Setiap tahun kita akan lihat banyak pokok buluh dan palas ditebang untuk dibuat lemang dan ketupat. Mungkin setakat ini kita masih belum terasa tentang kecukupan pokok buluh dan pokok palas untuk dibuat ketupat. Namun, mungkin ada yang sudah terasa kerana harga sebatang buluh lemang atau sebiji ketupat palas yang mulai tinggi.

Mungkin sekarang buluh lemang dan daun palas boleh didapati secara percuma di pinggir-pinggir hutan. Harga yang dibayar hanyalah kos perkhidmatan mendapatkan sumber asli berkenaan dan pengangkutan.

Bayangkan satu hari nanti apabila permintaan buluh lemang dan daun palas akan meningkat memandangkan bilangan penduduk yang semakin bertambah, aktiviti perayaan yang banyak, kedudukan ekonomi masyarakat yang bertambah baik, gaya hidup berubah sedangkan kawasan buluh lemang dan daun palas semakin berkurangan.

Sekarang pun sudah mula berkurangan amalan tradisi lemang dan ketupat pulut di kalangan orang Melayu sempena hari raya. Mungkin kerana harga buluh, daun palas dan beras pulut, sukar mendapat daun palas dan buluh lemang, atau kemahiran membuat lemang dan ketupat palas serta peralihan budaya. Ketupat palas lebih popular di kawasan utara dan pantai timur.

Masyarakat sepatutnya mula berfikir agar sumber semula jadi buluh lemang dan daun palas bagi meneruskan budaya tradisi ini. Bekalan buluh lemang dan daun palas sepatutnya mudah didapati sepanjang tahun dengan kos yang lebih murah. Fahaman lama seperti menganggapkan buluh dan pokok palas banyak di hutan dan mudah didapati dengan percuma mungkin perlu diberikan perhatian.

Suatu hari nanti buluh lemang dan daun palas akan menjadi sama seperti aktiviti mengumpul madu dan petai liar di hutan.

Permintaan, khasiat dan pengetahuan tentang madu dan petai yang meningkat membuatkan harga bahan mentah madu dan petai menjadi mahal dan tidak mampu digunakan oleh ramai orang.

Satu sistem pengumpulan madu dan petai liar mesti diadakan di peringkat komuniti di samping mengembangkan aktiviti pengkulturan lebah dan petai secara komersial. Begitu juga harus berlaku kepada buluh lemang dan daun palas untuk jangka masa yang panjang.

Beras pulut, kelapa, buluh, daun palas dan daun pisang mesti mencukupi dan mampu dibekalkan mengikut permintaan penduduk tempatan. Sekarang beras dan kelapa mungkin diimport. Kawasan tanah untuk menanam padi pulut, buluh lemang dan pokok palas mestilah mencukupi dan tidak boleh dibandingkan dengan harga rumah dan industri sekiranya kawasan berkenaan hendak dibangunkan.

Kaedah tradisi penting bagi menjamin rasa keaslian dan khasiatnya. Teknologi makanan sekarang sentiasa aktif dalam menghasilkan lemang secara mudah dan tidak lagi menggunakan sumber asli daun pisang dan buluh.

Penggunaan bahan berasaskan logam dan plastik telah pun digunakan dalam masyarakat umum hasil daripada inovasi untuk memudahkan penggunaannya dengan harganya yang murah dan mudah didapati.

Isu pencemaran bahan kimia sudah dibincangkan secara meluas dalam media akibat daripada pemanasan bahan makanan dalam plastik dan hakisan logam dalam makanan. Bahan kimia seperti Bisphenol A and Phthalates sudah pun dibincangkan memberikan kesan kronik kepada sistem endokrin manusia. Banyak kes-kes kanser dan pertumbuhan kanak-kanak yang melibatkan bahan kimia yang dihasilkan oleh penggunaan plastik dan makanan yang dimasak dalam plastik telah juga dibincangkan.

Beberapa perkara yang perlu dilihat daripada aktiviti tradisi membakar lemang dan merebus ketupat ini seperti faktor budaya, khasiat, seni, keharmonian masyarakat dan keluarga serta banyak nilai-nilai murni lain yang berteraskan budaya Melayu secara amnya.

