Justeru, keperluan menjana tenaga kerja dan pemikiran ke arah membangunkan persekitaran berteknologi tinggi juga amat perlu.

Antaranya, adalah menyuntik minat dalam kalangan golongan muda dalam bidang teknologi robotik dan automasi.

Usaha itu kini sedang dilaksanakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Robotic Systems Enterprise, Dafizal Derawi.

Katanya, robotik merupakan bidang yang luas penggunaannya.

Justeru, pihaknya cuba memperkenalkannya menerusi pelbagai program kepada generasi muda.

Antaranya, program Drabot Robotics Summer School 2016 (Drobot) yang merupakan aktiviti untuk mengisi masa lapang pelajar sempena cuti sekolah baru-baru ini.

“Program ini juga lebih dikenali sebagai Cuti Sekolah di Malaysia Bersama Robot Pelbagai Domain (udara, air dan darat),” katanya.

Dafizal berkata, Drabot telah mengumpulkan pelajar berumur sembilan hingga 17 tahun berkampung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara, selama 24 hari bagi mempelajari tentang robotik.

“Kami menyediakan enam model khas untuk mereka dan pelajar-pelajar tersebut dapat mengikutinya dengan baik serta berjaya membangunkan robot mereka sendiri,” katanya.

“Program ini kami laksanakan bagi memenuhi masa lapang pelajar pada cuti sekolah.

“Walau bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencari pelajar yang benar-benar berminat untuk mempelajari bidang ini (robotik),” katanya.

Pihaknya bertuah kerana peserta pada kali ini adalah mereka yang benar-benar berminat dan dapat menghabiskan program tersebut hingga ke akhirnya.

Buktinya, pada akhir program peserta berjaya membina robot mereka sendiri dan diuji menerusi pertandingan pada hari terakhir.

Kelebihan program yang dianjurkan oleh Drabot adalah pendedahan daripada peringkat awal dunia robotik seperti proses memprogram, asas kawalan, fungsi dan keupayaan penderia serta pelbagai lagi.

Kemudian, peserta akan diberikan peluang membina dan memprogram robot mereka sendiri (mengikut kategori) menerusi tunjuk ajar mentor.

“Jika sebelum ini, pelajar hanya didedahkan dengan robot Lego yang hanya melakukan pergerakan asas sahaja, di sini mereka mempelajari segala selok belok membina robot,” katanya.

Tambah Dafrizal, jika di negara maju pelajar sedari sekolah rendah lagi telah didedahkan dengan subjek coding untuk memprogram robot.

Peluang sedemikian hanya terdapat dalam kalangan pelajar universiti yang mengambil bidang kejuruteraan sahaja.

Di Malaysia, program pendidikan sedemikian ada, namun agak terhad kerana kekangan dana dan peralatan.

Perkara tersebut diakui oleh Dekan Sekolah Informatik Termaju UTM, Kuala Lumpur Prof. Dr Shamsul Sahibuddin.

Katanya, membina dan memprogramkan sebuah robot dengan kawalan sendiri mahupun automatik bukanlah sesuatu yang mudah.

“Tambahan pula dilakukan oleh sekumpulan pelajar yang bermula dari kosong pengetahuan mereka,” katanya.