Bagi mengatasi masalah tersebut, sekumpulan anak muda dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan satu penyelesaian bagi membantu sebahagian besar daripada kita yang mempunyai tabiat tersebut.

Penyelidikan yang dinamakan Kabel Pintar Charby Sense itu adalah berkaitan dengan litar elektrik pintar dan produk yang bertujuan memudahkan proses pengecasan telefon bimbit.

Kajian yang dijalankan pada September 2015 itu dianggotai sekumpulan tiga penyelidik dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, iaitu Lim Thol Yong (MJIIT), yang merupakan ketua penyelidik dan dua lagi pelajar fakulti berkenaan Cheok Ming Jin dan Chik Sheng Fei.

Menceritakan bagaimana projek bermula, Thol Yong memberitahu, pada awalnya mereka mencipta rumah pintar (smart home), iaitu peranti yang boleh menutup suis elektrik secara automatik atau pun boleh dikawal melalui aplikasi telefon bimbit.

Kemudiannya, mereka mengadakan pertemuan dengan pengurusan Kolej UTM bagi mengemukakan cadangan untuk memasang suis pintar pada bilik mahasiswa. Cadangan tersebut bertujuan membantu mengelakkan pembaziran elektrik yang berpunca daripada sikap segelintir pelajar yang tidak menutup suis lampu dan kipas selepas keluar daripada bilik.

“Kami membuat cadangan selepas berbincang, namun ditolak berikutan kos pemasangan yang tinggi. Selepas itu kami menukar cadangan dengan menghasilkan produk 360 car sensor dengan menggunakan idea projek tahun akhir peringkat sarjana muda saya yang memenangi pertandingan Innovate Malaysia Tahun 2014,” ujarnya.

Idea itu ialah memasang capacitive sensor yang berbentuk nipis pada bahagian dalam sekeliling kenderaan.

Dengan aplikasi telefon tersebut, ia dapat membantu pemandu kereta mengesan titik buta (blind spot) semasa memandu dan parkir.

Cabaran mereka tidak berakhir di situ kerana selepas cuba mendapat dana dari Cradle Fund Sdn. Bhd., cadangan sekali lagi ditolak.

Pada masa sama, pada sesi soal jawab, kumpulannya juga gagal meyakinkan panel bahawa idea tersebut boleh dikomersialkan memandangkan pengguna kenderaan yang akan berasa perlu pemasangan wayar semula dan berpotensi membatalkan jaminan kenderaan serta sukar untuk dipasang.

Thol Yong berkata, pada malam permohonan dana ditolak oleh Cradle, mereka berbincang apa sumbangan yang boleh diberikan dengan kebolehan teknikal inovasi yang dicipta.

“Salah seorang tiba-tiba bertanya adakah kamu akan mengecas telefon sebelum tidur. Ada yang jawab 'ya' dan ada yang 'tidak'. Kami pun berfikir adakah mampu menghentikan pengecasan secara automatik dengan memakai teknologi rumah pintar dan sensor kenderaan kami apabila bateri telah penuh? Sejak malam itulah lahirnya idea ini,” ujarnya lagi.

Maka dengan kajian tersebut,” lahirnya produk kabel pintar yang boleh menghentikan pengecasan secara automatik apabila bateri telefon bimbit dicas sepenuhnya.

Justeru Thol Yong menjelaskan, selain idea dan kesungguhan, penyelidikan tersebut berjaya disiapkan hasil bantuan dana Cradle untuk menghasilkan prototaip dan peningkatan fungsi kabel pada bulan Jun 2016.

Prototaip terakhir tersebut siap April tahun lalu. Selepas itu, pihaknya mula mencari kilang bagi pengeluaran besar-besaran, manakala jualan pratempahan dan promosi bermula September tahun lalu.

Mengenai penggunaan dan keistimewaan kabel pintar berkenaan, Thol Yong menjelaskan, apabila bateri telefon bimbit sedang dicas dan menghampiri tahap 100 peratus ia akan memasuki trickle charging iaitu akan akan mengecas sampai penuh dan berhenti.

