Kacang merupakan salah satu makanan yang mempunyai banyak manfaat. Di samping menjadi makanan yang baik untuk otak, kacang juga dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Namun proses menghasilkan rempeyek adalah sangat rumit. Bagi menghasilkan rempeyek dalam kuantiti yang banyak secara manual, sejujurnya pembentukan tepung di dalam acuan bulat dan penaburan kacang mengambil masa yang sangat lama. Hal ini mendorong kepada kekecewaan pengusaha rempeyek kerana mereka tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi daripada pelanggan.

Seorang pengusaha rempeyek terkenal di Batu Pahat, Johor iaitu Roziah Ikhsan berkata, beliau lama mencari mesin rempeyek ini kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan terutama apabila tiba musim perayaan.

“Saya ada membuat sedikit kaji selidik mengenai mesin rempeyek ini di dalam dan luar negara, namun saya masih tidak menjumpai spesifikasi mesin yang seperti saya harapkan.

“Kemudian saya terlihat mesin-mesin ciptaan ZDA (Zull Design Autotronic) di laman sesawang dan artikel di dalam Utusan Malaysia, lantas saya menghubungi syarikat berkenaan dan menyatakan hasrat saya untuk memiliki mesin rempeyek,” ujarnya.

Menurut beliau, selepas menerangkan spesifikasi mesin yang diperlukan, ZDA dapat menyediakan mesin rempeyek yang sesuai dan menepati cita rasanya.

Mesin tersebut merupakan kawalan automatik sepenuhnya.

Kilang rempeyek

Roziah yang merupakan pengasas syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) , Saraogy Sdn. Bhd. berkata, beliau menjalankan perniagaan tersebut sejak tujuh tahun lepas dan mempunyai kilang membuat rempeyek di Batu Pahat, Johor.

Ketika ini, pasaran rempeyek ini bukan sahaja hingga ke Johor, malah ada yang dijual Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

Tambah beliau lagi, syarikatnya juga mempunyai ejen tersendiri yang bergerak secara aktif di seluruh negara untuk penjualan rempeyek ini.

Ekoran permintaan yang tinggi, beliau terpaksa menghasilkan 30 kg rempeyek setiap hari bersama empat orang tenaga kerja.

Namun, dengan menggunakan sistem manual, Roziah tidak mampu untuk menyiapkan lebih daripada itu kerana tenaga yang manusia ada tidak sama seperti kuasa mesin yang tersedia.

Kuasa mesin rempeyek automatik ciptaan ZDA itu merupakan kawalan automatik sepenuhnya dan menggunakan keluli lembut tahan karat. Hal ini memudahkan pengguna mesin untuk membersihkan mesin setiap kali selepas penggunaannya.

Mesin rempeyek ini ternyata boleh menjimatkan masa pengusaha rempeyek kerana pihak ZDA telah menyediakan dua set acuan bagi setiap mesin yang ditempah. Satu set untuk bahagian kiri dan satu set lagi berada di bahagian kanan. Setiap satu set mempunyai dua belas acuan bagi rempeyek yang bersaiz mini.

Selain itu, mesin rempeyek ini juga berkonsepkan sistem mekanikal automatik yang menggunakan silider pneumatik.

Empat unit tangki telah disediakan di dalam set mesin rempeyek ini. Dua unit tangki untuk pengisian tepung dan dua unit lagi untuk taburan kacang.

Bukan itu sahaja, dua unit dapur turut disediakan dalam set mesin rempeyek automatik ini.

Secara keseluruhannya, mesin ini dicipta untuk memudahkan keseluruhan proses pembuatan rempeyek termasuk dari proses pembentukan rempeyek di dalam acuan sehingga proses menggoreng rempeyek.

Syarikat Roziah juga menjual makanan ringan seperti rempeyek dan kerepek serta menerima tempahan untuk sebarang majlis seperti kenduri kahwin dan majlis jamuan.