Sesuai dengan evolusi bidang pertanian pameran yang diadakan amat menepati keadaan semasa. Antaranya ialah pameran robotik kulinari, sumber rezeki baharu dan teknologi pertanian terkini. Penunjung juga mungkin teruja dengan konsep jualan pasar raya besar, miracle garden, Kampung Digital Mok Cun dan festival kanak-kanak terbesar LolaBaba.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beberapa pembaharuan diperkenal dalam MAHA kali ini yang merangkumi kelainan pameran dan inovasi.

“Kita tampilkan beberapa inovasi terbaharu MAHA kali ini seperti industri robotik kulinari dan konsep dari makmal ke meja hidangan.

Di samping itu, Salahuddin berkata, beliau sangat tertarik dengan penglibatan usahawan muda yang semakin menampakkan peningkatan.

“Satu benda saya cukup tertarik ialah bagaimana penglibatan usahawan muda yang semakin menampakkan peningkatan dan saya lihat kalau beginilah indikator masa depan industri, maka semua sektor pertanian akan dapat dipertingkat.

“Sebab teknologi baharu seperti Internet of Things (IoT), agrobioteknologi adalah masa depan anak-anak muda dan menerusi program usahawan muda ini, saya yakin masa depan cukup gemilang. Sebanyak 30 peratus golongan muda terlibat pada MAHA kali ini,” katanya.

Oleh itu katanya, satu Majlis Usahawantani Muda akan dilancarkan pada tahun depan melihatkan kepada komitmen dan penglibatan usahawan muda yang sangat meyakinkan.

“Perkara ini telah dibincangkan pada peringkat pegawai kementerian menerusi satu proses perbincangan yang panjang kerana benda ini benar-benar dapat diangkat sebagai satu platform penting.

“Maka perlukan kertas Kabinet dan ia telah disiapkan, dan dibawa ke Kabinet dan sekiranya diluluskan, kita akan melancarkan pada tahun depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, MAHA kali ini turut mengetengahkan kepentingan teknologi dan inovasi pertanian (agroteknologi) dalam industri agromakanan negara.

Melalui kecanggihan agroteknologi, lebih banyak produk pertanian dapat dihasilkan dengan lebih efektif dan secara tidak langsung ia dapat menerajui kedaulatan makanan negara.

Antara yang menarik bakal dipamerkan pada MAHA 2018 adalah dron yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan IoT bagi menggalakkan pertanian Malaysia beralih kepada pertanian berasaskan internet.

Selain itu, antara laman yang menjadi perhatian ialah laman sayur dan laman herba yang dijangka bakal menarik perhatian ramai pengunjung seperti tahun-tahun sebelumnya melalui pameran tanaman berkonsepkan sayuran menarik yang disediakan.

Dalam pada itu, berucap pada perasmian MAHA 2018 baru-baru ini, Salahuddin menyatakan untuk jangka masa sederhana (2019-2020), pihaknya memberi fokus untuk memodenkan dua sektor utama iaitu padi dan perikanan.

“Perjuangan saya adalah untuk membawa keluar pesawah dan nelayan daripada belenggu kemiskinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, bersesuaian dengan hala kementerian dan selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-11, MAHA kali ini menampilkan aplikasi pertanian moden sama ada dalam penggunaan mekanisasi terbaharu bahkan penggunaan IoT dan kepintaran buatan (AI) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Bagi beliau, MAHA 2018 lebih bermakna dengan konsep yang diterapkan iaitu agroteknologi.

Beliau memberi tahu terdapat 15 kluster yang unik dengan tarikan masing-masing menerusi pelbagai produk agroteknologi yang dipamerkan.

Laman-laman yang ada pada edisi MAHA 2018 lebih berseri dan diklusterkan semula untuk menonjolkan kepentingan penggunaan teknologi dalam subsektor-subsektor agromakanan.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan telah menggariskan lima hala tuju kementerian dalam memacu sektor pertanian di negara ini.

  • Memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ternakan, tenusu dan perikanan.
  • Merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian.
  • Menjadikan pertanian sebagai sumber rezeki yang kukuh dan menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda.
  • Menambah baik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan.
  • Menyusun semula struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk menambah baik sistem penyampaian serta tadbir urus.

