Kata-kata ini agak klise dan diungkapkan oleh penyampai ramalan cuaca sambil menunjukkan paparan grafik yang menceritakan keadaan cuaca dalam tempoh mendatang sambil menyebut beberapa parameter biasa seperti suhu kelembapan, dan keadaan angin serta awan.

Kaedah menyampaikan ramalan cuaca yang dilakukan itu masih diteruskan dengan sedikit penambahbaikan untuk menarik pengguna serta meningkatkan kefahaman mereka.

Usaha memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan memahami iklim dan cuaca diteruskan dengan pelbagai cara termasuklah memanfaatkan teknologi sedia ada.

Harapan rakyat masa kini terhadap perkhidmatan kerajaan kian meningkat akibat daripada  peningkatan kebolehan dan keupayaan teknologi baharu yang menghendaki perkhidmatan berkualiti, cepat, mudah dan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa.

Bagi merealisasikan harapan tersebut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membangunkan kemudahan aplikasi mudah alih myCuaca  yang mengandung data dan maklumat berkaitan untuk dimanfaatkan oleh pengguna.

Ketua Pengarah MetMalaysia,  Datuk Che Gayah Che Ismail berkata, myCuaca dibangunkan sebagai saluran penyampaian maklumat dan amaran untuk keadaan cuaca, semakan kejadian gempa bumi dan amaran tsunami kepada orang ramai dengan kadar yang cepat.

“Antara maklumat yang terkandung dalam aplikasi berkenaan adalah kejadian gempa bumi seperti lokasi dan waktu kejadian serta imej radar dan amaran mengenai keadaan cuaca yang membolehkan pengguna mencapai dengan mudah,” ujarnya.

Justeru, ia memberi kemudahan kepada orang ramai bagi capaian (akses) sumber maklumat sahih dan terkini mengenai cuaca, gempa bumi dan tsunami di hujung jari mereka pada bila-bila masa.

Maklumat sahih ini dapat mengelakkan orang ramai untuk mempercayai khabar angin mengenai cuaca, gempa bumi dan tsunami.

Penyampaian maklumat terkini yang cepat membolehkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya bencana alam disebabkan oleh cuaca, gempa bumi dan tsunami. Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apps Store iTunes secara percuma.

MyCuaca dilancarkan oleh bekas Menteri MOSTI, Datuk Dr. Ewon Ebin sempena perasmian Hari Meteorologi Sedunia di Putrajaya pada 2015.