Walau bagaimanapun, apabila cas bateri turun kepada 99 peratus, ia akan cas semula hingga mencapai 100 peratus dan proses tersebut berulang hingga arus elektrik dihentikan.

Katanya, lebih daripada 90 peratus telefon di pasaran sekarang menggunakan bateri Lithium-Ion, dan jangka hayatnya akan terjejas apabila tahap bateri berada hampir dengan kosong peratus atau pun 100 peratus. Haba yang tinggi juga akan mengu- rangkan hayat bateri telefon bimbit.

Katanya, litar bersepadu (IC) atau cip pintar pada kabel berkenaan akan mengesan bacaan arus elektrik, ia akan memotong arus elektrik daripada masuk ke bateri telefon apabila bacaan arus elektrik menunjukkan bateri dicas sepenuhnya.

Selain itu, dengan kebolehan untuk membaca arus elektrik, kabel pintar berkenaan dapat membezakan pengecas atau bekalan kuasa mudah alih yang berkualiti, dan ia akan memberitahu pengguna apabila pengecas yang arus elektrik rendah sedang digunakan.

Teknologi diperluas

KUMPULAN tersebut, yang mempunyai kepakaran dalam Pemprograman Reka Bentuk Skematik dan Terbina Dalam bercadang untuk menggunakan teknologi berkenaan bagi menghasilkan produk pengesan, bekalan kuasa mudah alih (power bank) dan kabel yang pintar untuk memenuhi keperluan pengguna yang berbeza.

Semua produk tersebut akan mempunyai ciri yang boleh membantu memudahkan proses pengecasan dan juga kebolehan memanjangkan hayat telefon bimbit.

Ketika ini, kebanyakan telefon pintar mempunyai kebolehan pengecasan wayarles tetapi ia masih belum popular dalam kalangan pengguna.

Menurut Lim Thol Yong, ada dua sebab mengapa masalah tersebut berlaku iaitu harga pasaran yang lebih tinggi berbanding pengecas biasa dan kedua, pengecas wayarles menggunakan pengecasan induktif iaitu tidak sepantas penggunaan kabel.

“Di samping itu, masalah pengecas wayarles yang berkualiti rendah akan menyebabkan telefon menjadi panas.

“Namun, teknologi ini dijangka terus dimajukan dan menjadi lebih popular dalam kalangan pengguna dalam masa dua tahun, terutama apabila ada syarikat antarabangsa bersedia menghasilkan pengecas wayarles yang pantas serta berkualiti tinggi pada harga yang murah.

Mengenai harapan pada masa akan datang, pihaknya berharap usaha mereka dapat memberi lebih inspirasi dan galakan kepada golangan muda untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu menaik taraf ekonomi negara.

“Perancangan kami ialah untuk mewujudkan perniagaan produk yang bertaraf antarabangsa dan dapat menaik taraf penggunaan telefon bimbit dalam pengecasan,” ujarnya.

Kelebihan

  • Memudahkan pengguna terutama bagi mereka yang suka meninggalkan telefon semasa dicas.
  • Dapat mengelakkan bahaya semasa mengecas telefon dan juga memanjangkan jangka hayat telefon bimbit.
  • Mampu mengesan pengecas dan bekalan kuasa mudah alih yang berarus elektrik rendah kerana lampu diod pemancar cahaya (LED) pada kabel akan berkelip apabila ia mengesan arus elektrik yang rendah dan mengelakkan pengecasan yang lama.
  • Pengecasan dua kali lebih pantas dengan menekan butang pada kabel tersebut apabila telefon sedang mengecas dari USB pelabuh (port) komputer riba dan komputer peribadi.
  • Ia dapat membantu pengguna yang mengecas dengan komputer riba untuk cas dengan lebih laju apabila pemindahan data tidak diperlukan, pengguna boleh bertukar ke mod penjanaan (booster) pengecasan yang dua kali lebih cepat dengan menekan butang.
  • Kabel tersebut juga dibina dengan wayar tembaga yang berkuali tinggi.