Penglibatan tersebut menandakan bidang sains teknologi sentiasa diberi keutamaan dengan pembinaan fasiliti berkaitan terus dilakukan termasuklah antara kesungguhan kerajaan membangunkan kemudahan canggih dalam sektor angkasa lepas.

Dalam bidang angkasa lepas, kerajaan menerusi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) boleh berbangga dengan pembinaan kemudahan yang terdapat di Pusat Angkasa Negara Sungai Lang di Banting, Selangor.

Kemudahan tersebut sebagai sebahagian daripada persiapan negara dalam pembangunan industri satelit pada masa akan datang. Malaysia kini mempunyai Stesen Penerima Satelit di Temerloh, Pahang yang dikendalikan oleh Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), manakala satelit yang dibangunkan sebelum ini merupakan jenis remote sensing atau penderiaan jauh.

Satelit merupakan sistem yang dibawa ke angkasa lepas untuk pelbagai fungsi bergantung kepada payload dan misinya. Terdapat satelit yang dihantar ke angkasa lepas untuk misi ketenteraan, komunikasi, 
remote sensing dan sebagainya, manakala saiz adalah pelbagai sama ada makro atau mikro. Selepas sistem dan badan 
satelit dipasang, antara perkara yang perlu dilalui adalah pengujian.

Pengendalian satelit sewaktu proses pemasangan dan pengujian merupakan satu tugas yang berisiko bukan sahaja terhadap satelit itu sendiri malah pengendali. Sebarang kesilapan sewaktu pengendalian boleh mengakibatkan kerosakan ke atas sistem satelit yang bernilai jutaan ringgit. Berat satelit tersebut juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pengendalinya semasa proses mengangkat dan memindahkan satelit dari satu fasiliti ke fasiliti yang lain.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Angkasa memikirkan akan perlunya kemudahan yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

Menurut Pegawai Penyelidik Bahagian Pembangunan dan Pengoperasian Sistem Angkasa, Angkasa, Nor Asnilawati Salleh, pihaknya bersama beberapa universiti dan institusi penyelidikan tempatan membentuk kerjasama membangunkan sistem yang dikenali sebagai Platform Vertikal Boleh Ubah Bermotor (Mavep) yang direka khusus bagi tujuan pengendalian satelit yang akan diuji.

“Alat ini meminimumkan 
risiko semasa pengendalian satelit di dalam fasiliti pengujian.

“Projek ini merupakan hasil kerjasama Angkasa dengan SIRIM Berhad, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” ujarnya.

Kos projek bernilai RM974,000 itu dibiayai melalui Dana Khas MOSTI. Projek pembangunan ini mengambil masa selama 28 bulan.

Mavep juga merupakan 
sebuah peralatan sokongan bumi mekanikal (MGSE) yang unik. Ia direka bentuk dengan mengambil kira keperluan peralatan pengujian dan persekitaran dalaman fasiliti Pemasangan, Intergrasi dan Pengujian (AIT).

Oleh demikian, Mavep dilengkapi pelbagai fungsi unik yang tiada pada MGSE yang ada di pasaran.

Dengan adanya Mavep, pengendalian satelit sewaktu proses pengujian adalah lebih selamat. Risiko dan tempoh pengendalian satelit sepanjang proses pengujian dapat dikurangkan. Ia akan memberi keyakinan kepada pelanggan untuk menjalankan pengujian satelit di fasiliti AIT.

Beliau berkata, kerjasama tersebut memberi peluang kepada semua penyelidik dan jurutera yang terlibat untuk membangunkan keupayaan dalam bidang masing-masing.

Ini dibuktikan dengan inovasi yang telah dihasilkan dengan kejayaan projek ini. Kejayaan tersebut juga menterjemahkan keberkesanan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). - Gambar FAISOL MUSTAFA

Bina Mavep guna kepakaran tempatan

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Dr. Noordin Ahmad berkata, Mavep dibangunkan dengan menggunakan kepakaran tempatan, melibatkan pelbagai pihak termasuklah institusi penyelidikan dan universiti, sekali gus membuktikan kemampuan kita menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja berguna untuk dimanfaatkan tetapi juga menjimatkan. Ini kerana alat yang sama boleh mencecah harga sehingga rm3 juta jika dibeli dari luar negara.

Alat tersebut, kata beliau, dibangunkan pada 2015 dan siap Ogos lalu membabitkan empat kepakaran UPM yang membangunkan reka bentuk, lima dari UIA bagi kepakaran kawalan sistem, 10 kepakaran UIA melibatkan fabrikasi sistem, dan 16 kepakaran serta pelatih dari Angkasa yang terlibat dalam setiap aspek atau sistem alat berkenaan.

“Dengan adanya Mavep ini, kerja-kerja pemunggahan dan pemuatan satelit yang biasanya agak berat ke TVC tidak lagi memerlukan tenaga kerja yang ramai dan berisiko yang selama ini memerlukan penggunaan kren,’’ ujarnya lagi.

Ciri-ciri khusus Mavep

MAVEP direka untuk menampung beban sehingga satu tan sesuai dengan spesifikasi peralatan pengujian di Fasiliti Pemasangan Integrasi dan Testing (AIT). Beban tersebut boleh diangkat sehingga ketinggian 2.5 meter selari dengan ketinggian baseplate di dalam peralatan Kebuk Vakum Thermal (TVC).

Mavep turut dilengkapi dengan bar untuk menghubungkannya dengan rel di dalam TVC. Fungsi tersebut membolehkan satelit dibawa masuk atau dibawa keluar dari peralatan TVC dengan mudah.

Mavep menggunakan mecanum wheel (roda semua arah) sebagai roda bagi mengatasi masalah pergerakan dalam ruang yang sempit.

Sistem tayar khas ini merupakan roda yang membolehkan Mavep bergerak ke mana-mana arah tanpa mengubah orientasinya. Ciri ini memudahkan kawalan pergerakan Mavep.

Kawalan Mavep dibuat menggunakan dua peranti utama iaitu panel Antara Muka Manusia Mesin (HMI) dan Teaching Pendant. Pengendali perlu berada di atas Mavep semasa menggunakan panel HMI.

Alat kawalan yang digunakan dinamakan teaching pendant pula membenarkan pengguna berada di sekitar Mavep sewaktu pengoperasiannya.

Saiz Mavep yang besar menyukarkan pengendali untuk memarkirnya tepat selari dengan peralatan TVC. Masalah ini diselesaikan dengan adanya fungsi parkir auto yang menggunakan beberapa penderia laser bagi menentukan kedudukan Mavep.

Fungsi automatik ini akan memperbetul orientasi Mavep sehingga ia selari dengan TVC. Ia bukan sahaja memudahkan proses tetapi memberi kedudukan yang tepat.

Mavep turut dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan bagi menjamin keselamatan pengendali dan juga satelit.

Lampu keselamatan dan penggera akan berfungsi sebaik sahaja Mavep mula beroperasi.

Ini akan memberi amaran kepada petugas yang berada di kawasan pengoperasian untuk berjaga-jaga dan mengawasi keadaan persekitaran.