PMT ditubuhkan khas oleh Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (KMP) UPM, menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia yang berjaya melepasi fasa pemeriksaan terakhir teknikal.

Ketua Projeknya, Prof. Dr. Mohd. Khairol Anuar Mohd. Ariffin berkata, Lekir dibina dengan ciri-ciri baharu yang prestasinya melebihi Jebat yang telah dipertanding dalam pertandingan yang sama pada tahun 2016.

Hal ini kerana menurutnya, selepas menyertai SFJ 2016, beliau dan pelajarnya mendapat ilmu dan pendedahan yang lebih baik mengenai pertandingan kereta lumba dari segi aspek teknikal dan pengurusan.

“PMT sekali lagi menyertai pertandingan SFJ di Jepun, baru-baru ini, dengan sasaran yang lebih tinggi dari segi ranking dengan hasrat untuk memenangi Persembahan Reka Bentuk Terbaik bagi kategori Static Event.

“Oleh kerana, kali ini kita cipta kereta lebih ringan iaitu seberat 250 kilogram berbanding dahulu 393 kilogram. Ciptaan ini berdasarkan keadaan selekoh litar,” ujarnya.

Lekir yang diambil daripada nama pahlawan Melayu dibina oleh 13 pelajar dari KMP dan siap dalam tempoh tiga bulan dengan kos keseluruhan berjumlah RM20,000.

Sementara itu, Ketua Pasukan PMT, Ahmad Iffan Zailani berkata, Lekir mempunyai binaan badan yang lebih kompak dan kokpit yang lebih kecil tetapi lebih ergonomik.

“Kebanyakan komponen menggunakan aluminium dan komposit untuk membantu mengurangkan berat kereta.

“Dengan penyertaan lebih ramai pelajar seramai 13 orang berbanding enam orang pada tahun 2016, kita yakin kereta lumba ini akan menjadi lebih dinamik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan fakulti berkenaan, Dr. Zulkiflle Leman berkata, kumpulan tersebut satu-satunya pasukan mewakili Malaysia dan mengharumkan nama negara.

“Kami sangat menggalakkan pertandingan seumpama ini disertai pelajar kerana dapat mencungkil bakat pelajar dengan mempraktikkan pembelajaran yang diajar di dalam bilik kuliah,” katanya.

PMT adalah satu pasukan yang ditubuh khas oleh Jabatan KMP bagi memastikan keberlangsungan aktiviti sukan bermotor dapat dijalankan di UPM.

Projek itu telah diangkat menjadi flagship kepada Jabatan KMP dan sudah pasti dapat mengharumkan Jabatan KMP di UPM sebagai sebuah jabatan yang cemerlang dalam bidang automotif.

Penglibatan PMT dalam pertandingan SFJ pada 2016 berjaya mendedahkan pelajar tentang pertandingan lumba kereta dari segi aspek teknikal, pengurusan dan lain-lain.

PMT telah menjadi satu-satunya pasukan dari UPM dan Malaysia yang berjaya melepasi fasa pemeriksaan terakhir teknikal.

Untuk mencapai hasrat yang dicita-citakan itu, maka setiap ahli PMT telah membina sebuah kereta lumba baharu yang prestasinya melebihi kereta yang dipertanding pada tahun 2016.

Pihak PMT amat berharap mendapat sokongan yang baik daripada pihak awam terutama pihak universiti dan fakulti serta industri automotif di Malaysia.

Perteguh bidang permotoran

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zulkifli Idrus berkata, Putra Motorsport Team dianggotai ahli dari pelbagai disiplin. Sebagai contoh kata beliau, mereka merupakan pelajar dari jurusan komunikasi massa perakaunan, ekonomi dan sebagainya.

Hal ini kerana sukan permotoran bukan hanya melibatkan kejuruteraan sahaja, tetapi kepakaran dari pelbagai bidang.

“Namun begitu, harapan saya yang lebih utama adalah untuk membuktikan bahawa (kereta lumba) Formula Student di Malaysia sebenarnya sama hebat dengan Formula Student yang terdapat di negara-negara lain seperti Jepun, Itali dan Australia.

Menurut beliau, dengan adanya sokongan dari industri-industri yang ada, pastinya Formula Student di negara ini dapat berkembang dengan lebih jauh. Dua tahun lepas, kumpulan PMT menghasilkan sebuah kereta lumba dengan menggunakan 90 peratus barangan terpakai.

Kereta lumba yang dinamakan Jebat itu adalah untuk menaikkan sukan permotoran dalam kalangan pelajar universiti.

Kenderaan Jebat menggunakan enjin 4 silinder 600 cc daripada motosikal Suzuki GSX-600R K5 dan seberat 390 kilogram (kg).

Menariknya, badan kenderaan dibina menggunakan bahan polimer gentian kaca, hasil penyelidikan berdasarkan pelajar-pelajar UPM.