Ditubuhkan sebagai pusat bagi acara dan aktiviti yang berasaskan pertanian pada tahun 2008, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) kini merupakan pusat penting bagi menganjuran acara bukan sahaja tempatan, malah acara bertaraf antarabangsa.

Berkeluasan 130 hektar (ha), MAEPS yang berperanan sebagai sebuah tapak pameran yang terletak di atas tanah yang dimiliki Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI).

Selain itu, ia juga merupakan salah satu penanda aras era baharu dalam pembangunan industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Norafizah Rahman, MAEPS dibina khas bagi penganjuran acara Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA).

Justeru, katanya, objektif penubuhannya ialah sebagai tapak kekal MAHA bagi tujuan mempromosikan program-progam anjuran kementerian untuk mewadahkan industri pertanian di Malaysia.

Pelbagai acara berasaskan pertanian sama ada inovasi atau penemuan terbaharu dalam industri berkenaan akan dipamerkan kepada orang ramai sebagai pendedahan dan menarik minat lebih ramai orang untuk memajukan bidang pertanian di Malaysia.

“Ia juga merupakan tapak acara yang terbesar di Malaysia dan fleksibel iaitu merangkumi kawasan dewan pameran dan lokasi acara luar.

“Objektif yang telah ditetapkan adalah bertujuan untuk merealisasikan visi MAEPS untuk menjadi satu destinasi yang diperkaya dengan pengetahuan yang unik dan bertaraf dunia,” ujarnya.

Pada masa yang sama, MAEPS turut menyumbang kepada industri agropelancongan dan MICE.

Jelas Norafizah, tapak tersebut berperanan sebagai taman agropelancongan negara menjelang MAHA 2018.

Bagi tujuan itu, katanya, ia mengandungi tiga komponen yang utama iaitu Laman Agro, Rekreasi Agro dan Rumah Negeriku.

Bagi komponen Laman Agro, pengunjung diberi pilihan untuk memilih pakej-pakej yang ditawarkan iaitu lawatan berpandu (tempahan awal) atau Tram Ride (walk in) dengan harga yang berpatutan.

Dengan pakej lawatan berpandu tersebut, pengunjung akan dibawa ke laman-laman di MAEPS iaitu Laman Herba, Mini Ladang Lebah Kelulut, Laman Nanas, Laman Jentera, Laman Padi, MAEPS Eco-Farm dan Laman Ternakan (Goat2Go Farm).

“Di laman-laman ini pengunjung diberi peluang untuk melihat demonstrasi seperti pemprosesan madu kelulut, susu kambing, bermain-main dengan kambing, mix soil dan pembuatan biskut.

“Pengunjung juga berpeluang untuk merasai sampel makanan seperti air pegaga, air halia, nasi himpit dan makanan berasaskan nanas.

“Sesi teh tarik dan kuih tradisional turut disediakan kepada para pengunjung melalui tempahan pakej ini,” jelasnya.

Di samping itu, bagi komponen Rekreasi Agro pula, pelbagai aktiviti rekreasi ditawarkan di MAEPS seperti trek jogging, berbasikal, menunggang kuda, memanah, perkhemahan, joy ru’, agrohunt dan orbing.

Sementara itu, komponen yang masih dalam perancangan adalah Rumah Negeriku yang menggunakan sepenuhnya tiga belas Rumah Negeri di bawah kerajaan negeri.

Antara aktiviti atau pakej yang ditawarkan adalah rumah inap, persembahan kebudayaan, makanan istimewa negeri, produk keluaran negeri dan majlis perjumpaan semula.