“Tidak tahu menjahit? Jangan risau, tanpa pergi kelas anda boleh mempelajari kemahiran menjahit dengan mudah menggunakan `gajet pintar’,” kata Norulaini Mohd Ramly, 35, tatkala menjelaskan keistimewaan produknya.

Agak menarik, apatah lagi kelas mempelajari kemahiran itu boleh dikatakan agak mahal. Ada yang mencecah lebih RM2,000, itupun tidak semua teknik dan jahitan pakaian yang diajarkan.

Justeru, Norulaini yang juga Ketua Program Fesyen dan Pakaian di Kolej Komuniti (KK), Temerloh, Pahang, telah mencetuskan inovasi kaedah mudah yang membolehkan sesiapa sahaja menjadi ‘tukang jahit’.

‘Gajet pintar ’ ini meliputi beberapa kepingan blok untuk kolar baju kurung, plaket baju Melayu butang tiga dan butang lima, poket baju dan seluar, bahagian badan lelaki dan perempuan, skirt, lengan baju dan banyak lagi. Kepingan blok ini lengkap untuk sehelai pakaian.

“Ia diperbuat menggunakan perspek iaitu kepingan plastik lutsinar yang keras dan licin permukaannya bagi memudahkan proses jahitan,” katanya yang ditemui pada Majlis Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 (MCY2016) baru-baru ini.

Idea menarik ini tercetus apabila melihat kesukaran anak didiknya untuk menghasilkan pakaian yang cantik dan selesa disebabkan kegagalan melakar pola baju.

Secara asasnya, pola amat diperlukan untuk menghasilkan sepasang baju. Ia adalah lakaran lukisan bentuk badan seseorang dengan melibatkan formula tertentu yang berkaitan ukuran dan penjahit sewajarnya mahir teknik berkenaan.

Sekiranya gagal, baju itu akan menggelebeh dan pemakai berasa tidak selesa.

“Sebelum memotong kain, tukang jahit akan melakar pola di atas kertas minyak dengan ukuran tertentu. Pola yang telah siap dilukis di atas kertas akan dipotong dan dikepilkan pula di atas kain.

“Selesai ini, baharulah boleh potong kain mengikut pola kertas minyak itu.

Tetapi, dengan gajet pintar (smart gadget) anda tidak perlu melakar pola. Hanya letakkan sahaja kepingan blok mengikut saiz tertentu, misalnya bahagian lengan dan anda sudah boleh potong dan jahit,” katanya.

“Inovasi ini akan memberi manfaat ramai orang. Kalau kita lihat hari ini, tempah pakaian agak mahal. Tetapi, kaedah ini akan menarik minat ramai untuk belajar menjahit sekali gus mengurangkan perbelanjaan,” katanya.

Dua produk lain inovasi Norulaini adalah pembaris pintar (smart ruler) yang memudahkan proses melukis pelbagai garisan jahitan dengan satu pembaris serta smart pattern dan informasinya boleh diakses di Facebook smart ruler. Hasil ciptaan Norulaini ini menjadi antara produk inovasi yang dipamerkan pada majlis kemuncak MCY2016.

“MCY adalah platform terbaik untuk para penyelidik dan usahawan mengkomersialkan produk mereka,” kata Nourlaini.

Dengan pengkomersialan produk R&D tempatan itu, produk inovatif berkualiti tinggi dapat dihasilkan yang dapat menembusi pasaran luar negara dan mewujudkan jenama Malaysia.

Justeru, bagi memastikan kejayaan MCY2016 setiap agensi yang terlibat telah diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang mewajibkan mereka mengkomersialkan sekurang-kurangnya lima produk inovasi memasuki pasaran tahun 2016.

“Majlis kemuncak MCY2016 adalah untuk mempamerkan segala kejayaan aktiviti pengkomersialan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2016,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau.

Bertemakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Mencipta Kejayaan, sebanyak 150 produk yang dihasilkan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sedia untuk dikomersialkan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa tahun ini.

