Revolusi Perindustrian dan pemodenan di Eropah menjadi bukti tentang bagaimana kejatuhan nilai dan norma bangsa mereka. Kesan daripada pembangunan yang drastik dari sudut ekonomi semata mata, mewujudkan bangsa yang tidak bergerak secara selari dalam pembangunan kendiri, emosi dan rohani.

Kecanggihan teknologi mengundang banyak kebaikan kepada kesan kemajuan sesebuah ekonomi, namun ia memberi kesan kepada pembangunan minda dan sebuah peradaban.

Malah dengan kecanggihan teknologi yang berada di hujung jari, setiap minit membuka ruang pendedahan masalah sosial yang berlaku dalam persekitaran setempat.

Sebagai golongan yang masih mencari keperibadian dan identiti diri, golongan belia merupakan kumpulan sosial yang paling mudah diserang oleh perubahan budaya.

Mereka lebih suka mengamalkan sesuatu perkara yang mendapat pengiktirafan sosial daripada mengamalkan perkara yang telah menjadi norma budaya setempat. Impak daripada transisi dan perubahan mengundang kepada pelbagai masalah psikososial.

Peningkatan masalah kesejahteraan emosi dan mental. Ditambah pula dengan tekanan makro dan mikro dalam kehidupan seperti tekanan pencapaian, tekanan kesesakan, tekanan ekonomi dan tekanan kendiri.

Kesemua faktor ini menyumbang kepada isu kesejahteraan, sosial, emosi dan mental seseorang belia. Pendekatan dalam membantu menyelesaikan masalah belia masa kini perlu berubah daripada memfokuskan kepada punca keterlibatan dalam sesuatu serta mengubah sistem pengurusan kepada mengubah belia itu sendiri dari sudut, pemikiran, tingkah laku dan perasaan. Oleh itu pendekatan teknik psikoterapi dan kaunseling perlulah dilaksanakan dengan kreatif dan sesuai dengan kelompok sasaran yang dijalankan.

Permasalahan tersebut mendapat perhatian seorang penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP), Norizan Yusof yang menjalankan penyelidikan mengurus psikologi dan emosi.

Menurut Norizan yang juga pelajar kedoktoran dalam bidang teknologi kemanusiaan, penyelidikan beliau merupakan kajian pembangunan modul yang digunakan oleh pelajar aliran teknikal dalam pengurusan dan pembangunan aspek psikologi, emosi dan spiritual.

“Idea kajian bermula ketika perbincangan mengenai masalah yang dihadapi pelajar yang berada dalam aliran teknikal. Maka perbincangan berkisar tentang sebuah teknik yang holistik, kreatif dan mampu mengukur perubahan yang berlaku kepada pelajar,” ujarnya sambil memberitahu penyelidikan ini dimulakan sejak tahun 2014 dan siap tahun ini.

Dalam kajian tersebut, beliau menggunakan bioefeedback yang mampu mengukur perubahan sebelum dan selepas kajian dijalankan menjadikannya lebih berkesan dan lebih dipercayai.

Biofeedback ialah sejenis alat yang terdiri daripada perisian dan perkakasan yang digunakan untuk melihat gelombang dan frekuensi psikofisiologi manusia. Ia merupakan satu alat yang dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) dan digunakan secara menyeluruh dalam semua bidang seperti ketenteraan, sukan dan peningkatan prestasi.

Biofeedback masih kurang digunakan di negara ini dalam bidang kritikal seperti terapi yang membantu peningkatan kualiti diri seseorang. Malah penggunaan alat tersebut mampu mengukur keadaan dan perubahan diri seseorang.

Frekuensi dalam alat biofeedback terbahagi kepada tiga frekuensi iaitu Band Frekuensi Sangat Rendah (VLF) terdiri daripada frekuensi kurang daripada 0.04 Hz (hertz) atau diwakili dengan warna merah, band Frekuensi Rendah (LF) mempertimbang frekuensi di antara 0.04 dan 0.15 Hz yang diwakili dengan warna biru dan band Frekuensi Tinggi (HF) melihat frekuensi di antara 0.15 dan 0.4 Hz yang diwakili dengan warna hijau.

Alat ini membantu menunjukkan perubahan fisiologi pelanggan selepas menjalani sesi rawatan psikologi.

Katanya lagi, produk dibangunkan dalam bentuk kit biopiskoterapi yang berfungsi sebagai alat bantu kepada ahli terapi seperti kaunselor dan pekerja sosial semasa menjalankan sesi.

Kandungan kit ini lengkap mengandungi buku panduan, cakera padat (CD), serta alat-alat terapi yang bersesuaian dan kandungan ini mudah digunakan oleh kaunselor atau ahli terapi.

Ahli terapi boleh menggunakan setiap kandungan kit tersebut untuk menjalankan sesi.

Perkhidmatan yang ditawarkan juga hasil daripada kit ini adalah latihan bagi ahli terapi dan rawatan untuk klien bagi meningkatkan kecekapan emosi, mengurus masalah psikologi serta melihat kesan perubahan psiko fisiologi melalui teknologi biofeedback.