Guru dan pensyarah telah mula menggalakkan pelajar sekolah dan kolej untuk mendapatkan kod atur cara melalui ruangan ini sebagai rujukan tambahan kepada subjek pengaturcaraan yang sedang dipelajari.

Selain ringkas dan mudah difahami, artikel ini juga boleh diperoleh di mana-mana 
stesen minyak, kedai buku 
serta pasar raya dengan harga yang sangat murah. Terima 
kasih kami ucapkan atas sokongan dan kerjasama yang diterima daripada pembaca sekalian.

Pada minggu ini, kita akan mempelajari latihan PHP bahagian keempat. Kali ini, kita akan pelajari komponen yang tidak kurang pentingnya dalam mana-mana bahasa pengaturcaraan, iaitu 
gelungan.

Gelungan biasanya digunakan untuk mengulang cetak sesuatu maklumat. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin menaip ucapan “Selamat pagi” sebanyak sepuluh kali, memadai dengan menulis ucapan tersebut sekali sahaja dan masukkan di dalam gelung yang diarahkan untuk mengulang cetak sebanyak sepuluh kali.

Melalui kaedah tadi, anda tidak perlu menulis ucapan “Selamat pagi” sebanyak sepuluh kali. Menggunakan gelungan, seseorang pengatur cara boleh menjimatkan banyak masa semasa menaip kod atur cara.

Kebiasaannya, terdapat dua jenis gelungan yang gemar diguna oleh pengatur cara iaitu gelungan For dan While.

Dalam gelungan For, arahan gelungan dinyatakan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil, manakala gelungan While pula menjalankan gelungan terlebih dahulu sebelum syarat dan arahan gelungan dinyatakan pada penghujung kod atur cara. Setiap satu gelungan ini mempunyai kelebihan tersendiri, bergantung kepada jenis output yang ingin dihasilkan.

Terdapat dua variasi untuk setiap jenis gelungan. Bagi gelungan While, terdapat while dan do..while.

Untuk gelungan For pula, terdapat for dan foreach. Tanpa membuang masa, mari kita mulakan latihan kali ini.

LATIHAN PHP

Semakan

Melalui gelungan while, sebuah pemboleh ubah x dengan nilai 1 didaftarkan sebelum gelung. Pada baris pertama gelung pula, nilai jumlah gelung didaftarkan dan gelungan dilaksanakan sekali berdasarkan nilai pemboleh ubah x tadi. Pada penghujung gelung, nilai x ditambah dan gelungan diteruskan sehingga nilai x bersamaan dengan jumlah gelung yang ditetapkan.

Melalui gelungan do..while, pemboleh ubah x dengan nilai 1 didaftarkan sebelum gelung, kemudian gelungan dijalankan terus sebelum syarat jumlah gelung dinyatakan pada penghujung gelung.

Dalam gelungan for, nilai pemboleh ubah pemula, jumlah gelungan serta pertambahan nilai pemboleh ubah gelung didaftarkan serentak pada awal gelung, manakala untuk gelungan foreach pula, jumlah gelungan diambil terus dari jumlah data yang ingin dicetak.

Melalui perbandingan setiap gelungan tadi, kebanyakan pengatur cara lebih gemar menggunakan for berbanding while, do..while dan foreach walau ia mempunyai kod atur cara yang paling ringkas. Hal ini kerana segala syarat gelungan dapat dilihat dengan mudah dalam baris yang sama, serta gelung for lebih mudah dikawal.