Sesuai dengan teknologi semasa yang pesat berkembang termasuklah antaranya Internet of things (IoT).

Industri pembinaan tidak terkecuali menerima tempias daripada kemajuan teknologi melibatkan peranti pintar dan perkembangan revolusi industri.

Hari ini, tenaga berkait rapat dengan kelestarian iaitu apabila kita terlalu banyak menggunakan tenaga tanpa kawalan, kita sebenarnya menyumbang kepada pencemaran.

Bertitik tolak daripada iltizam membina kediaman yang pintar dan penggunaan tenaga berhemah, sekumpulan penyelidik pelbagai kepakaran dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan konsep rumah mesra alam dengan disokong oleh aplikasi pintar untuk kawalan tenaga.

Rumah berkenaan dibina dengan bahan binaan mesra alam konsep bata interlock dan tidak memerlukan rangka atau tanpa rasuk dan tiang iaitu teguh berdiri dengan dinding sebagai tiang.

Dinamakan UTM Eco Home, rumah itu dibina berketinggian satu setengah tingkat dan dilengkapi dengan ciri-ciri jimat tenaga menerusi sembilan model pembinaan.

Sesuai dengan kecanggihannya, rumah berkenaan dibina melibatkan sekumpulan penyelidik yang pakar dalam pelbagai bidiang.

Kumpulan penyelidik pertama melibatkan kepakaran dalam bidang reka bentuk terdiri daripada Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar, Fadli Arabi, Dr. Elina Mohd. Husini, Dr. Dodo Yakubu Aminu, Khairil Alim, Abdelrahim Shehab, Muhammad Haiqal Rosli dan Mohd. Hidayat Azizul.

Kumpulan penyelidik kedua melibatkan reka bentuk struktur dan awam iaitu Prof. Ir. Mahmood Md. Tahir, Dr. Shek Poi Ngian, Prof. Ir Dr. Rosli Mohamad Zin, Dr. Muhammadamin Azimi, manakala kumpulan ketiga yang melibatkan tenaga serta mekanikal dan elektrik (M&E) terdiri daripada Prof. Madya Dr. Hasimah Abdul Rahman, Prof. Ir Dr. Abu Sahmah, Ahmad Tajudin Ali dan Nordalilah Nordin.

Kumpulan keempat melibatkan aspek seliaan tapak dan pentadbiran terdiri daripada Muhammad Abd Nasir, Norhaliza Hamzah, Muhammad Fitri Rashid, Nur Fatimah Mawar dan Fathiah Abd. Nasir.

Menurut Poi Ngian, berdasarkan sejarah, rumah tersebut dibina bertujuan menyertai pertandingan Solar Decathlon China (SDC) pada 2013 yang diadakan di Datong China. Uniknya, selain membabitkan kepakaran universiti, projek tersebut turut melibatkan pelajar dan staf yang menunjukkan kerjasama antara universiti dan industri.

“Pada asalnya, rumah berkenaan dibina di China pada Ogos 2013 dan menang anugerah keseimbangan tenaga dan dijual kepada sebuah pertubuhan yang menunjukkan minat (terhadap rumah) di negara berkenaan,” ujarnya.

Hasil jualan bernilai kira-kira RM500,000 itu, pasukan penyelidik kemudiannya membina rumah seumpamanya di kampus UTM Skudai, Johor sebagai pameran sebuah banglo untuk tujuan sebagai pusat penyelidikan dan eksperimen.

Rumah tersebut mempunyai tiga bilik sebelum diubah suai kepada satu bilik, sesuai dengan matlamatnya sebagai bahan penyelidikan, eksperimen dan pendidikan. Rumah berkenaan juga agak fleksibel dan boleh diubah suai menjadi pejabat kecil.

Elemen lain yang tidak kurang pentingnya adalah pemasangan sistem penuaian air hujan, rendah tenaga dan disokong oleh sistem kawalan bangunan pintar bersepadu dan pemasangan panel solar.

Perlu galak pembinaan bangunan mesra alam 

Pemaju dan industri pembinaan kini perlu melihat ke hadapan dalam membina bangunan yang lebih mesra alam.

Menurut Ketua Penyelidik UTM Eco Home, Prof. Dr. Mohd. Zaimi Abdul Majid, industri pembinaan perlu menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon diosida sama ada menggunakan kaedah pembinaan yang lebih mesra alam atau menggunakan bahan mesra alam.

Beliau berkata, pemaju perlu menyokong hasrat kerajaan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida DI antara 40 hingga 45 peratus menjelang 2025.

“Pembinaan bangunan juga sepatutnya mengurangkan bahan buangan atau sisa binaan dengan menggunakan sistem pratuang atau sistem pasang siap yang tidak memerlukan banyak kerja-kerja pembuangan di kawasan tapak,” ujarnya.

Pemaju perlu mengurangkan kerja-kerja pembuangan sisa di tapak pembinaan selain mengguna bata jenis mesra alam iaitu tidak memerlukan pembakaran untuk menghasilkannya.

Antara kaedahnya adalah penggunaan sistem dinding pemasangan pantas yang pada masa sama meminimumkan penggunaan kayu.

Sebagai contoh penggunaan sistem acuan untuk membina rumah teres setingkat dan dua tingkat. Bahan yang digunakan adalah panel papan lapis menghasilkan dinding yang lembut tidak perlu tampalan konkrit dan mengelakkan pembuangan sisa terlalu banyak, dan penggunaan tenaga buruh yang rendah dan boleh dibina dalam masa singkat antara beberapa bulan sahaja.