Yang turut serta adalah Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Implementasi (BDID), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Muralitharan Anggamuthu dan dua orang pembantu beliau iaitu Mohd. Faizal Abdul Aziz selaku Pengurus Pembinaan dan Khairul Azrin Mohd. Mahidin selaku Jurutera Projek (C&S).

Sampai sahaja ke dasar, udara terasa semakin hangat disambut dengan bunyi jentera yang menggunakan sistem hidraulik sedang mengorek kawasan berbatu bagi memasukkan paip pembetung sepanjang 2.5 meter (m).

Sambil memerhatikan suasana keliling, terasa jauhnya diri berada di bawah tanah, dikelilingi besi yang dipasang sebagai penghadang tanah yang telah dikorek sambil hati berdetik “alangkah beratnya tugas dan risiko mereka yang bekerja di bawah tanah ini demi memberikan keselesaan kepada orang ramai.”

Mereka yang lalu-lalang di kawasan ini yang berhampiran Sungai Batu Kepong-Jinjang itu mungkin hanya nampak penghadang yang dipasang tanpa mengetahui apakah yang sedang berlaku di bawah tanah tapak projek berkenaan.

Tanpa mereka ketahui ada jentera Tunnelling Boring Machine (TBM) yang sedang mengorek batu sambil menolak masuk sedikit demi sedikit paip pembetungan yang tingginya lebih daripada seorang dewasa berdiri.

Menurut Muralitharan, secara ringkasnya proses memasukkan relung atau paip pembetungan tersebut dinamakan pipe jacking iaitu kaedah pemasangan paip tanpa membuat korekan terbuka.

Oleh kerana cutter head jentera berteknologi Jerman itu terpaksa mengorek tanah berbatu, kerja pengorekan agak perlahan. Alat berkenaan mampu memasukkan tiga batang paip pembetungan sehari iaitu bersamaan 7.2 m.

“Kami kini berada pada fasa terakhir dalam projek kawasan D43 yang melibatkan laluan pembetungan sejauh 42 km yang akan menyalurkan air kumbahan ke Loji Serantau Sungai Batu.

“Walaupun jaraknya ialah 42 km, tetapi paip pembetungan yang besar ini dipasang pada jarak 200 meter kerana ia menjadi tempat pertembungan kesemua laluan paip pembetung kecil dari kawasan yang terlibat,” kata Muralitharan, berkongsi kepakaran IWK sebagai perunding projek.

Projek yang bermula pada 2014 itu kini berada pada fasa akhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar. Ia merupakan satu daripada projek pembetungan yang melibatkan IWK sebagai Perunding Pengurusan Projek NKEA Greater KL/KV (River of Life and Non River) yang dilantik oleh JPP.

Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (ROL) adalah sebahagian daripada Projek Greater Kuala Lumpur (GKL). Ia bertujuan mengubah kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang berhampiran ke Sungai Klang agar mempunyai nilai ekonomi dan komersial yang tinggi.

Harapannya kelak ia setanding dengan beberapa negara maju seperti Korea, Singapura, London (United Kingdom) dan Paris (Perancis) yang berjaya membersih dan menaik taraf sungai di tengah-tengah kota raya mereka sehingga menjadi pusat rekreasi serta tarikan pelancong.

Justeru, usaha pembersihan sungai yang sarat dengan sisa buangan pemilik rumah, pemilik perniagaan dan industri giat dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta JPP.

Sungai Klang sepanjang 110 km itu dibersihkan agar kualiti air dapat ditingkat kepada piawaian rekreasi iaitu daripada Kelas III (indeks kualiti air 63 peratus) kepada kelas IIB (indeks kualiti air paling minimum 76.5 peratus sesuai dipegang dan sesuai untuk kegunaan rekreasi). Di samping melalui proses pengindahan sungai dan kemajuan tanah.

Dalam proses tersebut, JPP terlibat dengan bahagian pertama iaitu pembersihan sungai membabitkan sembilan projek di bawah Projek Permulaan (EPP) dan tiga Peluang Perniagaan (BO) untuk menjadi pemangkin kepada usaha ke arah mencapai matlamat GKL.

JPP juga dipertanggungjawab untuk melaksanakan sebahagian besar projek bawah EPP 5 (ROL) dan BO3 seperti melaksanakan kerja rasionalisasi di beberapa Loji Rawatan Kumbahan, Kerja-kerja CCTV dan Pemulihan Rangkaian Paip Pembetungan Awam Sedia ada di sekitar Lembah Klang.