Kerosakan tidak mengira apa jua keadaan memerlukan pemiliknya mengeluarkan belanja yang besar untuk kos pembaikan.

Menyedari keadaan tersebut Cover IT Sdn. Bhd., tampil dengan idea menginsuranskan telefon pintar anda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekuitfnya, Muhamad Zaid Samsuri, insurans telefon pintar tersebut yang lebih dikenali sebagai Cover itu merupakan sebuah aplikasi khas.

“Cover merupakan sebuah aplikasi inovatif berasaskan penetapan pelan untuk memperbaiki telefon pintar.

“Aplikasi ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menawarkan kemudahan untuk membaiki kerosakan tidak sengaja telefon pintar dan menawarkan penjimatan kos yang ketara,” ujarnya.

Tambah Muhamad Zaid, aplikasi tersebut yang dapat membantu anda membaiki telefon pintar tanpa kos yang tinggi dan yang lebih penting lagi ia dapat digunakan dengan cara yang sangat mudah.

“Ia membantu pengguna menjimatkan wang, masa dan tenaga.

“Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan memuat turun aplikasi ini dan melanggan pelan pembaik pulih yang melindungi telefon pintar pada kadar serendah RM90 untuk pelan perlindungan selama enam bulan,” katanya.

Kadar tersebut hanya sekitar 50 sen sehari dan ia menawarkan perlindungan terhadap 10 jenis kerosakan yang utama.

Lebih menarik, pakej yang ditawarkan juga boleh dipindah milik untuk melindungi telefon pintar ahli keluarga atau sahabat handai anda sekiranya pakej yang diambil belum diaktifkan.

Antara kerosakan yang dilindungi adalah keretakan skrin, kerosakan skrin sesentuh, kerosakan kamera, kegagalan fungsi bateri dan kegagalan butang halaman utama.

Seterusnya Cover turut melindungi kerosakan pelabuh (port) pengecas, kegagalan mikrofon, kerosakan pembesar suara dan kegagalan bicu fon kepala.

Setiap kerosakan tersebut akan dibaiki tanpa ada sebarang kos tambahan dan bantuan yang diberikan adalah dalam jangka masa 24 jam, tujuh hari seminggu.

Pengguna juga boleh menempah waktu yang sesuai untuk membaiki telefon pintar anda berdasarkan kelapangan dan kesesuaian waktu.

Caranya mudah, sekiranya pengguna mengalami salah satu dari 10 jenis kerosakan yang dilindungi aplikasi ini, mereka hanya perlu menfailkan laporan atau mengemukakan pertanyaan melalui aplikasi Cover.

Anda kemudian akan dirujuk kepada ejen terdekat untuk memperbaiki telefon pintar yang rosak dan mereka berada di lokasi sekitar Lembah Klang.

Oleh kerana Cover merupakan aplikasi, semua yang anda perlukan untuk membaiki telefon pintar boleh diakses melalui aplikasi ini.

Idea asal menghasilkan inovasi tersebut apabila Muhamad Zaid mengalami sendiri kos pembaikan yang tinggi, masa menunggu yang lama dan kekurangan ejen pembaikan yang boleh dipercayai apabila telefon pintar beliau mengalami kerosakan.

Jelasnya, objektif Cover ialah untuk memberi pengguna telefon pintar aplikasi mesra pengguna dan pelan pembaik pulih yang mampu milik.

Aplikasi Cover juga dapat membantu penjimatan wang dalam jangka panjang terutama ketika pengguna mengadu mengenai harga barangan.

Cover kini dipasarkan di Lembah Klang dan boleh didapati di seluruh negara tidak lama lagi menerusi Google Play dan Apple App Store.

Untuk maklumat lanjut tentang Cover, layari www.cover4u.com.my atau Facebook dan Instagram menerusi @cover4uMy.