Tidak lama lagi, dunia bakal melalui detik iaitu menuju ke sesuatu destinasi menggunakan kenderaan tanpa pemandu. Perkara itu bukanlah sesuatu yang asing teknologi seperti kenderaan tanpa pemandu mula menjadi antara topik perbincangan di negara ini.

Dalam mendepani cabaran arus teknologi yang berkembang dengan begitu pesat, ditambah dengan tuntutan era revolusi industri, setiap institusi penggajian tinggi perlu bersedia dan peka dalam aspek ekosistem sama ada dalam pembelajaran, penyelidikan mahupun khidmat sosial serta kemasyarakatan. Begitu juga bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tidak ketinggalan dengan kejayaan penciptaan kenderaan tanpa pemandu yang diberi nama Urban IntelligenT Mobile (Uitm) Autonomous Vehicle 1 (AV1).

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Kejuruteraan Elektrikal, UiTM merangkap Ketua Projek Uitm AV1, Dr. Juliana Johari memberitahu, beliau dan pasukannya yang terdiri daripada 15 orang termasuk pensyarah dan pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka berjaya menyiapkan kenderaan berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, kereta tersebut diawasi, dikoordinasi dan diintegrasi dengan menggunakan teknologi pengkomputeran dan komunikasi serta kepintaran buatan (AI)yang selaras dengan perkembangan era Revolusi Industri 4.0.

Antara kehebatan kenderaan berkenaan termasuklah antaranya mampu mengenal pasti kedudukan semasa dan melakukan pemetaan laluan dengan sendiri.

Tambah beliau, secara dasarnya kereta berkenaan merupakan gabungan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan teknologi kenderaan autonomous (AV).

“Dengan kejayaan pelancaran Uitm AV1, kami kini diminta untuk merealisasikan impian untuk mencipta kereta tanpa pemandu AV2 yang ditambah baik dari segi teknologi supaya kereta mampu bergerak sejauh 80 kilometer (km) sejam dengan jarak sejauh 200 km,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kenderaan tersebut dibangunkan dengan melibatkan tenaga mahir dan pakar dalam navigasi jalan melalui penglibatan manusia secara minimum.

Kejayaan tersebut dicapai dengan mengintegrasikan pelbagai sensor elektrik untuk perancangan jalan dan navigasi kenderaan, pengurusan bateri yang cekap untuk ketahanan yang lebih baik dan operasi berpanjangan serta sistem kawalan kenderaan penyesuaian yang membolehkan penghantaran kawalan automatik cecara tepat dan tepat.

Kereta ciptaan anak tempatan itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di UiTM, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Kini, anda boleh menikmati kopi, membaca akhbar atau melakukan urusan secara dalam talian di dalam kenderaan tanpa menghiraukan kesesakan lalu lintas mahu pun halangan di jalan raya.

UiTM miliki kepakaran

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, kejayaan pakar UiTM membangunkan kenderaan tanpa pemandu jelas menunjukkan komitmen yang padu daripada universiti berkenaan dalam menyambut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan semua 20 universiti awam (UA) sebagai kampus pintar atau kampus digital tahun ini.

Katanya, Uitm AV1 itu merupakan model pertama kereta autonomous yang dihasilkan daripada kumpulan pakar universiti berkenaan dan selari dengan hasrat UiTM untuk menjadi universiti rintis yang mampu memandu masa depan baik dari segi kecemerlangan akademik, penghasilan siswazah yang diidam majikan.

Selain itu, ia sejajar dengan hasrat mahu mencapai mutu penyelidikan yang bertaraf antarabangsa dan bersifat futuristik.

Justeru, segala yang diusahakan oleh UiTM adalah selari dengan hasrat negara yang berpegang kepada tujuh pendekatannya yang pragmatik, inklusif, mampan, pelbagai dan terlibat dalam pembangunan untuk memenuhi komitmennya dan mencapai matlamat utama supaya tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.

“Saya secara peribadi ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi kerana memperuntuk sejumlah geran penyelidikan [email protected] bagi membiayai projek ini.

“Projek Uitm AV1 ini merupakan salah satu daripada komponen dalam era digital universiti.

“Selepas ini, satu lagi projek iaitu UiTM Nano-satellite (UiTMSat-1) yang merupakan projek bawah Joint Global Multi-Nation Birds Satellite yang kedua (Birds-2) akan dilancarkan juga pada tahun ini.

“Ia merupakan projek antara disiplin satelit nano yang merentas sempadan bagi negara-negara yang tidak mempunyai enam ruang angkasa dan disokong oleh kerajaan Jepun,” jelasnya.