Lihat sahaja sambutan,orang ramai ketika Pameran,Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor sebagai bukti.

Peminat-peminat sektor agro sanggup datang dari segenap pelusuk negara bagi menyaksikan pameran tersebut.

Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ditubuhkan khusus untuk mengembangkan pertanian turut menyedari akan potensi sektor tersebut untuk dijadikan sebagai produk pelancongan.

Menurut Pengarah Taman Pertanian Universiti (TPU)UPM, Prof. Dr. Japar Sidik Bujang, pelancongan disektor pertanian dikenali sebagai Agropelancongan.

Jelasnya, agropelancongan telah lama diperkenal oleh pelbagai agensi kerajaan yang terlibat mahupun dipihak swasta.

“Contoh terdekat yang kita boleh lihat kerancakan sektor Agropelancongan di Cameron Highland yang menjadikan buah strawberi dan teh sebagai ikon tanah tinggi tersebut.

“Tidak terhad kepada produk pertanian, produk ternakan juga turut mendapat perhatian peminat-peminat sektor ini,” katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, di UPM, khususnya TPU mereka menawarkan satu lagi penambahan di dalam sektor Agropelancongan iaitu pendidikan menerusi program Edu-Park.

“Edu-Park menawarkan lawatan berpandu ke setiap pusat-pusat penyelidikan berkaitan agro dengan kadar bayaran yang minimum.

“Orang ramai kini berpeluang untuk melihat sendiri kajian dan pembangunan (R&D) berkenaan pertanian dan penternakan.

Jelas Dr. Japar Sidik, sebagai sebuah universiti tertua dan berlatar belakangkan pertanian, UPM memiliki kemudahan dan lokasi yang sesuai untuk tujuan tersebut (agropelancongan).

“Terdapat 10 lokasi menarik di UPM boleh dilawati pelancong seperti Taman Konservatori Pertanian, Muzium Anatomi Manusia, Pusat Ekuin dan ladang rusa, lembu serta kambing,” katanya.

Tambah Dr. Japar Sidik, agropelancongan berteraskan pendidikan (edupelancongan) membolehkan pelancong dari dalam dan luar negara dapat menikmati keindahan dan kemudahan di UPM selain mendapat ilmu pengetahuan sepanjang lawatan.

“Anda bakal melangkah ke alam universiti penyelidikan yang telah bermula sejak tahun 1931 sebagai sebuah Sekolah Pertanian.

“Progam ini bukan sahaja dapat menarik minat golongan dewasa malah menanamkan minat dan semangat pelajar untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi selepas mereka menamatkan pengajian di alam persekolahan,” katanya.

UPM ditubuhkan sebagai sebuah Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1971 di kawasan seluas 8.8 hektar di Serdang.

Ketika itu hanya dua program ditawarkan iaitu Program Diploma tiga tahun dan Program Persijilan setahun dalam bidang pertanian.

Tanggal 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian tersebut telah dinaik taraf sebagai Kolej Pertanian Malaya oleh Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union ketika itu.

Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia tercetus apabila Sekolah Pertanian di Serdang tersebut bergabung dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya pada tahun 1973 dan pada 3 April 1997, namanya ditukar ke Universiti Putra Malaysia.

UPM memiliki keluasan lebih 1000 hektar dan pengunjung bebas untuk menghayati hamparan ladang yang terbentang luas serta landskap di kampus tersebut.

Pengunjung juga berpeluang memahami proses penyelidikan menerusi interaksi penggunaan pelbagai fasiliti dan kemudahan pengajaran terbaik dan berkualiti.

Tambah Dr. Japar Sidik, edupelancongan dipelopori UPM bermaksud melancong sambil belajar.

“Salah satu tarikan utama program ini adalah Taman Konservatori Pertanian yang berkeluasan dua hektar,” katanya.

Taman tersebut mempunyai lebih 500 spesies yang dibahagikan kepada 10 zon iaitu halia, tumbuh-tumbuhan ubatan, paku-pakis, ulam-ulaman, tumbuhan akuatik, orkid liar, periuk kera, keladi, rempah ratus dan tumbuhan wangian.

Apabila melawat taman itu pengunjung bukan sahaja diperkenal kepada tumbuhan malah turut diterangkan dengan kelebihan dan khasiatnya.

“Kalau sekadar berjalan mengelilingi taman ini, setengah jam sahaja sudah cukup tetapi jika mendengar penerangan tentang tumbuh-tumbuhan yang kami berikan pasti lebih daripada satu setengah jam.

“Bagi memudahkan pengunjung, kebanyakan spesies telah diletakkan maklumat mengenainya termasuk nombor tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, taman tersebut turut dilengkapi kemudahan WiFi bagi membolehkan pelawat mengakses laman web www.acp.upm.my. untuk mendapatkan maklumat lanjut.