Kehadiran mereka adalah bagi memberi sokongan kepada pasukan kegemaran yang bertanding dalam merebut kejuaraan pada kejohanan terbesar yang julung kali diadakan di negara ini.

Dianjurkan syarikat pengelola liga sukan elektronik, ESL, kejohanan itu menjadi pentas berprestij yang mengumpulkan lapan pasukan handalan termasuk Digital Chaos, Virtus Pro, Fnatic, Newbee, Team NP, Wings Gaming, WG Unity dan Execration.

Kesemuanya berentap antara satu sama lain, dengan harapan menjulang piala kejohanan dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$125,000 (RM559,625).

Hari pertama menyaksikan semua pasukan bersaing menerusi dua kumpulan iaitu Virtus pro, Newbee, Team NP dan Fnatic bertanding dalam kumpulan A, manakala Digital Chaos, Wings Gaming, WG.Unity dan Execration dalam kumpulan B.

Mempamerkan saingan bertenaga, Newbee dan Digital Chaos mendahului pasukan lain dalam kumpulan masing-masing sekali gus layak ke separuh akhir.

Perlawanan hari kedua menyaksikan enam lagi pasukan berhempas pulas merebut kedudukan separuh akhir. Dalam kumpulan A, Team NP berjaya menundukkan Fnatic pada pusingan penyingkiran, namun terpaksa akur dengan kekalahan apabila menentang Virtus Pro pada pusingan penentuan.

Sementara itu, kumpulan B menyaksikan Execration menundukkan WG Unity pada pusingan penyingkiran, namun menerima nasib sama dengan Team NP apabila kecundang dalam pusingan penentuan ketika berdepan dengan Wings Gaming.

Keterujaan memuncak pada hari ketiga apabila empat pasukan berjuang habis-habisan pada pusingan separuh akhir. Terpaksa menerima kekalahan, perjuangan Wings Gaming dan Virtus Pro terhenti, sekali gus memberi laluan kepada Digital Chaos untuk berentap bersama musuh tradisi, Newbee di pusingan akhir.

Setelah lima sesi perlawanan yang cukup mendebarkan, Digital Chaos bergelar juara menundukkan Newbee dengan kemenangan 3-2.

ESL One Genting turut menerima tajaan beberapa jenama gergasi termasuk Genting Malaysia dan Red Bull.

Timbalan Presiden Pro Gaming Perniagaan dan Strategi, ESL, Ulrich Schulze, berpuas hati dan mengagumi sokongan ditunjukkan masyarakat tempatan terhadap penganjuran itu.

“Malaysia merupakan pasaran menarik kerana Dota 2 adalah permainan yang cukup berpengaruh di negara ini. Generasi belia menyimpan minat mendalam dan mereka sentiasa mengikuti perkembangan acara besar berkaitan permainan ini. Jadi, ESL berpandangan Malaysia destinasi tepat untuk penganjuran ESL One.

Sementara itu, ahli pasukan Digital Chaos, Aliwi Omar berkata, ESL One mencabar keupayaan dan potensi sebenar setiap pasukan bertanding.

“Pusingan akhir cukup sengit dan mencabar. Kami bangun seawal pukul 5 pagi dan bermain untuk tempoh cukup lama. Adakalanya kami berasa sungguh penat, namun sorakan penonton memberi semangat untuk terus berjuang,” jelasnya.

Seorang penonton, David Ebenezer Teh kecewa dengan kekalahan pasukan kegemaran, Newbee namun mengakui ESL One merupakan penganjuran antarabangsa yang hebat.

“Saya harap lebih banyak kejohanan seperti ini dianjurkan di masa akan datang. ESL One Genting adalah satu kejayaan, selain membuktikan Dota 2 amat popular dan mempunyai peminat yang ramai di Malaysia,” ujarnya.