Alga mikro seperti spirulina juga banyak dibincangkan sebagai makanan tambahan untuk kesihatan. Malaysia banyak mengimport Spirulina dari China dan Amerika Syarikat.

Pengkulturan alga mikro secara besar-besaran masih belum dilakukan di negara ini. Campuran alga mikro di dalam makanan haiwan sedia ada untuk meningkatkan kualiti makanan ayam dan ikan terutama sudahpun dilaksanakan walaupun kajian terperinci masih lagi sedang dijalankan.

Dari segi alam sekitar alga mikro dilihat sebagai bahan api bio (biofuel), pembersihan bahan pencemaran dan bahan cemar daripada air kumbahan aktiviti pertanian, industri dan domestik serta memastikan kualiti air kolam atau tasik berada dalam keadaan yang stabil.

Alga mikro juga boleh dijadikan, sebagai petunjuk biologi kepada perubahan kualiti air sungai atau tasik dan sebagai penyerap karbon dioksida yang cekap. Alga mikro juga berguna dalam industri kosmetik. Berdasarkan kepada fakta tersebut, maka pengkulturan alga berkenaan secara besar-besaran boleh dan perlu dilaksanakan bukan sahaja untuk sumber makanan dan tenaga tetapi juga untuk kepentingan global seperti kesan rumah hijau dan perubahan cuaca.

Kajian di negara ini umumnya masih tertumpu kepada perkara-perkara asas seperti mengenal pasti alga mikro, ekologinya, menjalankan ujian alga mikro dalam rawatan air buangan, alga mikro sebagai pemantau kualiti air, petunjuk biologi kepada pencemaran seperti logam berat dan interaksi dengan haiwan akuatik.

Kajian tentang alga mikro ketika ini mula melihat dari aspek penggunaannya seperti potensi alga mikro sebagai sumber tenaga baharu menggantikan bahan api fosil dan mengurangkan gas rumah hijau terutama penghasilan karbon dioksida.

Alga menggunakan banyak sumber nitrogen, fosfat, karbon dioksida dan menghasilkan biomas yang menggunakan banyak gas tersebut dan boleh menghalang aliran air. Dengan adanya cahaya matahari, alga menggunakan karbon dioksida dan air menukar kepada lemak, karbohidrat dan produk-produk lain yang boleh dikomersialkan.

Banyak kajian dijalankan untuk mencari faedah alga mikro kepada manusia secara langsung atau tidak.

Kemampuan alga mikro yang hidup dalam keadaan yang melampau suhu dan tahap keasidan (pH) membolehkannya tersebar luas di seluruh dunia.

Menurut laporan yang diterbitkan di dalam Journal Biomedical and Biodegradation 2016, China, Indonesia dan Filipina masing-masing mengeluarkan 58 peratus, 20 peratus dan sembilan peratus berbanding dengan Malaysia hanya satu peratus pengeluaran dunia. Melihat kepada potensi produk alga mikro terutama dari segi protein, karbohidrat dan lemak, kultur alga mikro mempunyai peluang yang besar untuk dikomersialkan.

Projek Fitobioreaktor Offshore Membrane Enclosures for Growing Algae (OMEGA) oleh Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat pada 2009 hingga 2012 menjalankan kajian tentang satu inovasi kaedah pengkulturan alga mikro, membersihkan air buangan, penyerapan karbon dioksida dan akhirnya menghasilkan biofuel.

Kajian tersebut tidak bersaing dengan aktiviti pertanian lain dari segi penggunaan air, tanah dan baja. Aktiviti yang dijalankan di laut dan reka bentuknya dalam keadaan yang tertutup sepenuhnya menjanjikan penghasilan alga mikro yang banyak, bersih dan terkawal.

Alga mikro yang digunakan tumbuh dengan cepat antara tujuh hingga 31 peratus lebih berbanding sawit.

Alga mikro menggunakan tenaga matahari, karbon dioksida dan nutrient dari air buangan untuk menghasilkan biomas yang boleh ditukarkan kepada biofuel di samping produk lain seperti baja dan makanan haiwan.

Projek OMEGA oleh NASA itu menunjukkan kaedah berkesan untuk mengkultur alga mikro dan merawat air buangan. Hasil alga mikro yang banyak dan cepat berpotensi untuk menghasilkan biofuel dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, mengurangkan pengasidan lautan dan meningkatkan keselamatan makanan negara.

Kaedah yang direka bentuk oleh NASA ini boleh dijalankan di negara ini sekiranya diperlukan.

