Ionic merupakan kerangka sumber terbuka hibrid yang membolehkan pengaturcara membina aplikasi mudah alih untuk sistem pengoperasian Android dan juga iOS. Aplikasi hibrid ini dibina menggunakan bahasa pengaturcaraan AngularJS, CSS, HTML dan TypeScript. Asas kerangka projek pula dibina menggunakan Bootstrap dan Cordova.

Kerangka sumber terbuka hibrid mula diperkenal sekitar tahun 2012 bagi membolehkan pengatur cara web membina aplikasi mudah alih tanpa perlu mempelajari bahasa pengaturcaraan yang baharu, serta menggunakan ilmu sedia ada ke satu tahap yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Kerangka hibrid sebegini juga dibina dengan tujuan memudahkan pendatang baharu menceburi bidang pembangunan aplikasi mudah alih dengan pantas. Walaupun tanpa sebarang pengalaman, seseorang pembangun aplikasi hanya memerlukan tempoh kurang sehari untuk memahirkan diri dengan ilmu baharu.

Selain Ionic, kerangka hibrid yang wujud di Internet termasuklah Cordova, jQuery Mobile, PhoneGap, React, Yii dan sebagainya. Justeru, tanpa membuang masa, mari kita teruskan dengan latihan minggu ini. Anda bebas menggunakan perisian pengaturcaraan yang anda gemari.

Semakan

Projek Ionic dibina melalui tetingkap DOS/Terminal tanpa memerlukan sebarang aplikasi khas. Anda bebas memilih sebarang editor seperti Notepad, Sublime, Text Wrangler dan sebagainya untuk menaip kod atur cara anda.

Bagi tujuan menguji dan mengubah suai pula, anda hanya perlukan pelayar web tanpa memuat turun dan install sebarang aplikasi emulator yang khusus. Konsep yang digunakan oleh Ionic ini sangat memudahkan semua pengatur cara baru untuk menceburi bidang pembangunan aplikasi mudah alih yang sangat menarik.

Soalan

Sebelum ruangan minggu ini ditamatkan, anda perlu menyelesaikan beberapa soalan latihan.

1. Bolehkah anda menguji projek Ionic tanpa sebarang emulator khas?

2. Nyatakan salah satu tujuan kerangka hibrid diwujudkan?

3. Senaraikan kerangka hibrid yang ada di pasaran selain Ionic.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau cadangan, sila tinggalkan komen anda di www.farizgaskin.com dan kami akan cuba jawab sepantas mungkin. Sehingga bertemu lagi dalam ruangan yang sama minggu hadapan, selamat mencuba!