Bagi mempertingkat kesedaran akan keperluan mengambil susu segar dalam diet harian masyarakat hari ini, kerajaan bersama agensinya dan swasta yang terlibat mula melaksanakan program bagi memperkasanya.

Salah satu usaha tersebut adalah dengan mempertingkat pengeluaran susu segar menerusi Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Pahang.

Projek tersebut melibatkan kerjasama awam-swasta yang dimulakan pada tahun 2012 oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jebasingam Issace John, selaras dengan agenda transformasi kerajaan, pihaknya komited dalam usaha meningkatkan kemahiran warga tempatan.

“Menerusi program sebegini kami memberikan tumpuan kepada warga tempatan terutama dari kawasan luar bandar.

“Ini bagi memastikan mereka menerima manfaat daripada pertumbuhan industri pengeluaran tenusu,” katanya.

Penubuhan MSCRIC adalah sebahagian daripada srategi Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menambah hasil yang dinikmati oleh peladang dan usahawan tani.

Ketika ini, industri tenusu tempatan bergantung kepada bekalan susu import yang dianggarkan bernilai RM3.24 bilion setahun.

Hal demikian kerana bekalan susu tempatan hanya mampu memenuhi lima peratus daripada permintaan dalam negara.

Diterajui The Holstein Milk Company Sdn. Bhd. (Holstein), MSCRIC dilihat mampu mentransformasikan industri perniagaan tani di Muadzam Shah, menerusi penghasilan susu segar sekitar 2.56 juta liter setahun.

Jumlah tersebut setara dengan sembilan peratus daripada jumlah pengeluaran susu domestik di Semenanjung Malaysia.

Bagi mempertingkat lagi usaha tersebut, sebuah kilang telah dibangunkan dan apabila siap kelak, pengeluaran susu di MSCRIC dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda dari 2.56 juta liter kepada 5.36 juta liter setahun.

Kilang baharu tersebut terletak bersebelahan dengan MSCRIC akan mewujudkan 25 peluang pekerjaan baharu untuk warga tempatan sebagai tambahan kepada 53 peluang pekerjaan yang sedia ada di hab tenusu itu.

MSCRIC ditubuh berdasarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memastikan penyampaian berimpak tinggi dan pelaksanaan yang pantas pada kos yang rendah.

Projek tersebut juga membuktikan kejayaan perkongsian antara entiti awam dan swasta seperti Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Penubuhan MSCRIC juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan industri tenusu tempatan sebagai salah satu Projek Penggerak Ekonomi (EPP) bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Kluster Tenusu.

Menerusinya, syarikat induk akan memantau semua aspek operasi tenusu, bermula daripada proses pengeluaran sehingga pemasaran.

Kejayaan MSCRIC juga akan menjadi contoh kepada projek tenusu yang akan datang di ECER dan rancangan turut dibentuk untuk melaksanakan satu lagi projek integrasi bagi mewujudkan sebuah lembah tenusu di Jemaluang, Mersing.

Projek tersebut dijangka dapat menyumbang sebanyak empat juta liter susu bernilai RM18 juta dan 60 peluang pekerjaan baharu menjelang 2021.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkesempatan melawat ke MSCRIC dan menyaksikan kemajuan projek transformasi tersebut termasuk pembinaan kilang pemprosesan tenusu baharunya.

Yang turut serta dalam lawatan tersebut adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Sharif Haron dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan mewujudkan Lembah Tenusu Muadzam Shah sebagai projek nasional bagi meningkatkan industri tenusu tempatan.

Beliau mengumumkan perkara tersebut berikutan mahu menubuhkan Lembaga Tenusu bagi membudayakan rakyat negara ini terutama kanak-kanak generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) meminum susu segar.

“Bagi menjayakan agenda tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengetuai lembaga itu agar dapat memacu pembangunan industri tenusu negara.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) perlu dilibatkan bagi mengembangkan industri tenusu secara holistik dan bersepadu,” katanya.

Pada majlis tersebut, perdana menteri turut menyampaikan surat pelantikan kepada enam orang peladang satelit yang dipilih oleh Holstein sebagai kumpulan peserta projek yang pertama.

Setiap penerima tersebut akan dilatih dan diberi panduan untuk menghasilkan susu mentah bermutu tinggi mengikut piawaian antarabangsa serta meningatkan kadar pengeluaran sehingga 20 peratus.

Program itu dilihat dapat meningkatkan pendapatan peladang dan menggalakkan pertumbuhan industri tenusu tempatan yang mampan.

Kumpulan pertama itu juga turut menerima geran menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi bagi membangunkan ladang mereka.

 

Pembangunan usahawan tenusu

Bagi memastikan susu segar dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat hari ini, Pengarah Urusan dan Pengasas Holstein, Loi Tuan Ee telah membina jenama susu segarnya yang tersendiri iaitu Farm Fresh.

Menerusi sistem pemasaran yang unik, kini produk tersebut telah menguasai lebih 39 peratus pasaran susu segar tempatan.

Jelas Tuan Ee, walaupun kebanyakan produk tenusu yang diimport menggunakan susu bancuhan dengan mengabungkan susu segar, susu tepung, pepejal dan pengawet di dalam produk mereka, Holstein kekal sebagai salah sebuah syarikat tenusu Malaysia yang memasarkan susu segar terus dari ladang.

“Kami berbangga dengan kejayaan memasarkan jenama ini dan sebagai salah sebuah syarikat tenusu yang memasarkan susu segar dalam negara.

