SEKUMPULAN penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mempunyai kepakaran pelbagai disiplin termasuklah antaranya bahan pembinaan mampan, ketahanlasakan konkrit, pengaratan tetulang dan kejuruteraan forensik menyahut cabaran tersebut.

Kumpulan berkenaan menjalankan penyelidikan berkenaan bahan pembinaan mesra alam yang dikenali sebagai Eco-brick.

Menurut ketua kumpulan penyelidik, Prof Dr. Mohammad Ismail, penyelidikan bermula pada tahun 2011 dan siap pada tahun lalu.

Inovasi High Performance Lightweight Alkaline Activator Concrete Brick (Eco-brick) merupakan satu bahan pembinaan berasaskan teknologi hijau.

“Ia diperbuat 100 peratus menggunakan bahan buangan iaitu habuk kayu, abu terbang (PFA) dan sanga relau bagas berbutir halus,” ujarnya.

Katanya lagi, bahan-bahan ini dicampur kepada cecair alkali (sodium hidroksida dan sodium silikat) untuk membentuk sifat seakan-akan konkrit.

Habuk kayu adalah pengganti kepada pasir.

Hasilnya, bata mesra alam yang dihasilkan lebih ringan daripada bata konkrit sebanyak 48 peratus.

Kos menghasilkan ekobata pula adalah 25 peratus lebih rendah dari bata biasa.

KELESTARIAN ALAM

Selain beliau ahli kumpulan tersebut termasuk Dr. Ghasan Fahim, Dr. Mohamad Ali Saad, Dr. Mohd. Azreen Mohd. Ariffin, Dr. Nurhazifah Abd. Khalid dan Dr. Noor Nabilah Sarbini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, konkrit adalah pilihan utama sebagai bahan pembinaan sejak dahulu.

Komponen utama di dalam konkrit ialah simen. Bagi menghasilkan satu tan simen juga mengeluarkan satu tan karbon dioksida.

Hari ini dunia mula sedar akan kepentingan penjagaan alam sekitar. Hakikat perlunya menjaga kelestarian alam agar kehidupan generasi akan datang terjamin.

Maka dalam bidang pembinaan, istilah conservation, recycle, reuse (pemuliharaan, kitar semula, guna semula) mula diperkenal.

Katanya, UTM antara universiti yang awal menyelidik dan menyumbang dalam bidang berkenaan.

Kata beliau, terdapat banyak bahan buangan di negara ini.

Ada yang dalam bentuk cecair, ada dalam bentuk pepejal sama ada daripada industri atau pertanian.

Contoh cecair ialah seperti air sisa daripada industri berat, kelapa sawit dan domestik.

Sisa pejal industri seperti kepingan tembaga, sanga keluli (steel slag), enap cemar kertas (paper sludge), abu terbang (pulverished fuel ash ), sanga relau bagas berbutir halus (ground granulated blast furnace slag), manakala sisa pejal pertanian ialah abu kelapa sawit (palm oil fuel ash), abu sekam padi dan hampas tebu.

Amalan semasa ialah membuang semua sisa tersebut di lapangan mengakibatkan berlaku pencemaran alam sekitar.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan demi kesejahteraan masa depan generasi kemudian.

Beberapa ujian awal dijalankan terhadap bahan-bahan berkenaan bagi menilai sama ada ia sesuai untuk dijadikan bahan pembinaan atau sebaliknya.

Terdapat tiga pendekatan penggunaan bahan sisa di dalam konkrit. Ia boleh sebagai bahan gantian separa agregat, separa air, separa simen dan simen sepenuhnya.

Penggantian simen sepenuhnya bermaksud tidak menggunakan simen langsung.

Nilai keasidan (pH) simen tinggi melebihi 12.5, maka menggunakan sesuatu bahan yang pHnya tinggi dan bersifat simen boleh menjadi alternatif kepada simen biasa.

Penyelidikan tersebut menghasilkan bahan yang 25 peratus lebih rendah berbanding bata biasa. Untuk menghasilkan bata normal harganya berharga RM1.15, manakala eco-brick lebih kurang 90 sen sahaja.

Penyelidikan tersebut menggunakan dana dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains dan Teknologi, yang dibiayai sebelum 2018.

Mengenai perancangan, beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah kesedaran masyarakat dan penerimaan industri.

PENERANGAN BERTERUSAN


Sebenarnya universiti menghasilkan banyak teknologi dan pembuatan yang sangat bermanfaat. Walau bagaimanapun untuk mengkomesialkan produk tidak mudah.

Oleh itu penerangan berterusan terutama kepada generasi muda perlu ditingkat.

Kata beliau, teknologi seumpama itu masih baharu di negara ini, tetapi telah ada penyelidik dan persatuan yang memulakannya.

Sokongan melalui dokumen juga diperlukan untuk membolehkan spesifikasi standard dirujuk dan diguna oleh jurutera awam yang terlibat dalam reka bentuk bangunan.

“Saya berharap masyarakat dan industri di Malaysia cepat memahami, berkeyakinan dan bersama mempromosi teknologi hijau dalam apa bentuk sekali pun demi untuk kebaikan dunia sejagat,” ujarnya. 

Sementara itu menurut seorang ahli pasukan penyelidik Dr. Nur Hafizah Abd. Khalid, pihaknya masih lagi pada peringkat bekerjasama dengan industri dan belum lagi dikomersialkan.

Beliau yang juga pensyarah kanan Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan berkata, UTM mempunyai ramai penyelidik yang boleh menghasilkan inovasi yang seiring dengan permintaan industri.

“Dengan ini, UTM terutama dari Sekolah Kejuruteraan ingin membuka pintu’ dan bersedia berganding bahu bersama industri untuk menghasilkan produk berpotensi serta boleh membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi menerusi kerja perundingan.

“Ini juga termasuk keupayaan UTM membantu dalam menggandingkan elemen teknologi hijau dalam penghasilan produk yang mampan,” ujar beliau lagi.

Terkini katanya, penyelidik UTM dari Sekolah Kejuruteraan Awam sedang rancak menghasilkan produk mampan seperti konkrit bersifat tinggi ketahanlasakkan dengan minimum penyelenggaraan.