Apakah masalah tersebut ada penghujungnya kerana faktor alam tidak boleh dikawal? Siapakah yang mengetahui 
bila hujan akan tiba lagi dan titisan air akan menjadi secebis harapan untuk meneruskan kehidupan.

Bekalan air pula kadangkala bermasalah kerana tekanan rendah tidak memungkinkan
 ia sampai ke rumah penduduk.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang taburan hujannya rendah tidak ada apa yang boleh diharapkan melainkan air daripada bekalan semula jadi di bawah tanah, tetapi ada kos yang perlu dikeluarkan. Masalah menjadi satu beban berpanjangan. Namun masih ada sesuatu yang penduduk bermasalah ini boleh harapkan.

Kerajaan menyedari mereka 
perlu dibantu dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memanfaatkan kepakaran yang mereka ada dengan menghulurkan bantuan teknologi kepada golongan ini.

Bagi tujuan tersebut, Agensi Remote Sensing Malaysia yang terletak bawah MOSTI menawarkan aplikasi remote sensing menerusi program Pembangunan Sistem Telaga Tiub Untuk Sumber Air Komuniti Setempat. Objektif projek adalah untuk membangunkan kaedah penentuan kawasan berpotensi air bawah tanah di batuan keras (hardrock) berasaskan teknologi remote sensing dan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

Ia bertujuan menghasilkan peta potensi air bawah tanah dengan lebih cepat, tepat dan kos efektif yang berupaya membantu pihak berkaitan dalam menentukan lokasi penggerudian telaga tiub dengan lebih efisien.

Menerusi kaedah yang dibangunkan itu, penentuan kawasan berpotensi sumber air bawah tanah di batuan keras telah dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan tepat kerana maklumat-maklumat geologi dan persekitaran yang mempengaruhi kewujudan sumber air bawah tanah diekstrak daripada pelbagai imej satelit remote sensing seperti SPOT, Landsat dan Radarsat.

Maklumat tersebut ini diintegrasikan dengan maklumat lapangan secara digital dan pemodelan spatial dilakukan bagi menghasilkan peta potensi air bawah tanah.

Berbanding kaedah yang diguna pakai sebelum ini, yang mengambil masa yang panjang dan memerlukan tenaga kerja serta kos yang tinggi maklumat-maklumat tersebut dikumpul dan diintrepretasi secara manual.

Kelebihan kaedah ini sangat signifikan di kawasan batuan keras (hardrock terrain) yang biasanya berada di kawasan tanah tinggi yang mempunyai akses terhad dan bertopografi berbukit-bukau.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pengarah Remote Sensing Malaysia, Azlikamil Napiah, kaedah ini berupaya mengurangkan tempoh masa dalam menentukan zon potensi air bawah tanah kepada satu hingga dua bulan sahaja berbanding enam bulan dengan kaedah konvensional.

“Ini dapat membantu dalam mempercepat proses menentukan lokasi penggerudian telaga tiub. Selain itu, ia dapat mengurangkan kos projek melalui penentuan lokasi penggerudian telaga tiub dengan lebih tepat berbanding kaedah wildcat drilling,” ujarnya ketika meninjau program tersebut di dua lokasi Kedah baru-baru ini.

Kaedah tersebut berpotensi mengurangkan kos penggerudian secara rambang sehingga 50 peratus yang boleh mencecah RM400,000.