Mungkin itu yang mendorong pembangunan mesin yang dinamakan robot hari ini sebagai pekerja kepada manusia. Pembangunan mesin yang akhirnya dinamakan robot ini berfungsi membantu kerja manusia terutama yang bercirikan 3D (dirty, difficult and dangerous) atau kotor, rumit dan bahaya.

Malah, robot yang dihasilkan kini lebih canggih berteknologi tinggi seperti contoh pembangunan kepintaran buatan (AI) dan banyak jenis robot berjaya dihasilkan oleh manusia bagi mencapai tujuan tersebut.

Malah, lebih jauh daripada itu, robot yang dihasilkan kini semakin luar biasa tetapi ia bergantung kepada fungsi dan kegunaannya memandangkan ada robot yang dihasilkan di luar jangkaan kita berdasarkan kepada kecanggihannya dan kepintarannya.

Hari ini, banyak pihak sudah melihat akan kepentingan robot dibangunkan terutama industri dan insitusi pengajian tinggi. Industri memerlukan robot terutama di kilang bagi membantu operasi .

Tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan teknologi robotik , Universiti Tenaga Nasional (Uniten) juga membangunkan teknologi yang sama atas pelbagai tujuan dan fungsinya.

Pembangunan robot tersebut telah lama dilaksanakan di universiti berkenaan iaitu sejak 2002 lagi.

Penolong Naib Canselor (Akademik) Uniten, Prof Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata kerja –kerja pembangun teknologi robot di universiti berkenaan bermula tahun tersebut menerusi Mobile Robotics Group (MRG).

``Kami memang meminati robotik kerana dan pada masa itu banyak menyertai pertandingan permainan robot (Robocon) sambil menjalankan penyelidikan berkaitan bidang ini, ‘’ ujarnya.

Pada tahun 2010, MRG telah dinaiktaraf kepada Kumpulan Penyelidik Sibernetik, Kepintaran Buatan, Mekatronik, Automasi dan Robotik (CAMARO) dan bermula daripada itu aktiviti penyelidikan telah menjadi lebih pesat.

Sehingga kini, lebih 50 buah robot telah dihasilkan oleh penyelidik CAMARO.

Antara yang menarik perhatian sepanjang pembangunan teknologi robotik di Uniten adalah kejayaan membangunkan robot yang mampu membantu manusia dalam kerja–kerja harian di rumah seperti melipat kain dan baju.

Robot tersebut yang dinamakan Baxter dibangunkan beberapa tahun lepas dan boleh meniru cara manusia melipat kain, baju atau seluar.

Robot ini mempunyai kelebihan mengenal pasti objek yang dilipat sama ada baju atau seluar atau yang lain. Bermula daripada mengambil satu kain jemuran dari timbunan baju, robot ini boleh mengenal pasti dua bucu kain yang bersebelahan menggunakan teknik pemprosesan imej digital dan juga teknik menyusur sisi kain berdasarkan maklumat daripada penderia. Setelah kedua-dua bucu tadi dipegang, robot kemudiannya akan membentang kain atau baju tadi di atas paltform.

Robot kemudiannya membezakan antara baju, seluar atau kain melalui bentuk kain di atas platform dan menggunakan kaedah yang telah ditetapkan untuk melipatkain tersebut secara simetri.

Robot humanoid setinggi 1.8m ini dikawal menggunakan komputer untuk melaksanakan tugasannya. Robot berkenaan kini masih dalam pembangunan sama seperti beberapa robot lagi yang mampu menggantikan tugasan manusia seperti menghantar barang dan sebagainya.

Di bawah CAMARO, juga pasukan penyelidik membangunkan pelbagai lagi sistem robotik seperti robot pemeriksaan untuk kegunaan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tangan dan lengan robotik, robot dugong dan pelbagai lagi.

Beliau berkata, di Uniten, minat pelajar dalam bidang robotik dipupuk melalui kelab robotik, Mobile Robotics Club (MRC). Keanggotaan kelab ini bermula seawal pengajian asas dan kelab ini begitu aktif membantu menyemarakkan lagi minat di dalam bidang robotik dalam kalangan pelajar Uniten menerusi penyertaan dan penganjuran pertandingan robotik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Antara robot yang dibangunkan di Uniten adalah robot pemeriksa kepala dandang dan tiub dandang yang dilengkapi kamera yang boleh menghantar imej permukaan dalam tiub secara konsisten dan cepat kepada juruteknik dan jurutera bertugas.

