Di beri nama Kama-2X yang menariknya pesawat tersebut dianggap mengatasi kemampuan teknologi seumpamanya dari Jerman meskipun kumpulan tersebut masih baharu dalam bidang berkenaan.

Bidang pembuatan pesawat tanpa pemandu sudah semakin berkembang tetapi bukan mudah untuk menjadikannya benar benar menepati spesikasi mengikut kesesuaian penggunaannya.

Namun bagi pusat kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu, usia dua tahun penubuhannya bukan bermakna kerja-kerja penyelidikannya baharu bermula, malah ia telah digerakkan sejak awal daripada itu.

Berkongsi lebih lanjut mengenai inisiatif meneroka bidang baharu itu, pengarahnya, Prof. Madya Dr. Hazry Desa berkata, pihaknya telah terlibat dalam penyelidkan tersebut sekurang-kurangnya tujuh tahun.

Penyelidikan yang diketuainya telah dimanfaatkan untuk kegunaan aktiviti pertanian di negeri Perlis termasuk menyembur racun serangga bagi tanaman padi.

“Pesawat Kama-2X yang dinamakan sempena nama Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin,” kata beliau yang juga pensyarah Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan UniMAP.

Katanya, selepas melalui beberapa fasa penyelidikan, projek tersebut yang dijalankan dengan kerjasama syarikat Drei Sohne Technology Sdn. Bhd. (DST) telah ditambah nilai untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh termasuk menggunakan lakaran imej tiga dimensi.

“Ia juga digunakan bagi merakam imej banjir di Kelantan baru-baru ini dan terkini menerusi pembelian AISB pula, UAV berkenaan yang dilengkapi dengan kamera termo infra red boleh mengesan haba serta merakamkan pergerakan di sebalik objek.

Ia turut memanfaatkan kamera infra merah khusus bagi menentukan tahap kematangan pokok kelapa sawit.

“Kamera ini juga berfungsi untuk mengira tempoh masa berbuah selain boleh digunakan bagi mengira bilangan pokok kelapa sawit dalam sesebuah ladang untuk mengetahui jangkaan pengeluaran,” ujar beliau.

Menurut Dr. Hazry yang tersenarai antara empat rakyat Malaysia yang diiktiraf pakar dalam menghasilkan pesawat UAV di Asia, UniMAP sememangnya memberi fokus utama dalam memajukan teknologi tersebut di negara ini dan atas kesedaran itu juga, pihaknya telah menubuhkan Akademi UAV khususnya untuk melahirkan lebih ramai pakar tersebut di negara ini.

Ujarnya, Akademi yang beroperasi di Anjung UniMAP Kulim itu bakal meningkatkan pemahaman tentang teknologi UAV kepada pelbagai peringkat, sektor dan agensi melalui seminar dan latihan.

UniMAP juga, jelas beliau, telah menghantar empat juruteranya ke Jerman pada tahun 2013 untuk didedahkan dengan teknologi tersebut bagi membantu membangunkan industri tersebut di Malaysia khususnya dari segi penyelenggaraan dan pengendalian UAV.

“Saya percaya hubungan baik dengan negara-negara maju dalam bidang ini akan mengubah Malaysia daripada menjadi negara pengguna kepada penyumbang teknologi UAV dan mengurangkan kebergantungan kepada negara asing,” ujarnya.

Beliau berkata, selain Kama-2X pusat kecemerlangan itu juga telah menghasilkan beberapa lagi UAV iaitu Smart-V dan E-Save masing-masing pada 2013 dan 2012.

“Kami memfokuskan beberapa UAV iaitu UAV kenderaan permukaan, kenderaan dan bawah air,” katanya.

Beliau berkata, UAV boleh dikomersialkan memandangkan kegunaannya ketika ini amat signifikan dalam tugasan-tugasan kritikal dan penting.

Sebagai contoh, penemuan beberapa kubur besar mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini membuktikan isu kawalan sempadan di negara ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Dalam aspek ini, tugasan pemantauan dan kawalan menggunakan tenaga manusia dilihat sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa dan kerajaan sendiri kini giat merangka inisiatif terkini khusus untuk memastikan isu tersebut tidak berulang.

Berdasarkan isu tersebut, Kama-2X dihasilkan selepas kerja-kerja penyelidikan dijalankan dengan tujuan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini yang boleh memantau pergerakan manusia di sempadan sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia.

Dalam pada itu, menurut Pengurus (CEOUAS), Dr. Zuradzman Mohamad Razlan, ujian penggunaan Kama 2X sebelum ini menunjukkan ia boleh diaplikasikan untuk pelbagai tujuan termasuk pertanian.

Sebagai contoh satu ujian telah dijalankan untuk memberi tugasan kepada UAV menyembur racun pada anggur di Taman Anggur Perlis dan ladang sayur di Chuping tiga tahun lalu dan mendapati ia boleh aplikasikan.

“Penggunaan UAV membantu menyenangkan kerja dan pemilik atau pekerja ladang tidak lagi terdedah kepada ancaman racun,” katanya

Sementara itu, menurut Dr. Kamarudin, pesawat tersebut mampu terbang pada jarak lima kilometer dengan durasi sekitar 20 minit disifatkan sebagai langkah proaktif universiti untuk membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti haram termasuk pemerdagangan manusia.

Menurut Kamarudin, isu yang berlaku baru-baru ini sangat besar kerana melibatkan nyawa dan imej negara sekaligus memberi kesan yang cukup besar terutama kepada beberapa agensi kerajaan di negara ini.

“Saya percaya kalau kita boleh bersama-sama mencari penyelesaian melalui teknologi yang dibangunkan oleh UniMAP ini, ia sesuatu yang wajar dipertimbangkan oleh pihak berkuasa.

“Saya berani katakan, peralatan yang kami miliki ini adalah canggih dan hebat yang perlu dimiliki oleh negara. Tidak salah jika kita berusaha untuk beralih kepada teknologi yang lebih tinggi agar keselamatan negara terjamin,” tegas beliau.

Kama-2X telah dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015 Mac lalu. Pada majlis pelancaran itu, 10 unit pesawat Kama-2X telah berjaya dijual kepada Aerial Imaging Sdn. Bhd. (AISB).

Sementara itu menurut Dr. Hazry, pihak berkuasa perlu mengawal penggunaan UAV dengan dua cara iaitu memberi lesen kepada operator atau pengguna dan kedua, perlu mendapatkan kebenaran sebelum terbang.

Spesifikasi Kama-2X

  • Berat maksimum semasa berlepas: 6 kilogram
  • Beban bayar (Payload) maksimum: 
2.5 kg
  • Masa penerbangan termasuk beban bayar: 
15 hingga 18 minit
  • Pecutan udara maksimum: 17 meter sesaat
  • Kuasa transmisi:
5.8 GHz, 2000mW
  • Unit kuasa: Bateri LiPo boleh cas semula dengan 10,000mAh
  • Suhu operasi: 
0-35 darjah Celsius
  • Kawalan jauh: Stesen bumi mudah alih, Navigasi Way point
  • Mod penerbangan: 
Mod stabil, Mod kekal altitud, Mod loiter dan mod automatik
  • Pensijilan: SIRIM Berhad