Agama Islam telah memberi kebebasan kepada penganutnya untuk solat di mana sahaja asalkan tempat tersebut bersih dan memenuhi hukum syarak.

Ketika mengerjakan solat, umat Islam secara umumnya melakukan dua amalan yang berbeza ketika hendak bersujud iaitu sama ada turun dengan didahulukan dengan lutut atau pun dengan kedua-dua tapak tangan.

Kedua-duanya mempunyai dalil-dalil hadis dan perkara ini telah dibahaskan oleh ulama.

Secara fizikalnya, terdapat perbezaan pada kedudukan kaki semasa tahiyat awal dan tahiyat akhir terutama pada kaki kiri.

Hasil kajian sekumpulan penyelidik menunjukkan bahawa perbezaan pada kaki semasa tahiyat awal dan tahiyat akhir menyumbang kepada kesihatan otot kaki iaitu otot kaki mempunyai momen untuk kendur dan tegang dengan betul yang seterusnya mengaktifkan dan menguatkan otot kaki.

Berdasarkan hasil penyelidikan terdapat perbezaan pendapat dalam mengerjakan solat iaitu mestilah dikaji melalui kaedah kajian hadis dan juga usul fiqh, namun, bukti kajian sains boleh digunakan sebagai dalil aqli untuk menguatkan hujah-hujah daripada sumber agama.

Dengan adanya teknologi kejuruteraan bioperubatan seperti kajian isyarat elektromiografi (EMG) pada otot semasa solat, sesuatu fatwa atau pun pendapat tersebut dapat dikuatkan dengan kajian sains dan ini diharapkan dapat digunakan sebagai satu syiar untuk dakwah Islam.

Menurut ketua pasukan penyelidiknya, Dr. Nashrul Fazli Mohd. Nasir, dalam kajian tersebut, gerakan solat dikaji berdasarkan kepada gerakan yang bersumberkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW sama ada yang dianjurkan oleh Baginda atau pun yang dilarang menggunakan isyarat EMG pada otot kaki. EMG tersebut adalah isyarat elektrik yang dikeluarkan oleh otot.

“Idea ini diperoleh daripada perbezaan pendapat antara ulama Islam berkenaan pergerakan dalam solat dan juga ijtihad mereka dalam sesetengah perbuatan dalam solat,” ujarnya yang juga pensyarah kanan, Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan, merangkap Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Ahli kumpulan penyelidik yang lain adalah Pelajar Sarjana Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan Unimap, Hazwani Harun yang merupakan alumni Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik dan Ortotik) dari Universiti Malaya.

Ahli-ahli lain adalah Pensyarah Kanan, Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Unimap Dr. Ahmad Faizal Salleh dan Ahmad Nasrul Norali.

Turut terlibat jurutera pengajar dari pusat yang sama Mohammad Fauzi Mahmud dan pembantu jurutera, Bazli Bahadon.

Justeru penyelidikan tersebut diharap dapat membantu menyokong dalil sampingan tanpa melangkaui asas hukum dalam Islam iaitu berdasarkan sumber yang asas yakni al-Quran, hadis, ijmak ulama dan sebagainya.

Sebagai contoh, penyelidikan ini telah menjalankan kajian terhadap perbezaan isyarat elektromiografi pada otot kaki semasa kedudukan hendak turun sujud.

Hasil penyelidikan ini telah menunjukkan kedua-dua kedudukan ini tidak mempunyai perbezaan yang signifikan dari segi sains dan ini bertepatan dengan ijtihad sebahagian ulama yang memfatwakan ia sah untuk diamalkan oleh mereka yang yakin dengan salah satunya.

Selain itu, penyelidikan tersebut juga mengkaji perbezaan isyarat EMG pada otot kaki semasa tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Dapatan hasil kajian juga diharapkan dapat membantu umat Islam untuk menambah pengetahuan dan keyakinan mereka ketika hendak solat apabila ibadat ini dilakukan berdasarkan hadith yang sahih. Pihaknya juga berusaha untuk menghasilkan sebuah buku mengenai kajian ini agar dapatan yang ditemui boleh dikongsi bersama.

Kajian elektromiografi (EMG) untuk aplikasi khusus dalam solat diharapkan dapat dikembangkan dengan lebih meluas untuk pergerakan solat yang lain.

Penyelidik tersebut bermula pada 2012 dan berakhir tahun lalu menggunakan dana geran penyelidikan Unimap.

Maklumat lanjut mengenai inovasi tersebut boleh hubungi na[email protected]