Namun, cara itu dikhuatiri mengundang bahaya dan penipuan ketika berurusan kerana perkhidmatan itu sekadar menghubungi nombor yang tertera di iklan tanpa mengetahui latar belakang pengusaha lori.

Malah, terdapat kes pelanggan terpaksa berputih mata apabila wang hangus akibat ditipu dalam urusan sewa lori.

Bukan itu sahaja, kadar sewaan lori juga mengikut pengusaha lori biasanya tidak tetap, malah harga asal diubah kepada lebih mahal dengan alasan lori yang diminta rosak dan digantikan dengan lori yang lebih besar.

Perkara tersebut mengundang gelisah dan trauma buat orang ramai yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Justeru, Just Supply Chain Sdn.Bhd. memperkenalkan perkhidmatan JustLorry bagi memudahkan orang ramai menyewa kenderaan tersebut untuk pelbagai tujuan.

Aplikasi JustLorry boleh diakses secara dalam talian dan boleh memuat turun melalui Google Play dan Apple Store.

Pengasas Bersamanya, Denell Wong berkata, JustLorry telah beroperasi sejak 2016 berjaya membantu menghubungkan pelanggan dengan rakan kongsinya yang boleh dipercayai bagi perkhidmatan sewaan lori.

Memegang pada matlamat untuk menawarkan perkhidmatan tempahan lori pada harga yang berpatutan, beliau memberitahu, sebanyak 850 buah lori telah berdaftar yang kebanyakannya di sekitar Lembah Klang.

“Dalam tempoh dua tahun itu juga sebanyak 3,600 pengguna menggunakan perkhidmatan ini, 6,550 trip dan perjalanan sehingga 1,523,000 kilometer,” katanya.

Selain menyediakan sewaan lori bagi pemindahan barang untuk kediaman dan pejabat, JustLorry melangkah setapak lagi ke hadapan dengan memperkenalkan perkhidmatan buruh, penyimpanan (stor) dan pemindahan kotak secara selamat.

Tambahnya, pengusaha dan pemandu lori yang berdaftar dengan syarikat tersebut perlu melalui beberapa saringan dalam memastikan mereka bebas jenayah dan bankrap.

“Pelanggan pasti berpuas hati dengan perkhidmatan ini yang lebih telus dari segi harga, ketepatan masa dan diyakini selamat. Barangan pelanggan juga dilindungi insurans sepanjang perjalanan,” jelasnya.

Didik pengguna 
ke arah digital

Perkembangan teknologi yang pesat membolehkan pelbagai aplikasi dicipta secara berterusan bagi memudahkan pengguna dalam aktiviti harian.

Revolusi tersebut cukup drastik sehingga menyebabkan kita sukar lari dan perlu mengikuti perkembangan tersebut.

Pandangan negatif terhadap taraf pendidikan pemandu lori harus ditangani, justeru Just Supply Chain menggalakkan mereka berubah daripada cara sewaan konvensional ke arah digital yang lebih mudah, selamat dan sesuai dengan perkembangan semasa.

Melalui aplikasi JustLorry akan memudahkan pengusaha untuk menerima tempahan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Mereka juga akan diberi insentif dan pelan data untuk pekerjaan ini dan untuk sebarang latihan yang dianjurkan, malah mereka juga dibekalkan dengan penentu kedudukan global (GPS) bagi tujuan navigasi kenderaan,” ujarnya.

Aplikasi JustLorry yang mesra pengguna akan memudahkan orang ramai untuk membuat tempahan lori mengikut jumlah barangan.

Bagi memudahkan mereka, Denell mencadangkan agar pengguna membuat kiraan anggaran barang melalui aplikasi Inspector sebelum membuat tempahan.

“Mereka boleh memilih lori bersaiz satu tan, tiga tan atau lima tan mengikut pakej yang disediakan iaitu bajet, standard dan premium.

“Bagi menjamin keselamatan barang, pemandu lori diwajibkan merakam secara langsung semasa proses mengangkut dan memindahkan barangan menggunakan teknologi YouTube sementara pengguna boleh memantau pergerakan lori di aplikasi berkenaan,” jelasnya.