Namun bagi pelaksanaan di Malaysia serta memenuhi keadaan masyarakat, status ekonomi rakyat luar bandar atau luar bandar dan matlamat pengkulturan alga mikro, kajian lebih terperinci perlu dilakukan.

Kaedah pengkulturan yang murah, mudah dilaksanakan, penggunaan baja yang efektif dan kaedah penuaian yang sesuai bagi menjamin kualiti alga mikro perlu diperkenal. Jabatan Biologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang mereka bentuk kaedah terbaik pengkulturan alga mikro untuk masyarakat luar bandar dan bandar.

Journal of Applied Phycology 2017 melaporkan permintaan dunia terhadap alga mikro dan makanan berasaskan hidupan seni itu meningkat dan peningkatan penggunaan alga mikro bukan sekadar untuk makanan kesihatan secara tradisional tetapi biofuel dan produk kecantikan.

Banyak faedah kepada kesihatan dalam produk makanan berasaskan alga mikro, tetapi cabaran besar ialah untuk membuktikan hal-hal berkaitan kesan sampingan dan faedah yang khusus. Antaranya adalah kefahaman yang terhad tentang komposisi nutrisi dalam pelbagai spesies alga mikro yang berbeza di seluruh dunia, musim yang berbeza yang mempengaruhi nilai permakanannya.

Begitu juga sejauh mana biokimia, metabolisma dan genetiknya dalam memberikan kesan kepada kesihatan manusia.

Kesan nilai nutrisi terhadap kaedah penuaian, penyimpanan dan pemprosesan makanan berasaskan mikroalga juga sedang menjadi perbahasan. Kajian tentang pengkulturan alga mikro untuk makanan sedang aktif dijalankan dengan pendekatan baharu yang lebih bersepadu dan kolaboratif.

Alga makanan manusia 

Alga menjadi sebahagian daripada makanan manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu di Amerika Selatan, China dan Ireland. Kandungan protein, lipid, karbohidrat dan keperluan-keperluan lain telah menjadikan alga mikro sebahagian daripada sumber makanan.

Kandungan protein dalam alga mikro berbeza dalam dalam kumpulan alga. Misalnya Spirulina atau nama saintifiknya Arthrospira platensis dan Chlorella mempunyai antara 50 hingga 70 peratus protein dalam alga mikro kering. Alga mikro tersebut mempunyai profil asid amino yang sama dalam telur dan mempunyai semua asid amino yang tidak boleh disintesis oleh manusia yang mesti diperoleh daripada makanan.

Pengambilan Spirulina telah lama diamalkan di Eropah dan Amerika Utara sebagai sumber protein. Banyak negara di dunia pada masa ini mengkultur Spirulina dan Chlorella secara komersial dan digunakan dalam makanan bagi menambah bahan protein dan dijual sebagai makanan protein tambahan.

Kandungan lemak yang boleh menjadi sumber minyak juga berbeza-beza antara spesies.

Antara spesies alga mikro yang boleh diusahakan untuk sumber minyak adalah Chlorella dengan 29 peratus lemak berbanding berat keringnya, Nannochloris antara 31 hingga 63 peratus, Nitzschia (antara 31 hingga 68 peratus) dan Stichococcus antara 33 hingga 60 peratus.

Kajian alga mikro sebagai sumber tenaga baharu terus aktif dijalankan walaupun idea tentang minyak tumbuhan telah diketengahkan oleh Dr. Rudolf Diesel pada 1912 lagi.

Minyak tumbuhan sebagai bahan api belum lagi menjadi keperluan pada masa itu.

Sudah sampai masanya untuk meneruskan penghasilan bahan api bio (biofuel) secara besar-besaran.

Kajian telah menunjukkan alga mikro jauh lebih tinggi menghasilkan minyak sebanyak antara 3,000 hingga 50, 000 liter sehektar setahun berbanding dengan kelapa sawit kurang daripada 6,000 liter sehektar setahun, bunga matahari (995 liter sehektar setahun), kacang soya (450 liter sehektar setahun), dan jatropa (1,890 liter sehektar setahun).

Permintaan ke atas tenaga yang terus meningkat memerlukan pilihan baharu sumber tenaga dan alga mikro boleh menjadi sumber baharunya. Keperluan sumber tenaga baharu, makanan kesihatan tambahan, kosmetik, keseimbangan alam sekitar dan lain-lain sumbangan alga mikro, kajian perlu diaktifkan di Malaysia dan merekrutkan lebih ramai saintis.