Kerja- kerja tersebut sukar dilakukan oleh manusia atas faktor ruang yang sempit dan kedalaman tiub yang kadangkala melebihi 10 meter.

Terdapat beberapa model robot yang dibangunkan untuk kegunaan tiub atau kepala dandang yang berlainan saiz dan konfigurasi

Ada di antara robot tersebut yang sedang diuji oleh TNB untuk memeriksa dandang dan keunikannya antaranya kameranya boleh berpusing untuk merakam gambar 360 darjah.

Kajian lain yang sedang dijalankan adalah pembangunan platform robot mudah alih, perisian menjejak kilat menggunakan kepintaran buatan dan otot tiruan.

Robot yang dihasilkan akan terus dinilai dan ditambah baik supaya ringan dan mudah alih.

Camaro fokus bangunkan humanoid

BERKONGSI lebih lanjut mengenai perancangan akan datang, Prof Ir. Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari selaku ketua Camaro berkata, pihaknya bercadang untuk memberi fokus kepada pembangun robot humanoid tempatan. Pembangunan teknologi robot berkenaan memerlukan belanja besar dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti automasi, elektrik, pemprogram, dan sensor serta mekanikal.

“Dalam hal ini, aspek paling rumit adalah keselamatan dan fungsi terpenting robot ini ialah kemampuannya untuk berinteraksi dengan manusia dari pelbagai peringkat usia, sama ada kanak-kanak, orang dewasa atau warga emas’’ ujarnya.

Pembangunan robot ini bukan sahaja memerlukan pengetahuan dalam bidang sains gunaan, tetapi juga sains sosial. Robot ini, jika dibangunkan, boleh digunakan sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan juga hiburan .

Untuk itu, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Ini berdasarkan kepada saranan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya bidang robotik diberi penekanan sesuai dengan keperluan dalam Revolusi Industri (IR) 4.0,” ujarnya.

Ringkasan penyelidikan Camaro:

Fokus penyelidikan dalam robot untuk pemeriksaan, robot yang berkhidmat di dalam rumah, pembangunan teknologi aktuator dan sensor baharu serta pembelajaran mesin.

Robot untuk membantu membuat pemeriksaan:

Pemeriksaan kepala dandang (boiler header).

  • Robot ini ditugaskan untuk memeriksa bahagian dalam kepala dandang secara visual.
  • Tiga pro totaip robot dibangunkan.
  • Boleh memeriksa kepala dan paip berdiameter 28 milimeter (mm) dan ke atas dengan ukuran maksimum 200 mm. 
n Satu paten sudah difailkan dan satu lagi dalam proses.

Pemeriksaan tiub dandang.

  • Membantu kerja-kerja pemeriksaan bahagian dalam.
  • Tiga prototaip dibangunkan.
  • Boleh memeriksa pada diameter satu inci.
  • Satu paten sudah difailkan.

Pemeriksaan talian. penghantaran elektrik.

  • Membantu dalam kerja-kerja memeriksa kabel atau talian penghantaran elektrik.
  • Satu prototaip sudah dibangunkan.

Pemeriksaan udara.

  • Guna pesawat tanpa pemandu (UAV).

Robot yang ditugaskan di rumah:

Manipulasi pakaian.

  • Pemodelan pakaian. menggunakan partikel berasaskan persepsi.
  • Penggunaan deep learning (DL) untuk mengenal dan mengklasifikasikan jenis pakaian.
  • Mencadangkan strategi untuk manipulasi pakaian.

Navigasi robot mudah alih.

  • Pemetaan penetapan lokasi, teknik mengelak rintangan.
  • Untuk membangunkan platform mudah alih.

Manipulator.

  • Pembangunan lengan fleksibel menggunakan konsep pertindihan
  • Pembangunan lengan dengan pecutan tinggi.
  • Pembangunan gripper/end-effector.

Robot humanoid.

  • Camaro sedang membangunkan robot humanoid berskala kecil.


Pembelajaran robot:

Memori jangka panjang- pendek (LSTM).

  • Pengenalpastian tingkah laku primitif mengenai pemboleh upaya robot humanoid untuk pembelajaran tingkah laku yang kompleks.
  • Robot boleh mengenal pasti tingkah laku berdasarkan apa dipelajarinya.