Samsung Malaysia Electronics, secara rasminya telah memperkenal perkhidmatan pembayaran tanpa tunai iaitu Samsung Pay pada satu majlis di ibu negara baru-baru ini.

Samsung Pay adalah sebuah sistem pembayaran mudah alih menggunakan telefon pintar melalui sokongan teknologi Near Field Communication (NFC) dan Magnetik Secure Transmission (MST).

Sebelum ini, Samsung Pay hanya dapat digunakan oleh pengguna Maybank sahaja dalam program Open Beta, tetapi kini perkhidmatannya diperluas dan disokong oleh pelbagai institusi perbankan seperti CIMB, Citibank, Standard Chartered dan akan datang, Hong Leong Bank.

Namun begitu, buat masa ini hanya Maybank sahaja yang menawarkan penggunaan kad debit dan kad prabayar.

Bagi kesemua kad lain, ia hanya menyokong kad kredit Master Card dan Visa.

Menurut Naib Presiden, Unit Perniagaan Mudah Alih & IT Samsung Malaysia Electronics, Lee Jui Siang, Samsung Pay menyimpan maklumat kad kredit, kad debit dan kad kesetiaan di dalam aplikasi telefon pintar jenama itu.

“Pelancaran perkhidmatan pembayaran mudah alih, Samsung Pay bertujuan memudahkan pengguna membuat pembayaran tanpa perlu membawa kad kredit dan kad debit.

“Untuk membuat pembayaran, ia cukup mudah dan ringkas apabila pengguna hanya perlu mengimbas telefon pintar mereka pada mesin pembaca kad Samsung Pay.

“Teknologi ini bukan sahaja satu revolusi bagi pembayaran digital, malah turut mendapat kerjasama daripada Bank Negara Malaysia bagi meningkatkan sistem pembayaran mudah alih agar lebih selamat,” jelasnya.

Katanya, Samsung Pay kini sudah boleh digunakan di 10 negara termasuk Thailand, Singapura dan Australia.

Katanya, sehingga kini, lebih 90 peratus rakan niaga meliputi segmen makanan dan minuman, fesyen dan pasar raya di Malaysia bersedia menawarkan kemudahan pembayaran tanpa sentuh.

Pihaknya yakin lebih ramai pengguna Samsung di Malaysia akan mencuba Samsung Pay ini kerana ia sangat mudah dan yang penting selamat.

Sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia untuk menjadikan penduduk negara ini sebagai masyarakat tanpa tunai melalui program e-bayaran (bayaran elektronik), Samsung Pay juga merupakan kemudahan yang selamat dan mesra pengguna.

Yang lebih menarik kemudahan tersebut menarik ramai penglibatan dan rakan kerjasama pelbagai segmen, sekali gus memudahkan pengguna memanfatkan teknologi tanpa tunai itu.

“Kami yakin lebih ramai pengguna Samsung Pay ini akan mencuba kerana aplikasi ini sangat mudah digunakan dan selamat,” katanya.