Produk inovatif itu antara yang dihasilkan oleh 25 organisasi, agensi dan institusi pengajian di bawah sembilan kementerian yang menguruskan R&D, sempena MCY2016. 
 - BERNAMA


Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap aktiviti pengkomersialan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi bagi membolehkan pengguna sentiasa terdedah kepada teknologi baharu.

Menyedari kepentingan tersebut, kerajaan menerusi kementerian berkenaan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan ekonomi berasaskan penjanaan inovasi termasuklah dalam menyediakan pelbagai dana atau geran bagi menyokong setiap fasa pelaksanaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Walau bagaimanapun menurut menterinya, Datuk Madius Tangau adalah sesuatu yang amat menyedihkan sekiranya duit rakyat yang digunakan bagi tujuan berkenaan tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti pencipta untuk mengkomersialkan inovasi mereka.

“Satu daripada pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa kini adalah ilmu pengetahuan dan kos mendapatkan pendidikan, latihan dan R&D memerlukan pelaburan yang tinggi.

“Bagi merealisasikan manfaat ilmu dan menerima pulangan daripada pelaburan yang telah dibuat, hasil inovasi dan penciptaan perlu dikomersialkan bagi memastikan produk tersebut digunakan dan dimanfaatkan orang ramai,” katanya.

Justeru, inisiatif MCY2016 diharap dapat meningkatkan aktiviti inovasi serta membuka mata komuniti pencipta bahawa R&D adalah penjana kekayaan buat negara melalui budaya pengkomersialan.

Kejayaan ini direalisasikan menerusi model triple helix iaitu kerjasama yang menghubungkan kerajaan, akademia dan industri menerusi pelbagai aktiviti dan bantuan yang dijalankan sepanjang tahun lepas dalam menghubungkan komuniti pencipta dengan pelabur.

Ini termasuklah melengkapkan mereka dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan serta memahami keperluan industri, pengguna supaya produk yang dihasilkan mempunyai nilai di pasaran.

“Pelan jangka masa pendek kami adalah terus memantau dan membantu mengkomersialkan produk di bawah Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Khas MCY dan memperkenalkan mereka kepada kelompok industri.

“Usaha akan diambil untuk menggalakkan antara lain, aktiviti campur tangan pengkomersialan termasuk pemadanan perniagaan dan sesi pengenalan teknologi menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan pemodal teroka,” katanya.

Contohnya, MOSTI dengan kerjasama Usahawan 1Malaysia telah mengadakan program MCY Boot Camp pada Ogos lepas yang bertujuan membina dan mengenal pasti model perniagaan dan perancangan strategik untuk kemampanan setiap produk dalam pengkomersialan.

“Sehingga kini, MCY telah menjalankan 20 program yang melibatan penyertaan daripada pelbagai pemain dalam landskap STI, industri dan pemodal teroka,” katanya.

Menariknya, peluang mendapatkan pelaburan bukan sahaja daripada insitusi pembiayaan tempatan tetapi kerajaan juga membantu menyediakan pelbagai platform agar teknologi tempatan berpeluang mendapatkan pelaburan dana asing. Bagi mengiktiraf pencapaian hebat komuniti pencipta ini, majlis kemuncak MCY2016 turut diwarnai dengan penyampaian anugerah.

Madius berkata, enam anugerah utama bagi Anugerah MCY 2016 dengan nilai keseluruhan RM1 juta berjaya direbut peserta yang bertanding terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi yang memberi sepenuh komitmen menghasilkan produk bagi dikomersialkan.

Technology Park Malaysia (TPM) merangkul tiga anugerah iaitu Pemenang Terbaik Keseluruhan, Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dan Anugerah Usahawan Penyelidik.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula menggondol dua anugerah iaitu Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan serta Anugerah Usahawan Sosial.

Anugerah Usahawan Inovator Baharu dimenangi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kesemua pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000 hingga RM250,000.