Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan untuk tidak menghantar pemain di bawah kategori B adalah kerana Sukan Asia bukan platform untuk memberi pendedahan kepada pemain sebaliknya temasya sukan yang mempunyai standard tinggi.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meluluskan 10 pemain lelaki dan empat wanita, empat jurulatih dan seorang pengurus pasukan di bawah kategori A. BAM akan mengemukakan rayuan untuk menambah enam lagi pemain kategori B untuk diserapkan dalam kategori A termasuk penambahan dua jurulatih.

“Jika rayuan tidak diterima, BAM tidak akan menghantar pemain di bawah kategori B. MOM meletakkan panduan hanya empat pemain terbaik Asia sahaja yang layak diserapkan dalam kategori A. Pemain yang dipilih mestilah berpotensi untuk memenangi pingat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C(amp)T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Senarai nama pemain badminton yang diluluskan MOM bagi kategori A ialah Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Leong Jun Hao (perseorangan lelaki), Tan Wee Kiong-Goh V Shem, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai, (beregu campuran), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita).

Pemain kategori B yang dicadangkan dalam rayuan kepada MOM ialah Soniia, Goh Jin Wei, Lee Ying Ying, S.Kisona dan satu lagi beregu wanita yang akan dipilih namun masih dalam pemilihan BAM.

Penyertaan dalam kategori A menyaksikan atlet akan diberikan tajaan penuh manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung pihak persatuan masing-masing.

Bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B itu akan dibayar semula sekiranya atlet persatuan sukan berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa. - BERNAMA