Berkhatan iaitu memotong lebihan kulit kemaluan atau lapisan kulit yang membaluti bahagian depan alat kelamin lelaki kini tidak hanya dilakukan oleh masyarakat beragama Islam malah diamalkan di serata dunia.

Sebanyak 37 peratus hingga 39 peratus lelaki di dunia memilih untuk berkhatan sama ada atas sebab agama, budaya atau kebersihan mahupun kesihatan.

Di Malaysia, kanak-kanak beragama Islam yang berusia sebelum 12 tahun akan dikhatankan.

Apabila seseorang kanak-kanak lelaki ingin melakukan ibadah khatan, mereka akan dirai seperti raja sehari termasuk memotong pulut kuning yang simboliknya menandakan bahawa mereka kini telah menjadi seorang remaja pastinya meninggalkan kenangan dalam hidup.

Kaedah berkhatan telah mengalami beberapa perkembangan daripada secara tradisional iaitu menggunakan sebilah pisau tajam kini beralih kepada peralatan moden yang lebih bersih, selamat dan kurang menyakitkan berbanding kaedah konvensional.

Bagi kanak-kanak generasi hari ini, mereka tidak lagi akan merasa sakit atau ngilu selepas berkhatan apabila menggunakan kaedah stapler.

Kaedah tersebut diyakini lebih selamat serta berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Menurut Presiden Nano Medic Care Sdn. Bhd., Kol (B) Dr. Sukhilmi Othman, kaedah berkhatan melalui teknik stapler pakai buang, ZSR Disposable Circumcision Anastomat (DCA) (ZSR) digunakan dalam prosedur pembedahan urologi.

Kaedah ini jelasnya memberi hasil berkhatan yang sempurna, selamat dan cepat.

“Menerusi kaedah tradisional menggunakan pisau yang dipraktikkan sejak 500,000 tahun lalu, ia merupakan proses paling lama iaitu antara 30 minit hingga sejam. Kulit akan dijahit selepas lebihan kulit dipotong.

Proses tersebut menyebabkan pendarahan yang banyak.

Jika tidak dijaga dengan baik, dikhuatiri terkena jangkitan kuman yang menyebabkan bernanah atau berkudis.

“Sementara kaedah Cauter Circumcision Surgery yang masih digunakan sehingga hari ini seperti clamp atau laser iaitu memotong dan membakar lebihan kulit kemaluan masih mendatangkan risiko yang tinggi.

“Dalam setahun, sebanyak 12 kes memerlukan pembedahan pembaikan tetapi tidak akan berlaku kemalangan seperti ini jika menggunakan teknologi ZSR kerana tidak terdedah kepada jangkitan kuman kerana kurang pendarahan, malah tidak perlu dijahit,” katanya.

Beliau memberitahu, teknik pemotongan melalui ZSR amat mudah dilakukan dan dapat dilakukan dengan pantas.

“Loceng akan diletakkan di bahagian hujung kemaluan. Lebihan kulit kemaluan akan diikat dengan benang sebelum dipotong dan stapler dalam masa yang sama.

“Melalui kaedah ini tidak akan berlaku pendarahan yang banyak serta hasilnya lebih kemas dan sempurna,” jelasnya lagi.

Proses berkhatan melalui kaedah ZSR adalah sama seperti menggunakan stapler. Semasa proses tersebut, kemaluan akan diukur terlebih dahulu bagi menentukan saiz ZSR sebelum lebihan kulit kepala dipotong.

Pada dasarnya, penggunaan teknologi baharu ini bukan sahaja direka dengan rekaan yang moden dan mudah digunakan, malah memiliki ciri-ciri keselamatan yang tinggi supaya proses berkhatan dapat dilakukan dengan selamat.

Bukan itu sahaja, produk ini direka menggunakan Gred 316L keluli tahan karat yang amat bagus untuk biokompatibiliti.

Sukhilmi berkata, berkhatan melalui kaedah tersebut juga tidak memerlukan kanak-kanak tersebut memakai device selepas berkhatan.

“Malah sehari selepas berkhatan, kanak-kanak boleh melakukan aktiviti harian yang ringan. Masa untuk pulih antara lima hingga tujuh hari sahaja bergantung kepada kanak-kanak itu sendiri.

“Biasanya pada hari ketiga hingga kelima kemaluan tersebut sudah mula kering dan hari ketujuh stapler itu akan tertanggal dengan sendirinya,” jelasnya.

Berdasarkan kepada kelebihan itu, kanak-kanak tidak perlu menunggu waktu cuti sekolah untuk bersunat, sebaliknya boleh dilakukan pada hujung minggu kerana kesan pembaikpulihannya amat pantas serta tidak perlu menanggung sakit.

Tambahnya, ZSR didatangkan dengan tujuh saiz berbeza yang amat sesuai digunakan untuk khatan bayi sehingga orang dewasa.

Pun begitu, buat masa ini hanya empat sahaja klinik di negara yang menggunakan kaedah tersebut.

“Pihak kami tidak akan melepaskan produk ini tanpa melihat prestasi seseorang doktor tersebut menggunakan peralatan ini.

“Kami akan mengajar cara dan teknik sebelum membenarkan peralatan ini digunakan di klinik atau hospital.

“Justeru itu, dari semasa ke semasa kami akan ‘turun padang’ dan berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat atau mengadakan latihan secara amali bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Bukan itu sahaja, pihak Nano Medic Care juga memperluas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sekolah dengan menaja kanak-kanak yang ingin berkhatan,” ujarnya.

Katanya lagi, proses berkhatan melalui kaedah tersebut dianggar dalam RM750 bagi kanak-kanak dan RM950 bagi dewasa.