“Hal ini diperkuat lagi dengan sokongan oleh aktiviti penyelidikan dan pembangunan kami di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC),” katanya ketika ditemui di Muadzam Shah, Pahang, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, sokongan yang diberikan oleh kerajaan menerusi agensinya, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Holstein merancang untuk mempelbagai aktiviti di kawasan seluas 240 ekar yang telah diperuntuk.

Kawasan tersebut telah diperuntuk oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di MSCRIC dan akan memanfaatkan kapasiti yang sedia ada dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai destinasi agropelancongan yang menarik.

Kejayaan jenama tersebut adalah disokong oleh projek Pembangunan Usahawan Mikro menerusi program Home Dealer.

Fokus Holstein adalah kepada ejen-ejen khas di rumah yang dikenali sebagai Home Dealer di seluruh negara.

Pengasas sistem tersebut, Azmi Zainal berkata, sehingga kini terdapat 150 orang Home Dealer yang aktif melaksanakan pengedaran dan pemasaran produk susu segar Holstein.

“Mereka ini terdiri daripada suri rumah, belia yang mengganggur dan mereka yang benar-benar berminat untuk membuat pemasaran.

“Pada mula saya akan ragu akan sistem pemasaran seperti ini kerana memikirkan penerimaan masyarakat kita, namun maklum balas yang diterim amat mengujakan,” katanya.

Jelas Azmi, pengedar yang dilantik bukan sahaja dapat mempromosi produk tersebut dengan baik malah turut mampu meraih pendapatan sekitar RM700 hingga RM3,500 sebulan dengan hanya menjual produk tersebut dari rumah sahaja.

Setelah menyedari akan potensi produk tersebut dapat berkembang lebih jauh, terdapat pengedar yang sanggup melabur dalam jumlah yang besar dan mampu meraih pendapatan yang mencecah lima hingga enam angka.

Tiga orang pengedar yang paling menyerlah telah dianugerahkan sijil khas disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengiktirafan atas pencapaian dan inspirasi kepada usahawan mikro yang lain.

“Pencapaian mereka ini membuktikan usahawan mikro yang diwujudkan oleh Holstein menerusi jenama Farm Fresh mampu menjana pendapatan yang stabil sekaligus merubah kehidupan mereka,” katanya.

Perkara tersebut turut diakui Norhayati Mohammad, 30, yang sanggup meninggalkan kerjayanya sebelum ini sebagai pengurus sebuah pusat gimnasium.

Jelas Norhayati, dia melihat peluang perniagaan yang luas kerana industri tenusu tidak begitu berkembang lagi pada masa ini.

“Produk susu segar sebenarnya tidak mencukupi di negara ini, kita lebih banyak bergantung kepada produk luar yang berharga mahal namun tidak pasti akan kesegarannya yang sebenar.

“Peluang ini tidak saya sia-siakan dan sanggup melabur sebanyak RM20,000 untuk menyediakan stok susu segar dan peralatan seperti peti sejuk pada peringkat awal terlibat dalam perniagaan ini,” katanya.

Norhayati mampu menjana pendapatan lumayan setiap bulan malah pernah melakukan jualan susu sebanyak 800 karton (12 botol satu karton) dalam masa enam jam.

Walau bagaimanapun dia berkongsi pengalaman pada awal penglibatannya dengan menjual susu tersebut di kaki lima, sekitar surau dan masjid malah juga di pasar malam.

“Apabila orang mula mengetahui kelebihan produk ini mereka sendiri mula mencarinya dan saya tidak lagi perlu bersusah-susah untuk mempromosinya lagi.

“Jika pada peringkat awalnya dahulu saya sanggup membuka berbotol-botol stok susu segar agar orang ramai dapat merasainya dengan percuma,” katanya.

Kini Nohayati telah menjadi stokis utama dan di bawahnya terdapat 48 orang lain menjadi pengedar dari rumah ke rumah sepertinya dahulu.

Lebih ramai lagi peladang satelit dijangka menerima manfaat daripada projek tersebut kerana ECERDC menyasarkan sehingga 100 peluang keusahawan menjelang 2020. Mereka dijangka menerima manfaat daripada projek tersebut kerana dipilih oleh Holstein sebagai kumpulan peserta projek yang pertama.

Setiap penerima tersebut akan dilatih dan diberi panduan untuk menghasilkan susu mentah bermutu tinggi mengikut piawaian antarabangsa serta meningatkan kadar pengeluaran sehingga 20 peratus.

Program itu dilihat dapat meningkatkan pendapatan peladang dan menggalakkan pertumbuhan industri tenusu tempatan yang mampan.

Kumpulan pertama itu juga turut menerima geran menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) atau Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi membangunkan ladang mereka.

 

Tahukah anda

* Malaysia memerlukan 1.4 bilion liter susu setahun

* Kira-kira 94.4 peratus daripada jumlah tersebut perlu diimport dari Australia, New Zealand dan beberapa lagi negara lain.

* Permintaan domestik dijangka meningkat sebanyak 3.2 peratus setahun dan akan mencapai jumlah 1.9 bilion dalam jangka masa empat tahun.

* Holstein memegang lebih 38.3 peratus pasaran susu segar di Malaysia dan menghasilkan lebih satu juta botol susu segar sehari.

* Bermula dengan hanya 100 ekor lembu tenusu pada tahun 2009, Holstein kini mempunyai lebih 3,200 ekor lembu tenusu dengan separuh darinya diternak di MSCRIC.

* The Holstein Milk Company yang menghasilkan susu jenama Farm Fresh telah dianugerahkan Outstanding Dairy Farm Award dari Livestock Asia pada tahun 2015.