Penubuhan sekolah berasrama, sekolah menengah sains, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah vokasional serta teknikal juga antara usaha kerajaan dalam menyediakan tenaga manusia dalam bidang sains.

Namun sehingga hari ini, Malaysia masih membincangkan strategi ke arah meningkatkan ahli sains negara dan nisbah pelajar sains berbanding sastera 60:40 pada peringkat sekolah menengah.

Malah perancangan kerajaan sejak tahun 1967 ini telah jauh tersasar dan keadaan semakin membimbangkan apabila kajian Akademi Sains Malaysia (ASM) mendapati hanya 20 peratus pelajar aliran sains dan 80 peratus aliran sastera. Tugas menyempurnakan matlamat kerajaan sejak 1967 ini bukanlah terletak pada Kementerian Pendidikan dan kementerian yang terlibat dengan sains dan teknologi sahaja tetapi semua kementerian.

Bahagian khusus dan diuruskan oleh bahagian dan kakitangan yang berwibawa mesti ditubuhkan dan sebaiknya diletakkan di bawah pengawasan Perdana Menteri.

Malaysia bernasib baik mempunyai sejarah ekonomi yang baik bermula daripada hasil bijih timah, getah, kelapa sawit, minyak dan gas, industri pembuatan dan sekarang pelancongan. Peluang pertumbuhan ekonomi yang baik ini perlu diselaraskan dengan pembangunan sains dan teknologi serta kefahaman masyarakat tentang kerjaya dalam bidang sains dan menggalakkan rakyatnya berinovasi.

Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan menjadikan Malaysia menjadi negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

Sekarang kita bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 (IR4) yang memberi cabaran baharu terutama kekuatan dalam bidang sains dan teknologi.

IR4 yang memerlukan sistem robotik menjalankan kerja seharian terutama dalam industri pembuatan.

Pengetahuan dari segi penyediaan data, pemprosesan data, perkongsian data dan mengintegrasikan dalam pelaksanaan menjadi cabaran baharu.

Bidang automasi, robotik, pengkomputeran awanan (cloud), kepintaran buatan (AI), kemajuan komunikasi dan Internet merupakan perkembangan baharu yang tidak boleh ketinggalan.

Modul kehidupan seharian dalam sesuatu ekosistem boleh ditafsirkan dalam penggunaan teknologi dalam revolusi industri baharu ini. Pendekatan berkesan sangat diperlukan bagi menarik minat generasi muda menguasai bidang sains dan teknologi.

Dana dan komitmen semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan dalam menjayakan hasrat kerajaan menangani Industri Revolusi 4.0.

Salah satu pendekatan untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains ialah menerusi pendidikan alam sekitar atau alam semula jadi. Menerusi pendidikan alam semula jadi pelajar diajar tentang keperluan hidup dan cabaran-cabaran dalam kehidupan yang berjaya.

Dalam pendidikan banyak membincangkan tentang kemahiran berfikir, kreativiti dan inovasi. Sekarang dalam abad ke-21, pendekatan untuk pelajar berfikir aras tinggi dan memberikan pendedahan alam sekitar dalam memberikan peluang pelajar mempraktikkan atau berfikir melalui amalan mereka. Pendidikan di luar bilik darjah akan dapat memenuhi matlamat ini.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) misalnya mengambil inisiatif menyokong hasrat kerajaan meningkatkan minat pelajar dalam sains dan teknologi dan memahami kerjaya mereka dalam bidang sains. Kerjaya dalam bidang sains bukan sahaja terhad kepada jurutera dan doktor atau ahli sains. Pegawai pentadbiran dan pengurusan profesional juga memerlukan pengetahuan sains dalam kerjaya mereka.

Pendedahan semua pelajar dalam hal berkaitan sains sangat perlu agar mereka dapat berfikir secara saintifik dalam kehidupan seharian dan membuat keputusan. Melalui program pendidikan alam sekitar MNS, pelajar didedahkan dengan perkara asas berkaitan alam semula jadi, kelestarian dan kepentingannya kepada manusia, kualiti alam sekitar dan sebagainya.

Setelah lebih 60 tahun merdeka pelajar masih lebih mengetahui zirafah, kuda belang, singa, beruang kutub, dan gajah Afrika yang bertelinga besar berbanding seladang, harimau Malaya, tapir, beruang matahari dan gajah Asia. Sebagai negara yang kaya kepelbagaian biologi seharusnya ilmu ini diperkasa di sekolah terutama dalam kalangan guru-guru.

Lebih 30 tahun dahulu, MNS telah aktif menjalankan aktiviti pendidikan alam sekitar. Pendidikan alam sekitar dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi kerajaan lain serta swasta.

Aktiviti menerusi Kelab Pencinta Alam (KPA) yang ditubuhkan di sekolah-sekolah sejak 1991 mendapat kerjasama sepenuhnya oleh kementerian.

Kerjasama kementerian dan MNS ini mendapat sokongan swasta yang menaja aktiviti sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat. Sokongan korporat ini telah mengizinkan MNS meneruskan aktiviti KPA.