Kita tidak mahu akibat daripada pembangunan teknologi boleh menyebabkan tradisi dan budaya Melayu ini boleh hilang suatu hari nanti. Pakar pencinta budaya harus mengkaji bersama dengan ahli sains sekiranya ingin mengekalkan budaya ini sampai bila-bila.

Mengikut Holtum 1958, di Malaysia terdapat tujuh genera buluh yang terdiri daripada 44 jenis. Pokok buluh tergolong dalam keluarga Graminae iaitu dalam keluarga yang sama dengan jenis rumput. Pokok buluh antara tumbuhan yang penting dalam sejarah kehidupan manusia, bukan sahaja untuk membuat rumah, titi, bahan membina bangunan tinggi, perabot, makanan, malah sebagai perkakas memasak.

Pokok buluh ini tersebar di Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia di kawasan-kawasan hutan tanah rendah yang terganggu seperti sepanjang jalan dan sungai atau kadang-kadang ditanam di kawasan kampung.

Rumpun buluh memerlukan cahaya matahari penuh maka lokasi seperti tepi jalan dan sungai sangat sesuai untuk pokok buluh tumbuh. Buluh ini sesuai dalam berbagai keadaan tanah seperti tanah gembur berpasir atau tanah liat berpasir. Pertumbuhan buluh ini cepat dan boleh mencapai ketinggian maksimum dalam masa setahun.

Sifat ini sesuai untuk buluh digunakan untuk kegunaan manusia termasuk membuat lemang bagi masyarakat Asia Tenggara.

Ketupat palas atau ketupat pulut yang lebih popular di kawasan utara dan pantai timur adalah ketupat yang menggunakan daun pokok palas sebagai pembungkusnya.

Ini berbeza dengan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz dan cara membalutnya. Pucuk pokok palas digunakan untuk dibuat pembungkus ketupat pulut atau ketupat palas. Licuala spinosa atau palas duri dari keluarga Arecaceae mempunyai daun seperti kipas dan berduri boleh didapati di India, kawasan Andaman dan Nicobar, Asia Tenggara termasuk Myanmar, Thailand, Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Ianya tumbuh di kawasan tanah rendah yang terbuka dengan ketinggian 3-6 meter. Pucuk muda digunakan sebagai pembalut ketupat pulut atau ketupat palas.

Bagi menjamin harga rendah bagi buluh lemang dan daun palas, setiap daerah sepatutnya mempunyai kawasan untuk sumber dan pemuliharaan buluh lemang dan pokok palas tempatan bagi kegunaan penduduk, sekali gus mempunyai kawasan hijau yang menyokong perkhidmatan alam sekitar kepada masyarakat setempat selaras dengan cadangan LA21.

Malaysia telah mengambil inisiatif menyokong Agenda 21 sejak deklarasi Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992 sebagai menyokong pelan tindakan global ke arah pembangunan mampan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) berperanan dalam melaksanakan pembangunan mampan di peringkat tempatan sebagaimana yang dinyatakan dalam bab ke-28 Agenda 21.

Peka isu alam sekitar

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar telah pun memulakan pelaksanaan Program LA21 menerusi Program Perintis LA21 sejak bulan Mac 2000 dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Program LA21 yang memberi tumpuan kepada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat dan sektor swasta ke arah pembangunan mampan.

Kesungguhan pihak kerajaan ini, jika dilaksanakan mampu mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan harmoni serta melahirkan sebuah masyarakat yang sihat dan peka terhadap isu-isu alam sekitar, sosial dan ekonomi.

Pemuliharaan kepelbagaian biologi untuk kegunaan masyarakat tempatan mestilah diaudit dan kelestariannya dijaga. LA 21 mula disebut dalam Bab 28 Agenda 21, menyeru semua PBT di seluruh dunia untuk melaksanakan proses perundingan dengan rakyatnya, organisasi tempatan dan sektor swasta, dan mencapai persetujuan tentang ‘satu LA21’ untuk masyarakatnya.