Pelbagai aspek perlu diambil kira dan dititikberatkan dalam memacu perniagaan agar selari dengan peredaran masa.

Ditambah pula dengan perkembangan dan kemajuan teknologi pada ketika ini sudah pasti pelbagai kaedah dapat dilakukan untuk menambah baik perniagaan.

Itulah yang dilakukan oleh pemilik Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd., Fatihah Anis Ibrahim yang bukan sahaja memfokuskan kepada strategi pemasaran semata-mata, sebaliknya kreatif membangunkan teknologi.

Menurutnya, pembangunan teknologi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran.

Oleh itu, beliau telah membangunkan teknologi Flash Fry yang digunakan khas untuk menggoreng cucur badak dengan lebih sihat, mudah dan pantas.

Katanya, teknologi itu diilhamkan selepas mendapati kaedah yang lebih ampuh untuk menggoreng cucur badak sebelum disejukbekukan adalah menggunakan kaedah percikan minyak.

“Kalau guna kaedah lama kita kena guna goreng separa masak dalam minyak yang banyak, ambil masa yang lama dan kena tukar minyak beberapa kali.

“Tapi bila kita guna mesin percik minyak ni kita hanya perlu susun cucur badak atas laluan dan percik minyak di atasnya. Teknologi ini boleh menghasilkan 3,000 cucur badak hanya dalam masa sejam,” ujarnya.

Tambah usahanita itu, sehingga kini syarikatnya membekalkan lebih 20 jenis produk sejuk beku yang dipasarkan di pasar-pasar raya besar seluruh negara.

Katanya, hampir kesemua pembuatan kuih ketika ini dibuat separa automatik seperti pembuatan karipap rangup dengan menggunakan mesin untuk mencapai tahap pengeluaran yang tinggi iaitu 3,000 biji dalam masa sejam.

“Selama lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan ini, saya tidak pernah berhenti memikirkan cara yang terbaik untuk memajukan perniagaan dan melangkah ke satu tahap yang lebih baik.

“Untuk sebuah kilang, kalau buat dengan tangan (manual) tidak ke mana, kita kena guna teknologi, manfaatkan teknologi untuk mendapatkan kaedah-kaedah terbaharu yang boleh dimanfaatkan,” ujarnya.

Inovasi makanan sihat

FATIHAH Frozen Food Sdn. Bhd., merupakan salah sebuah perusahaan makanan sejuk beku yang telah bertapak dalam industri makanan Malaysia selama lebih 30 tahun.

Produk-produk yang dihasilkan pula merangkumi pelbagai jenis kuih tradisional yang terkenal seperti cucur badak, karipap, kuih pau, cakoi dan yang paling laris dan terkenal, roti perata.

Menariknya, tidak hanya memikirkan rasa sesuatu makanan, syarikat itu sentiasa berusaha menghasilkan varieti produk baharu yang mempunyai nilai khasiat yang tinggi dan berkualiti.

Menurut Fatihah Anis Ibrahim, rasa yang sedap sememangnya menjadi keutamaan dalam perniagaan produk makanan, namun perihal khasiat dan kesihatan juga harus diutamakan untuk memupuk amalan makanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Dalam mencipta sesuatu resepi baharu, saya sentiasa mencari tahu bahan-bahan yang sihat yang boleh digunakan.

“Disebabkan itu, baru-baru ini kami telah melancarkan satu produk baharu berasaskan roti perata iaitu Paratha Garlic with Tocotrienol yang bukan saja lebih enak malah diperkaya dengan bahan makanan sihat,” katanya.

Jelasnya, tokotrienol seperti diketahui umum adalah sebahagian keluarga Vitamin E yang berkhasiat tinggi dan mampu mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, Parkinson dan strok jika diambil secara konsisten.

Selain itu, tokotrienol adalah sebatian semula jadi yang diekstrak daripada buah kelapa sawit dan telah dibuktikan secara saintifik pengambilannya sebagai makanan tambahan sehingga 2500 miligram (mg) setiap kilogram (kg) berat badan tidak memberi sebarang kesan sampingan.

Dalam pada itu, menurutnya, jenama Fatihah ini bukan sahaja terkenal di Malaysia, tetapi juga semakin berkembang di peringkat antarabangsa iaitu di Brunei, Singapura, Arab Saudi dan China.

Semua produk sejuk beku telah dihasilkan dan disediakan berdasarkan kepada standard kawalan keselamatan makanan atau Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) bagi mematuhi kualiti yang telah ditetapkan.