Misalnya bernafas, komunikasi jarak jauh, pengangkutan malah melihat pantulan wajah pada cermin juga mempunyai teori sains tersendiri.

SALINA OTHMAN
SALINA OTHMAN 

Disebabkan itu amat penting untuk memupuk minat terhadap bidang sains dalam kalangan generasi muda agar teknologi-teknologi baharu dapat dibangunkan dalam menuju status negara maju pada masa depan.

Oleh itu, bagi mencapai objektif tersebut sudah tentu usaha yang jitu perlu dilakukan oleh pihak sekolah dalam membentuk generasi muda yang minat dan sukakan sains.

Tidak mahu ketinggalan, Sekolah Rendah Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur baru-baru ini menganjurkan pesta sains antara sekolah untuk menarik minat dan membuka ruang antara murid mendalami bidang sains teknologi.

Menurut guru besarnya, Salina Othman, program yang dianjurkan oleh Unit Kurikulum dan Panitia Sains sekolah itu dapat memberikan pendedahan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai ilmu sains melalui kaedah eksperimen dan pameran model sains.

Selain itu, ia turut melibatkan demonstrasi eksperimen oleh murid-murid yang dipantau oleh guru pengiring di bawah Program Sekolah Amanah.

“Matlamat utama kita adalah untuk membuka minda murid-murid bahawa sains adalah fenomena yang berlaku di sekeliling mereka dalam kehidupan.

“Selain itu, kita juga mahu meningkatkan potensi murid dalam bidang sains dan teknologi melalui aktiviti ujikaji berdasarkan sukatan pelajaran yang diajar di dalam bilik darjah,” ujarnya.

Pesta sains berkenaan merupakan yang pertama dianjurkan secara terbuka oleh sekolah tersebut dan merekodkan penyertaan tujuh buah sekolah di sekitar Zon Pudu, Kuala Lumpur.

Tambah Salina, sebelum ini program berkenaan hanya diadakan secara tertutup, namun penglibatan yang menggalakkan daripada murid membuatkan beliau mengambil keputusan untuk membuka penyertaan kepada sekolah-sekolah lain.

Belajar di dalam kelas dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari merupakan dua perkara berbeza.

Hal tersebut diakui oleh guru Sains dari Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan, Mohd Badrul Mat Jusoh yang mengiringi tiga orang pelajarnya menyertai pertandingan pesta sains tersebut.

Katanya, beliau sentiasa menggalakkan anak muridnya menjalankan eksperimen semasa proses pembelajaran agar mereka dapat memahami dengan lebih mendalam apabila mereka membina, menyentuh dan melihat sendiri proses-proses sains yang diajar di dalam buku teks.

“Seperti hari ini saya beri mereka peluang untuk menjalankan eksperimen berkenaan dengan proses penyejatan dan pengewapan serta kitaran air semulajadi yang berkait rapat dengan fenomena hujan.

“Sebelum ini mereka hanya tahu yang hujan itu adalah hujan. Namun melalui pendidikan sains dan latihan amali telah memberikan pengetahuan yang jelas kepada mereka dari mana datangnya air hujan tersebut, bagaimana kitaran air berlaku dan sebagainya,” ujarnya.

Bagi salah seorang anak muridnya pula, Mohd Amsyar Anim, 11, hasil daripada ujikaji itu dia kini tahu terdapat beberapa proses yang berlaku sebelum hujan.

Dia yang sememangnya meminati bidang sains berkata, eksperimen itu diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami iaitu menggunakan radas makmal seperti penunu bunsen, air yang dipanaskan dan cermin.

“Proses pengewapan air yang terbentuk pada cermin akhirnya akan membentuk titisan air yang sama seperti hujan.

Sementara itu guru SK Tun Hussein Onn, Muslim Tamsir turut membawa empat orang muridnya untuk menyertai pertandingan eksperimen tersebut.

Mempertaruhkan hasil kajian mereka iaitu roket air, beliau mahu murid-muridnya bukan sekadar menjalankan eksperimen, malah bijak untuk berkomunikasi serta menerangkan kepada umum mengenai kajian mereka.

“Untuk menjadi penyelidik yang baik mereka seharusnya bukan saja pandai mencari penemuan-penemuan baharu, tetapi mereka juga harus mempunyai kepakaran berkomunikasi supaya orang luar faham mengenai kajian yang mereka lakukan itu.

“Seperti roket air yang kami buat ini merupakan salah satu topik ‘mengeskperimen’ dalam buku teks tahun lima dan murid-murid perlu menjalankan aktiviti ini secara ‘hands-on’.

Oleh itu, melalui pertandingan seperti ini dapat memberi peluang kepada murid-murid dan guru untuk bersama-sama mempraktikkan sains dengan lebih efektif.