Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh dipilih menjadi tapak rintis premis makanan hijau di negeri berkenaan.

Sebuah agensi bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), SIRIM Berhad (SIRIM) dilantik oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sebagai agensi pelaksana bagi projek tersebut yang melibatkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menceburi industri ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ar. Ismail Othman.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Murad Husin; Setiausaha Bahagian Dasar Teknologi Hijau, KeTTHA, Paul Wong Kok Kiong dan Pengarah SWCorp Melaka, Ir. Zulkifli Tamby Chik,

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, kesemua premis makanan berkenaan akan dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan GB dan sistem pencernaan anaerobik sebagai sistem pengolahan sisa makanan yang berasaskan konsep pembaik pulih sumber untuk tempoh rintis ini.

“Bagi tujuan pensijilan Premis Makanan Hijau, peniaga di medan selera terpilih akan menerima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum pengauditan oleh badan pensijilan SIRIM QAS International.

“Beberapa kriteria utama perlu dititikberatkan untuk menaik taraf medan selera ini ke arah Premis Makanan Hijau.

“Antaranya seperti penerapan amalan kecekapan penggunaan tenaga dan air serta penyisihan sisa makanan secara berkesan selain memastikan kualiti dan kebersihan penyediaan serta pengendalian makanan diutamakan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Presiden SIRIM, Ir. Dr. Mohamad Jamil Sulaiman.

Menurut Dr. Ahmad Fadzil lagi, projek tersebut dapat mewujudkan industri dan usahawan pembungkusan GB dengan anggaran sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi sebanyak RM45 juta dalam jangka masa tiga tahun.

Projek tersebut dilaksanakan menerusi tiga usahawan (PKS) yang dilatih.

Pembangunan sistem teknologi pencernaan anaerobik SIRIM juga bakal mewujudkan jaringan PKS yang terdiri daripada 15 perusahaan pembuatan dan perkhidmatan yang mampu memenuhi permintaan industri pengurusan sisa.

“Pihak berkuasa tempatan terpilih akan meraih sumbangan sampingan melalui penjimatan elektrik sebanyak RM592,000 dari empat fasiliti pembaik pulih sumber sepanjang 10 tahun ini.

“Dalam jangka masa 10 tahun operasi sistem pencernaan anaerobik, projek ini bakal memberi penjimatan kos kepada pengurusan sisa dan mengurangkan kesan pelepasan rumah hijau sebanyak RM4.6 juta,” katanya.

Sebelum ini, projek yang sama dilancarkan di Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson, dipilih menjadi tapak rintis premis makanan hijau di Negeri Sembilan.

Kesemua premis makanan berkenaan akan dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan GB dan sistem pencernaan anaerobik sebagai sistem pengolahan sisa makanan yang berasaskan konsep pembaik pulih sumber untuk tempoh rintis ini.

“Bagi tujuan pensijilan Premis Makanan Hijau, peniaga di medan selera terpilih akan menerima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum pengauditan oleh badan pensijilan SIRIM QAS International.

“Ia juga termasuklah produk syarikat PKS yang akan mendapat pensijilan pembungkusan bekas makanan dan produk eko yang lain pada tahun 2018,” katanya.