Minuman berkhasiat gabungan nanas, kelapa

GABUNGAN jus nanas dan kelapa dalam satu botol?

Pernahkah anda terfikir bagaimana dua jenis jus yang berlainan rasa iaitu masam manis bagi nanas dan manis bagi kelapa disatukan dan menjadi minuman berkhasiat untuk tubuh?

Itulah yang dilakukan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang melancarkan produk minuman berkhasiat, Pinacolama.

Pinacolama adalah gabungan daripada perkataan nanas, kelapa dan Malaysia, merupakan minuman campuran dua jenis buah itu yang diketahui umum sebagai buah-buahan terhebat serta mempunyai khasiatnya tersendiri.

Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, hal ini bertepatan dengan status Malaysia sebagai antara negara utama yang banyak menanam jenis tanaman ini.

Katanya ketika ini, keluasan tanaman nanas adalah seluas 12,433 hektar dengan pengeluaran sebanyak 438, 811 metrik tan, manakala keluasan kelapa pula seluas 81,585 hektar dengan pengeluaran sebanyak 538,685 metrik tan.

“Pinacolama mempunyai rasa yang unik kerana terdapat sedikit rasa lemak daripada santan kelapa, ditambah pula dengan kesegaran daripada air kelapa dan masam manis dari buah nanas varieti MD2 yang digunakan dalam pemprosesan minuman ini.

“Terdapat dua jenis produk yang dihasilkan oleh LPNM iaitu Pinacolama dan Skinny Pinacolama yang mempunyai rasa yang berbeza,” ujarnya.

Pelancaran jus berkenaan sempena MAHA 2018 telah disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang turut dihadiri timbalannya, Sim Tze Tzin.

Tidak dinafikan pelbagai khasiat yang terkandung dalam minuman ini iaitu nanas mempunyai pelbagai khasiat seperti kandungan Vitamin C dan B yang mampu membantu penyerapan zat besi ke dalam saluran darah selain kandungan karbohidratnya yang dapat melicinkan proses pencernaan dan sistem penghadaman.

Buah kelapa pula mengandungi kandungan antikoksida yang mampu melindungi tubuh daripada gangguan radikal bebas serta mampu melambatkan proses penuaan kulit.

Selain itu, buah kelapa mempunyai Vitamin C dan zat besi yang mampu mempertingkat imunisasi dan daya ketahanan tubuh bagi melawan penyakit.

Justeru, gabungan dua bahan hebat ini mampu memberi manfaat berganda bagi sesiapa yang mencubanya.

DOF tawar tarikan laman

JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) tidak melepaskan peluang memperkenal 15 tarikan utama komponen perikanan sepanjang MAHA 2018 ini. Menariknya, semua tarikan tersebut merangkumi Wow Fun, Wow Agrotechnology dan Wow Education yang bersesuaian dengan semua lapisan umur.

Galeri teknologi akan menempatkan pelbagai teknologi dan inovasi industri perikanan merangkumi industri huluran dan hiliran.

Selain pameran dan replika bot berteknologi tinggi, DOF turut menyediakan pameran ikan bernilai tinggi dan sukar ditemui di Galeri Ikan Sungai, manakala ikan-ikan sungai dan tumbuhan akuatik pula ditempatkan di Galeri Vivarium.

Selain itu, peminat ikan belaan pasti menyukai Galeria Aquarius yang menawarkan aktiviti menyuap ikan besar dan menyauk ikan yang boleh dibawa pulang untuk dipelihara.

Pengunjung juga boleh rehat sebentar dan merasai keenakan Nasi Kandar Apollo yang menyajikan masakan tempatan istimewa dan keunikan sajian kari mata tuna dengan saiz mata tuna hampir satu kilogram.

Selain Rumah Nelayan Terbalik seperti tahun sebelumnya, terdapat juga peluang perniagaan dalam bidang perikanan dibuka kepada pengunjung iaitu DOF menghimpunkan peniaga-peniaga perikanan untuk padanan perniagaan dan menambah pendapatan.