol jem sahaja dalam setahun. Dengan berbekalkan prinsip 5R iaitu Refuse, Reduce, Reuse, Recycle and Rot, bekas wartawan akhbar berbahasa Mandarin itu nekad mahu mengurangkan penghasilan sampah sarap 
dalam kehidupan sehariannya selepas membaca buku berjudul No Impact Man oleh Colin Beavan.

“Hasil inspirasi daripada watak utamanya yang mahu menyelamatkan bumi menerusi pengurangan sampah sarap dalam kehidupan seharian, membuatkan terdetik di hati saya untuk menyahut cabaran itu dengan meletakkan sasaran Zero Trash dalam setahun sejak 1 Jan 2016.

“Di Eropah misalnya, misi Zero Waste sangat popular dalam kalangan penduduknya dengan meminimumkan penghasilan karbon dan sampah dalam kehidupan seharian mereka.

“Macam agak mustahil untuk melaksanakan misi Zero Waste sepenuhnya di Malaysia kerana kebanyakan kita menggunakan kenderaan, iaitu penyumbang besar karbon. Oleh itu saya ubah suai menjadi Zero Trash untuk diamalkan setiap hari,” katanya.

Berbeza dengan prinsip 3R’ iaitu Reduce, Reuse and Recycle, Fong Yun mengubahsuaikannya dengan nama 5R iaitu menambah Refuse dan Rot dalam prinsipnya.

Berkongsi pengalaman melaksanakan misi itu, Fong Yun memulakan cabaran Zero Trash dengan prinsip Refuse sebagai asas untuk mengurangkan penggunaan bahan tidak boleh dikitar semula dalam kehidupan seharian.

“Hal ini bukan bermaksud untuk membuang segala bahan demikian dalam kehidupan seharian dengan sekelip mata, tetapi sebagai langkah permulaan dengan menggunakan prinsip itu ketika membeli-belah.

“Misalnya, kita boleh menolak penggunaan beg plastik dan bekas polisterin ketika membeli-belah atau membungkus makanan sebaliknya digantikan dengan beg kain atau bekas makanan,” katanya.

Bahkan, Fong Yun turut mengambil inisiatif membawa sendiri botol air kaca, bekas makanan dan beg kitar semula yang diperbuat daripada kain ketika keluar membeli-belah. Ia adalah barangan wajib yang perlu ada dalam begnya.

“Tidak salah sebenarnya untuk tidak menerima beg plastik dan bekas polisterin ketika membeli-belah dan ramai yang tidak berbuat demikian atas alasan malu ataupun malas.

“Malah, menggunakan peralatan mesra alam itu turut dapat mendidik orang ramai dan secara tidak langsung akan mempengaruhi cara pemikiran mereka untuk lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya.

Fong Yun berkata secara tidak langsung dia turut menjadi contoh kepada orang di sekelilingnya apabila menggunakan bekas sendiri ketika membeli makanan.

“Misalnya, tindakan saya meminta jurujual mengisi kentang goreng dalam bekas makanan di restoran makanan segera menarik perhatian pelanggan lain. Ketika inilah saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan apa yang saya lakukan selama ini,” katanya.

Lulusan Kejuruteraan Bioperubatan dari Beijing University of Aeronautics and Astronautics itu, turut berkongsi rahsianya melaksanakan ‘rumah tanpa sampah’ mengendalikan sisa-sisa makanan di rumah menerusi prinsip Rot.

Selain mengasingkan sampah harian seperti mana yang dilaksanakan oleh kebanyakan orang, pengurusan sisa makanan juga adalah elemen penting dalam penjagaan alam sekitar.

“Saya mengumpulkan sisa makanan harian ke dalam sebuah tong besar yang berlubang kecil di dalamnya dengan melapikkan daun-daun kering hari demi hari dan dibiarkannya berjemur di bawah cahaya matahari selama seminggu.

“Selepas seminggu, sisa-sisa makanan itu akan mereput menjadi cecair hitam iaitu baja yang dapat menyuburkan tumbuhan dan tanah.

“Oleh kerana saya dan suami vegetarian, kebanyakan daripada sisa makanan kami adalah sisa sayuran yang boleh mereput menjadi baja.

“Jika boleh, cuba jangan membuang sisa tulang dan daging haiwan kerana boleh menyebabkan bau busuk dan mendatangkan lalat.

“Sekiranya ada, sisa ini akan ditanam di dalam tanah,” katanya.

Dalam proses melaksanakan misi Zero Trash Year, Fong Yun dan suaminya, Lau Tzeh Wei mendisiplinkan diri untuk meminimumkan penggunaan bahan yang tidak boleh dikitar semula dalam kehidupan seharian.

Fong Yun bagaimanapun mengakui ada kalanya dia dan suaminya tidak dapat mengelak daripada menggunakan bahan-bahan sedemikian.

Apa yang mereka lakukan ialah mengumpulkan sisa yang tidak boleh dikitar semula ke dalam satu botol jem kosong dalam tempoh setahun.

“Saya mula menetapkan sasaran, kami hanya boleh menghasilkan sampah-sarap bersaiz botol jem itu sahaja dalam setahun dan syukur kami telah dapat melakukannya sehingga sekarang,” katanya.

Kebanyakan daripada sisa yang dikumpulkan dalam botol jem itu adalah bahan yang tidak dapat dikitar semula, contohnya pembalut ubat diperbuat daripada plastik.

“Tidak mungkin untuk melaksanakan Zero Trash secara sepenuhnya dalam tempoh setahun namun sekurang-kurangnya kami menetapkan satu sasaran untuk meminimumkan pembuangan sampah dalam kehidupan seharian,” katanya.

Fong Yun turut menyimpan impian untuk mengadakan Zero Trash Wedding iaitu menggunakan peralatan bersifat boleh kitar semula dan tidak membazir makanan yang dihidangkan kepada tetamu.-BERNAMA.