Hanya stima warga kita yang kadangkala memandang penyelidikan tempatan sebagai tidak berkualiti sedangkan terdapat beberapa inovasi yang sudah memecah tembok persepsi barangan tempatan duduknya di dalam negara sahaja.

Memetik kata-kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau, terdapat beberapa inovasi kita yang sudah digunakan di negara luar sedangkan kita tidak menggunakannya.

Beliau berkata, antara inovasi tersebut adalah autopsi digital yang merupakan hasil penyelidikan tempatan dan digunakan di United Kingdom (UK). Autopsi digital bukan invasif itu membolehkan pakar bedah mengenal pasti punca kematian luar biasa dengan menggunakan perisian visual dan pengimbas canggih, berbanding pisau bedah sebelum ini.

Teknologi tersebut yang menggunakan perisian visual 3D yang unik sedia untuk merevolusikan kaedah autopsi dijalankan untuk pemeriksaan mayat pada masa depan.

Begitu juga dengan produk GranuMas yang membantu dalam rawatan tulang dan digunakan di beberapa negara luar.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu menjadikan sains sebagai ilmu yang mampu menjana kekayaan dan dengan itu, polisi sains, teknologi dan inovasi negara bertujuan mempertingkat kesedaran dalam bidang tersebut.

“Satu daripadanya adalah mempamerkan inovasi yang dihasilkan daripada penyelidik-penyelidik tempatan.

“Kita juga menggunakan pendekatan bekerjasama dengan agensi lain menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menghasilkan inovasi tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan teknologi sedia ada dan gabungkannya untuk dijadikan alat untuk memperbaiki sistem perkhidmatan.

“Bagaimana kita gunakan teknologi untuk kesejahteraan hidup (perlu diberi penekanan),” ujarnya.

Kerajaan katanya, menerusi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) berhasrat untuk menjadikan Malaysia negara maju berteraskan inovasi dan mencapai kedudukan 20 negara terbaik dalam semua aspek.

Justeru, MOSTI amat menyokong inisiatif sebegini terutama dalam sektor yang akan ditransformasikan menerusi penerapan sains, teknologi dan inovasi (STI).

MOSTI katanya, menyediakan landasan terbaik dan menyokong inisiatif ini dari sudut peneraju idea serta sumber dalam membangunkan ekonomi baru dan membentuk masyarakat yang berinovatif serta tidak terhad kepada adaptasi teknologi sedia ada sahaja, malah berupaya menjana dan mencipta teknologi baharu.

Bagi memenuhi aspirasi ini, masyarakat perlu dilengkapi dan diperkasa dengan pengetahuan berkaitan STI. Ini berkait rapat dengan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang merupakan asas yang penting dalam menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan kompetitif.

Hasrat untuk mewujudkan komuniti pintar memerlukan kita maju dalam bidang STI seperti Internet of Things (IoT), Revolusi Industri Ke-4 (Revolusi 4.0), kepintaran buatan (AI) dan juga pembangunan bandar-bandar pintar.

Beliau menambah, MOSTI mengiktiraf peranan STI dalam membantu masyarakat keluar daripada perangkap pendapatan sederhana menuju penciptaan masyarakat berpendapatan tinggi.

STI kata beliau, sangat penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan bagi meningkatkan nilai kepada ekonomi negara.

Inisiatif TN50 yang dilancarkan tahun lalu, membayangkan negara ini sebagai sebuah negara maju pada tahun 2050, dan dengan itu, berusaha untuk menjadikan Malaysia antara negara teratas dari segi perkembangan ekonomi, inovasi dan kesejahteraan rakyat.

Dengan itu, penganjuran Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan 2017 (NICE 2017) merupakan satu platform untuk mencapai objektif tersebut dengan memupuk budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan rakyat. NICE 2017 juga bertujuan untuk mempromosikan inovasi dan ekonomi kreatif, dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam bidang STI agar kekal relevan menghadapi cabaran sosioekonomi.

“Kita perlu bersedia untuk menghadapi tempoh 30 tahun yang akan datang dengan memastikan Malaysia terus berkembang dalam bidang STI.

“MOSTI percaya sepenuhnya dalam potensi dan aplikasinya dari konteks sosioekonomi untuk menyediakan wawasan dan penyelesaian bagi menghadapi kebimbangan kita yang paling mendesak, daripada memelihara negara kita dan meningkatkan kesejahteraan rakyat kepada memacu ekonomi dan membantu negara membangun secara mampan,” ujarnya.

mega utusan malaysia

Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya berkata, Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) merupakan satu inisiatif baharu untuk menyemarakkan lagi aktiviti inovasi dan kreativiti dalam kalangan segenap lapisan masyarakat di negara ini.

“Di samping itu adalah menjadi hasrat MOSTI untuk mengumpulkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi dalam suatu platform bagi membolehkan rakyat melihat, menghargai dan mencuba hasil produk dan perkhidmatan para saintis, penyelidik dan pereka cipta tempatan tempatan,” ujarnya.

Sebab itu pemilihan tema NICE 2017 iaitu Negaraku Berinovasi bertujuan menyediakan satu lonjakan agar rakyat sentiasa mempunyai daya fikiran masa depan menggunakan pendekatan sains dan teknologi, mencipta sesuatu hasilan baharu.

Inovasi tersebut memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna, menjadikan kelebihan sumber alam sekeliling sebagai pencetus aktiviti ekonomi baharu yang mempunyai nilai tambah dan sentiasa mereka cipta sesuatu yang baharu selari dengan perubahan dan kemajuan teknologi.

Katanya, mempamerkan hasil usaha kreativiti dan inovasi, mengiktiraf pencapaian saintis dan penyelidik serta mewujudkan ekosistem dan kerjasama semua agensi kerajaan pastinya merancakkan lagi usaha ini.

Atas tujuan yang sama MOSTI juga kata, beliau akan menganjurkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2017 pada 5 hingga 6 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Program-program ini akan memberi peluang kepada negara-negara untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam pemindahan dan pengkomersialan teknologi.

Sebagai bukti komitmen kerajaan dalam pembangunan R&D sebanyak RM3.87 bilion diberi untuk R&D&C dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), manakala dalam RMK-10, sebanyak RM831.4 juta dibelanjakan setakat ini.