Di hampir kesemua negara maju, inisiatif untuk melakukan pemeriksaan fizikal payudara adalah lebih menyeluruh, dan turut mendapat kerjasama penduduk.

Ini secara langsung telah menurunkan jumlah penghidap kanser payudara di negara maju, kerana penduduknya menyedari kepentingan pemeriksaan payudara kendiri secara tahunan, lalu mengesan tanda-tanda awal kanser ini, dan mendapatkan rawatan kemoterapi, radioterapi, atau pembedahan. Untuk pengidap kanser payudara Tahap I dan II, kebarangkalian untuk sembuh adalah amat tinggi jika pengesanan awal dapat dibuat, dan rawatan susulan dilaksanakan secepat mungkin.

Peralatan yang biasa digunapakai bagi pemeriksaan fizikal payudara adalah mamogram, iaitu mesin berasaskan x-ray yang direka bentuk khusus untuk memeriksa bahagian payudara wanita. Seseorang pakar radiologi seharusnya mampu mengenal pasti keabnormalan tisu dalam imej yang dihasilkan mamogram menerui pengamatan visual sahaja.

Namun demikian, kemahiran ini hanya hadir dengan pengalaman yang luas, dan terdapat kemungkinan keabnormalan tisu payudara yang bersaiz kecil akan terlepas daripada dianalisis. Di sinilah terdapatnya keperluan bagi membangunkan penyelesaian bagi mengurangkan kebarangkalian terlepasnya pengenalpastian keabnormalan tisu yang bersaiz kecil, terutamanya yang berdiameter kurang daripada tiga sentimeter (sm).

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) cuba membantu keadaan ini dengan menggunakan gabungan kepakaran kejuruteraan bioperubatan dan teknik pemprosesan imej termaju.

Menurut ketua penyelidik Dr. Khairunnisa Hasikin, daripada Kejuruteraan Bioperubatan UM, pengaturcaraan komputer ke atas imej mamogram yang diperoleh menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Kesemua imej di dalam set mamogram yang diuji menggunakan sistem ini dapat mengesan keabnormalan di dalam imej yang bersaiz lebih kecil daripada tiga sentimeter (sm).

Menariknya, sistem tersebut juga mampu menyisihkan keabnormalan yang tidak diperlukan, lalu menghasilkan keluaran yang ‘bersih’ tanpa sebarang kehingaran (noise).

“Ini memudahkan pengguna mengesan sebarang keabnormalan dalam imej tisu payudara yang terpapar,” kata Dr. Khairunnisa.

Sistem yang dibangunkan adalah bergantung kepada teknik pengesanan sempadan yang banyak digunakan untuk kebanyakan sistem pengesanan imej secara automatik.

Namun, pembaharuan yang dibawa dalam penyelidikan ini adalah kebolehan untuk menentukan lokasi dan saiz keabnormalan secara automatik, menggunakan sedikit teknik kepintaran buatan.

Sistem tersebut berupaya untuk menerima input daripada kesemua jenis peralatan mamogram, tanpa mengira perbezaan jenis dan pengeluarnya.

“Tujuan sistem ini dibangunkan bukannya untuk menggantikan kepakaran ahli perubatan atau pengimejan dalam menganalisis imej yang didapati daripada mamogram, namun lebih bersifat pelengkap terutamanya dalam kes-kes melibatkan keabnormalan tisu yang bersaiz kecil dan berkemungkinan dilepas pandang oleh jururadiologi yang mengendalikan pemeriksaan payudara dalam jumlah yang besar,” katanya.

Buat masa ini sistem tersebut masih dalam proses penambahbaikan, terutamanya daripada aspek pengujian teknik pengesanan sempadan alternatif yang lain. Perbandingan di antara kesemua teknik yang telah diuji akan dibuat bagi memastikan sistem akhir nanti akan menggunakan teknik atau gabungan teknik yang terbaik.

Perancangan juga sudah dibuat bagi pengujian sistem menggunakan imej sebenar yang diambil daripada sesi mamogram bersama wanita yang menjalani pemeriksaan yang sebenar, setelah kelulusan etika diperoleh dari agensi yang berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai penyelidikan ini boleh didapati menerusi [email protected]