Bagaimanapun disebalik kejayaan demi kejayaan yang dikecapi institut tersebut, FRIM sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam memastikan litupan hijau semula jadi negara terus kekal sehingga bila-bila.

Bermula dari cabaran menghasilkan teknologi terkini dalam memelihara dan memulihara sumber hutan yang semakin pupus sehinggalah kepada mempertahankan kawasan institut itu sendiri daripada gangguan pembnagunan, FRIM sentiasa teguh berdiri.

Menurut ketua pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod, di sebalik kejayaan dan kemampuan FRIM terus bertahan sehingga kini, media adalah antara rakan karib yang selalu memberi sokongan.

Ujar beliau, tanpa sokongan media secara berterusan adalah mustahil bagi FRIM dapat terus bertahan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

“Di FRIM kami hanyalah merupakan saintis yang bertanggungjawab memelihara dan memulihara khazanah negara ini (hutan).

“Kami amat menyedari kepentingan hutan kepada negara kita terutamanya kepada masyarakat namun tanpa pihak media yang menguar-uarkan maklumat ini kepada umum maka segala maklumat penting di FRIM pastinya sukar untuk disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Media di Kepong, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, FRIM telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semulajadi Negara dan itu merupakan antara penghargaan terbesar bagi institut tersebut agar dapat terus kekal relevan masa akan datang.

“Di FRIM kita memiliki ribuan spesies pokok-pokok hutan yang hampir pupus ditanam semula di sini bagi memastikan kesinambungan baka dan spesies tersebut terus kekal.

“Biarpun begitu ramai yang tidak memahami akan kepentingan spesies-spesies tumbuhan dan pokok-pokok hutan ini dipelihara dan dipulihara justeru, media memainkan peranan penting dalam memastikan kesedaran dalam kalangan masyarakat terus meningkat,” katanya.

Malaysia beruntung kerana memiliki kepelbagaian spesies flora dan fauna kerana keadaan tersebut membolehkan saintis negara meneroka pelbagai potensinya untuk kepentingan masyarakat tidak hanya dalam negara malah global amnya.

Abd. Latif memberi contoh, tumbuhan herba dan pokok kayu di dalam hutan negara ini memiliki nilai yang tinggi tertutamanya di bidang farmaseutikal.

Nilainya mencecah berbilion ringgit jika penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan produk farmaseutikal dapat di jana menerusi sumber yang masih belum dapat dikenal pasti sepenuhnya dari dalam hutan di negara ini.

Perubatan tradisional contohnya hanya menggunakan sebahagian kecil daripada sumber yang sedia ada di dalam hutan dan masih banyak lagi tumbuhan yang berpotensi besar dapat dikomersialkan.

Bayangkan, jika untuk mengenal pasti spesies tumbuhan yang sedia ada di dalam hutan pun masih belum selesai inikan pula untuk mencari, mengkaji dan mengembangkan potensi sumber hutan sebagai produk bernilai tinggi.

Oleh yang demikian, kelestarian hutan bukan sahaja penting sebagai pembekal oksigen, penyimpan kandungan karbon atau menyejukkan alam sekitar malah lebih daripada itu.

Kewujudan FRIM merupakan langkah tepat dalam memastikan anugerah yang tidak ternilai kepada negara iaitu hutan terus terpelihara dan mampan untuk generasi akan datang.

Bagi menghargai peranan media dalam menyampaikan maklumat dan kesedaran orang ramai serta peranan FRIM, institut tersebut bakal menyediakan kawasan penamaman pokok khas buat pengamal media tempatan.

Dikenali sebagai Laman Media, Dr. Abd. Latif berkata, perkara tersebut masih lagi dalam perancangan untuk memberi peluang pengamal media bukan sahaja menanam malah memelihara sendiri pokok yang ditanam.

“Kita guna konsep bapa dan ibu angkat kepada pokok-pokok yang di tanam oleh pengamal media ini.

“Anda boleh datang menanam pelbagai spesies pokok di kawasan ini dan menjadikannya sebagai pokok angkat anda.

“Laman ini FRIM sediakan khas buat sesiapa sahaja yang bergelar pengamal media sebagai penghargaan kepada usaha anda melestarikan alam sekitar dan peranan FRIM selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM, Dr. Ismail Harun, pihaknya telah mengenal pasti kawasan seluas kira-kira setengah ekar berhampiran pintu masuk kompleks FRIM untuk dijadikan tapak laman tersebut.

“Kita akan minta wakil media menanam pelbagai spesies pokok khususnya yang terancam dan kini kami sedang memilih spesies yang dikenali pasti bergantung kepada stok yang ada,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 17 pengamal media daripada pelbagai syarikat menerima sijil penghargaan FRIM bersama cendera hati sebagai tanda kenang-kenangan daripada pihak insitut tersebut.

Seperti kebiasannya acara setiap tahun itu memberi peluang petugas media menanam pokok dan kali ini mereka menanam nyatoh taban merah (Palaquium gutta).