Pada ketika itu, ramai teruja untuk mencuba teknologi baharu pengaturcaraan web untuk memperbaiki produk dan servis syarikat. Ketibaan iPhone sewaktu dunia dibanjiri Blackbery, pemain MP3 dan Palm cukup menggembirakan.

Pada pembeli kali pertama, pastinya Google menjadi tumpuan untuk mencari 10 yang terbaik atau paling tidak lima yang terbaik plikasi pintar yang wajib dimuat turun ke dalam peranti baharu mereka. Antara aplikasi yang menjadi popular pada masa itu termasuklah Dropbox, Facebook, GMail, Google Map dan Twitter.

Selaku makhluk yang suka bersosial, kehadiran aplikasi Facebook dan Twitter sangat disenangi. Tidak seperti komputer, pengguna kini mampu memuat naik status terkini berserta gambar yang diambil menerusi peranti yang sama.

Menggunakan Dropbox, Gmail dan Yahoo Mail, dunia korporat tidak lagi memiliki sempadan. E-mel boleh dihantar walau sedang berdiri di dalam kereta api, fail-fail boleh dikongsi walau sedang minum kopi, dan sebarang maklumat boleh diterima dan dibalas sepantas makluman dihantar menerusi isyarat jalur lebar telefon.

Mencari tempat atau bangunan tidak lagi seperti dahulu. Dengan bantuan Google Map, pengguna boleh menjadikan telefon pintar mereka seperti peranti sistem penentu kedudukan global 
(GPS) yang dipasang pada kenderaan.

Tahun demi tahun, senarai aplikasi wajib turut bertambah seperti Google Fit, Instagram, Waze dan sudah tentulah Whatsapp, aplikasi yang merajai hati rakyat Malaysia. Menerusi aplikasi sembang Whatsapp, pengguna boleh berbual dengan rakan dan taulan tanpa sebarang kos tambahan kepada bil jalur lebar bulanan, tidak seperti menggunakan SMS.

Perlahan tapi pasti, pengguna mendapati telefon pintar membolehkan mereka melakukan tugas harian dengan lebih mudah dan pantas kebergantungan kepada komputer dan komputer riba semakin berkurangan, serentak dengan meningkatnya jumlah aplikasi telefon pintar bersifat utiliti seperti Gmail dan Office Mobile.

Syarikat pengeluar telefon pintar seperti Apple dan Samsung kini mula mengeluarkan peranti mudah alih tablet dan ‘iPad’ yang menawarkan skrin lebih besar sehingga 10 inci. Tujuannya mudah, bagi membolehkan pengguna melakukan tugas tanpa perlu merenung skrin telefon terlalu hamper kerana saiz yang kecil.

Kehadiran tablet ini ditujukan kepada segmen pengguna yang baru, iaitu kanak-kanak dan remaja berbanding golongan profesional. Ini kerana kebanyakan tablet yang penulis temui dimuatkan dengan aplikasi games yang banyak berbanding aplikasi jenis lain.

Aplikasi games mudah alih seperti Angry Birds, Asphalt, Plants vs Zombies dan Temple Run menjadi mainan wajib anak-anak. Akhirnya, tablet ini tidak lagi menjadi milik ibu bapa tetapi menjadi hak mutlak anak-anak.

Kehadiran telefon pintar bersaiz besar sehingga 6 inci menjadikan populariti tablet tenggelam dan tablet sedia ada kekal menjadi milik anak-anak di rumah. Pengguna dewasa kini kembali menggunakan telefon pintar kerana saiznya yang lebih kecil serta muat di dalam poket, di samping jangka hayat bateri yang lebih lama berbanding tablet.

Namun, penggunaan telefon pintar juga mempunyai kesan buruknya yang tersendiri. Penggunaan berlebihan penjadikan pengguna ibarat mayat hidup yang bergerak ke sana ke mari tanpa mengucapkan sebarang perkataan kepada masyarakat sekitar.

Perjumpaan keluarga atau rakan juga tidak lagi riuh seperti dahulu. Masing-masing sibuk berkejaran memuat naik status terkini ke Internet. Kita sering melihat sekumpulan manusia selama dua jam tanpa sebarang bicara kerana masing-masing sibuk mengemas kini kerja dan berbalas e-mel dengan pelanggan yang jauh.

Ada satu insiden di Perak iaitu ketika penganjuran sebuah bengkel melibatkan seorang peserta yang mengadu anaknya mengalami masalah pertuturan. Menerusi diagnosis doktor, anaknya terlalu asyik dengan permainan video sehingga kurang bertutur dan akhirnya mengalami masalah menyesuaikan diri dengan masyarakat dan persekitaran. Anaknya hanya kaku membisu jika tidak memegang peranti pintar di tangan.

Dalam satu program keusahawanan yang diadakan di Kedah dan Pahang baru-baru ini, didapati masih ramai warga luar bandar yang tidak memiliki atau menggunakan telefon pintar. Dengan kata lain sebahagiannya telah terbiasa dengan telefon bimbit jenis lama, manakala sebahagiannya pula tidak tahu bagaimana menggunakan telefon pintar sehingga kini kerana tiada tunjuk ajar mahu pun rakan yang mahir.

Di sini jelas kelihatan jurang capaian peranti pintar dalam kalangan warga bandar dan warga desa. Jika diperhatikan peratusan, kebanyakan pembeli atau pengguna adalah warga muda dan berada di bandar, manakala pengeluar atau peniaga adalah warga separuh abad yang berada di luar bandar. Namun, jurang teknologi menyebabkan kedua-dua golongan ini tidak bertemu sama ada secara fizikal mahupun digital.

Selain itu, bahasa pengaturcaraan aplikasi mudah alih yang agak sukar menyebabkan ramai warga tempatan gagal menggarap teknologi yang ada di sekeliling mereka dengan baik. Ini kerana pengguna yang agak berusia, tidak dapat memiliki aplikasi pintar yang menepati kehendak mereka seperti perakaunan GST, inventori, procurement dan sebagainya manakala warga muda pula tidak mampu mengisi kekosongan permintaan aplikasi bersaiz besar.

Usaha berterusan dari pihak kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MDeC dalam pengenalan dan pembangunan aplikasi mudah alih, aplikasi games mudah alih dan teknologi sokongan seperti Big Data dan Internet of Things (IoT) wajar diambil perhatian.

Di samping itu, usaha oleh pihak swasta khususnya syarikat-syarikat tempatan seperti Ilmu Studios dan Tracdisk dalam menyediakan kelas latihan mampu milik perlu diteruskan dan diperbanyak lagi. Pengenalan subjek sains komputer di sekolah menengah pada tahun hadapan menandakan usaha serius kerajaan dalam mewujudkan masyarakat akan datang yang mahir menghasilkan aplikasi komputer dan aplikasi mudah alih. 
- Farizshah Gaskin