Ujian musnah melibatkan perbuatan atau kaedah yang merosakkan bahan atau spesimen semasa ujian dilakukan, manakala NDT adalah sebaliknya.

Oleh itu, NDT dilihat lebih efisien dan sesuai dilakukan kerana ia tidak merosakkan komponen, tidak menyebabkan bahaya dan tidak menyebabkan kerugian ekonomi akibat kemusnahan barang yang diuji.

Individu yang bertanggungjawab memajukan bidang NDT di Malaysia yang juga Presiden NDT Malaysia, Dr. Abd. Nassir Ibrahim berkata, NDT merupakan satu kaedah atau analisis sains yang digunakan dalam industri untuk menentukan ciri-ciri sesuatu bahan, sistem atau komponen tanpa memusnahkan bahan tersebut.

Menurutnya, ia sangat diperlukan oleh industri kejuruteraan berat yang berisiko tinggi untuk memastikan keselamatan sesuatu binaan atau struktur terjamin tanpa membazirkan wang dan sumber, selain tidak mempengaruhi atau mengubah bahan yang diuji.

Terdapat berpuluh-puluh kaedah yang digunakan dalam teknologi NDT untuk membantu mengesan sekiranya berlaku kecacatan kepada kimpalan atau struktur seperti kebocoran, retak dan sebagainya. Namun di Malaysia, terdapat lima kaedah konvensional yang sering digunakan iaitu radiografi, ultrasonik, ujian cecair penembus, ujian arus berpusar dan ujian zarah bermagnet.

“Kelima-lima teknik ini digunakan mengikut kesesuaian tapak projek dan komponen atau bahan yang ingin diuji.

“Secara mudahnya, teknik ini seperti x-ray dan visual iaitu kita melihat saja tanpa merosakkan dan sangat bagus untuk mengenal pasti sebarang kecacatan pada komponen untuk mengelakkan letupan atau runtuhan berlaku kerana jika ada sedikit sahaja retakan atau kecacatan boleh mengundang risiko-risiko tersebut terjadi,” ujarnya.

Mengenal pasti kerosakan

Jelasnya, ujian radiografi dijalankan untuk mengenal pasti kerosakan yang berlaku di dalam komponen atau bahan melalui sinar-X (X-ray) yang seterusnya akan terekod pada filem yang sensitif sebelum penilaian dilakukan.

Kaedah ini katanya, mempunyai prinsip seakan-akan sama seperti sinar-X yang digunakan pada tubuh manusia dan juga menggunakan sinar gama untuk material yang berbeza.

Kaedah ultrasonik pula melibatkan pemeriksaan menggunakan gelombang bunyi iaitu saiz dan kedudukan kecacatan dapat ditentukan melalui pengukuran masa perjalanan dan amplitud gelombang ultrasonik yang merambat di dalam bahan yang diperiksa.

Selain itu, teknik penguji cecair penembus menggunakan penembus pewarna untuk mengesan sebarang kecacatan pada permukaan bahan.

Ujian zarah bermagnet pula sesuai digunakan untuk logam ferus yang bertindak balas dengan magnet melalui teknik semburan iaitu zarah-zarah semburan akan menunjukkan kawasan yang mengalami kecacatan.

Bagi teknik arus berpusar pula, ia berkesan untuk mengenal pasti sebarang bentuk kecacatan seperti keretakan, benda asing atau gelembung menerusi pengaliran yang dilakukan pada bahan atau komponen yang diuji.

Tambah Dr. Abd. Nassir lagi, kejadian seperti runtuhan bangunan atau letupan loji bukan sesuatu yang baharu di negara ini, tetapi boleh membawa keburukan kepada negara dan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Bukan sahaja, ekonomi negara akan terjejas akibat runtuhan dan letupan projek-projek bernilai jutaan ringgit.

Malah katanya, nyawa orang awam juga menjadi taruhan dan dalam bahaya sekiranya tinggal berdekatan dengan tapak projek berkenaan.

Mengenai perkembangan lain, Dr. Abd. Nassir juga mengambil inisiataf memperkenal Skim Pensijilan Kebangsaan untuk melatih lebih ramai tenaga mahir dalam bidang NDT di negara ini.

Beliau yang menerima Anugerah Tokoh Mahir sempena Hari Pekerja baru-baru ini berkata, latihan kemahiran tersebut terbahagi kepada tiga tahap bagi melatih pengamal industri tersebut secara berperingkat-peringkat dalam usaha untuk melahirkan tenaga mahir yang profesional dan setanding dengan antarabangsa.

“Ia terbahagi kepada tiga iaitu tahap satu memberikan pendedahan secara asas, tahap dua lebih kepada praktikal di tapak projek, manakala tahap ketiga adalah yang tertinggi dan bertaraf profesional.

“Untuk membolehkan seseorang itu menjadi pemeriksa kualiti yang berkaliber, mereka harus mempunyai sijil yang disediakan oleh skim berkenaan yang telah diiktiraf di negara ini,” jelasnya.

Tambahnya, objektif pihaknya turut menubuhkan pusat latihan NDT kerana beliau melihat potensi anak muda tempatan yang mempunyai peluang cerah dalam bidang kawalan kualiti sekiranya diberi latihan dan bimbingan yang sewajarnya.

Katanya, selama ini Malaysia banyak menggunakan kemahiran pakar NDT dari luar negara seperti Amerika dan hanya mengiktiraf sijil-sijil yang diperoleh dari negara-negara luar.

“Kita yakin produk tempatan juga setanding dengan produk-produk yang dihasilkan dari luar negara dan kita mahu lebih ramai anak tempatan yang akan menguasai kemahiran ini suatu hari nanti.

“Kita tidak mahu industri ini dimonopoli oleh pakar dari luar. Biar projek-pprojek yang bernilai berjuta-juta ringgit diuruskan sendiri oleh pakar-pakar tempatan yang berkemahiran,” katanya.

Namun menurut beliau, apa yang mengecewakan ialah latihan dan usaha untuk melahirkan pekerja-pekerja mahir tempatan ini kurang mendapat sambutan daripada pemain-pemain industri.

“Bila kita nak perkenal sesuatu yang baharu pasti ada banyak cabarannya iaitu penerimaan masyarakat terutama pemain industri serta orang-orang yang berkepentingan tak terima dan tak yakin produk yang kita hasilkan.

“Sehingga ke hari ini kita masih berusaha keras untuk meyakinkan pihak-pihak ini bahawa produk tempatan kita juga bernilai tinggi seperti di negara-negara maju,” jelasnya.

Oleh itu katanya, bilangan tenaga mahir dalam bidang NDT ketika ini masih tidak cukup untuk menampung permintaan dalam negara.

Beliau berharap agar pemain-pemain industri membuka mata dan peka dengan isu ini agar negara tenaga mahir dalam negara dapat digunakan secara optimum dan mengurangkan kebergantungan dengan negara asing.