Malaysia merupakan antara negara yang mentafsirkan semula (redefine) pendirian itu bawah Triti Suruhanjaya Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT) sebagai Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi CTBT.

Pengarah Perancangan dan Hubungan Antarabangsa, Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Noriah Jamal berkata, Malaysia menjadi ahli ke-150 menandatangani CTBT dan merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, sejak menandatangani CTBT pada 23 Julai 1998 dan mentafsir semula pada 17 Januari 2008 jelas membuktikan Malaysia komited dalam menangani pelbagai isu nasional dan antarabangsa khasnya berkaitan dengan keamanan sejagat terutama berhubung senjata nuklear.

Secara dasarnya, teknologi nuklear melibatkan tindak balas nuklear di dalam sesebuah atom yang berupaya mengeluarkan tenaga secara banyak menerusi proses pemisahan atau pencantuman nuklear.

Penggunaan teknologi nuklear terbahagi kepada dua iaitu pertamanya bagi tujuan keamanan serta sekuriti dalam bidang pertanian, industri, alam sekitar dan penyelidikan yang memerlukan lesen di bawah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, sementara bagi tujuan perubatan perlu melalui Kementerian Kesihatan.

“Kedua, bagi tujuan bukan keamanan atau ketenteraan, teknologi nuklear boleh digunakan sebagai senjata pemusnah besar. Walau bagaimanapun, pada peringkat antarabangsa terdapat Triti Tidak Kecambahan (NPT) yang bertujuan untuk keamanan dan mencegah pembangunan serta penggunaan senjata nuklear.

“CTBT memulakan rundingan pada peringkat antarabangsa sejak 1994 hingga 1996 di Geneva, Switzerland yang diwakili Kementerian Luar.

“Keputusannya adalah triti CTBT menghalang ujian senjata nuklear oleh sesiapa pun sama ada di udara, laut atau bawah tanah,” katanya yang ditemui Mega Sains di Stesen Pemantauan Radionuklid RN42 di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.

Tambah Noriah, segala cadangan yang dibuat perlu mendapat kelulusan Kabinet, membolehkan sebarang tindakan diambil bagi memastikan negara terus kekal aman.

“Terlalu banyak faedah yang diterima apabila negara kita menyertai CTBT termasuk dari segi politik. Kita menjadi ahli bagi menyumbang keamanan dan sekuriti sama ada pada peringkat nasional ataupun antarabangsa.

“Ini bermakna Malaysia sekali gus menyokong tujuan PBB untuk ketidakcambahan nuklear dan perlucutan senjata nuklear. Malah dengan menjadi ahli, Malaysia memiliki capaian kepada data kemungkinan ujian senjata nuklear dan data-data tersebut diguna pakai bagi tujuan awam seperti mengesan kemalangan nuklear di mana-mana sahaja dan tujuan-tujuan aplikasi saintifik yang lain.

“Capaian ini terbuka kepada mana-mana negara yang menjadi ahli triti serta berpeluang juga untuk memperoleh data dari negara-negara lain yang terlibat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, mana-mana negara yang telah menandatangani triti tidak dibenarkan membuat ujian senjata nuklear atau mengambil bahagian dalam pembangunan senjata nuklear seperti yang dijelaskan dalam Artikel 18 berkaitan CTBT.

“Sementara Artikel 2 membolehkan negara-negara terlibat mengakses data maklumat sulit dalam konteks penggunaan yang terhad dan terkawal.

“Buat masa ini, di Malaysia terdapat 18 pengguna berdaftar dengan CTBT sebagai pengguna prinsipal iaitu 13 dari Agensi Nuklear Malaysia, tiga (Jabatan Jabatan Meteorologi Malaysia), dan masing-masing satu (Transformasi Perkhidmatan Awam dan Majlis Keselamatan Negara) yang memiliki akses tersebut,” ujarnya.

Artikel 14 pula, menyatakan mana-mana negara perlu mengambil masa selama 118 hari selepas 44 negara yang tersenarai dalam lampiran triti bersetuju untuk menandatanganinya, bagi membolehkan ia direalisasikan sepenuhnya.

Komitmen Malaysia

MENURUT Dr Noriah Jamal, negara ini merupakan salah satu negara yang disenaraikan dalam lampiran triti berkenaan. Ini disebabkan Malaysia memenuhi syarat bahawa ia memiliki reaktor penyelidik atau reaktor kuasa nuklear iaitu sejak 1992 lagi,” jelasnya.

Walaupun dunia menyedari kepentingan Triti CTBT, namun beberapa negara seperti India, Korea Utara dan Pakistan menolak dan enggan menandatanganinya sementara China, Mesir, Israel, Iran dan Amerika Syarikat bersetuju untuk menandatangani, namun tidak menafsir semula.

Ini menjadikan sebanyak 196 buah negara terlibat secara langsung dalam triti berkenaan iaitu 183 menandatanganinya.

Sebanyak 13 negara pula tidak menandatangani, manakala 30 tidak menafsir semula.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat sebanyak 377 buah Sistem Pemantauan Antarabangsa (IMS) di seluruh dunia yang beribu pejabat di Vienna, Australia.

“Salah satunya (IMS) terletak di Stesen Pemantauan Radionuklid RN42 di Stesen Meteorologi, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang yang diwujudkan pada 2004 dengan tujuan mengesan kewujudan pencemaran nuklear di udara, sebagai salah satu amaran awal bahawa kemungkinan ledakan nuklear telah berlaku.

“Stesen tersebut memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada kesan yang terdapat dalam udara memiliki kandungan nuklear atau tidak.

“Contohnya, jika berlakunya serangan atau balingan bom, partikulat daripada bom tersebut akan dihantar menerusi satelit untuk dikira oleh Pusat Data Antarabangsa (IDC) dan Pertubuhan Perjanjian Pengharaman Komprehensif Ujian Nuklear Komprehensif (CTBTO) bagi menentukan kandungan nuklearnya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Noriah turut memberitahu, Agensi Nuklear Malaysia berperanan sebagai Autoriti Kebangsaan (National Authority) untuk Triti itu sejak 1998.

Jelasnya lagi, pemilihan kawasan untuk meletakkan Stesen Pemantauan Radionuklid di Tanah Rata berikutan faktor ketinggian dan arah tiupan angin serta kedudukan geografinya di peta dunia. Penentuan ini dibuat oleh pihak sekretariat CTBT di Vienna.

“Sekiranya berlaku sebarang kejadian seperti kes yang melibat Korea Utara tidak lama dahulu, kesemua data di setiap negara terlibat dengan Triti diminta bersidang ke Vienna.

Ini kerana selalunya apabila melibatkan senjata nuklear atau pengeboman pastinya bersangkut paut dengan politik.

“Justeru tindakan awal perlu segera dilakukan agar kejadian tidak diingini dapat ditangani segera,” jelasnya.

Manfaat stesen RN42

STESEN Pemantauan Radionuklid RN42 yang mula beroperasi pada November 2008 mempunyai kemudahan mengesan radioaktif bagi memastikan kandungan udara di negara ini selamat.

Kewujudan stesen ini menjelaskan komitmen kerajaan untuk menjamin keselamatan penggunaan tenaga nuklear di negara dan rantau ini dan di seantero dunia.

Stesen tersebut dibina dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia yang berperanan untuk menjalankan kerja-kerja persampelan radionuklid di udara bagi menentukan sama ada kandungan udara di persekitarannya mengandungi unsur-unsur nuklear atau tidak dan konsentrasi unsur-unsur tersebut.

Stesen RN42 dilengkapi dengan peralatan moden dan terbaharu bagi pengesan serta mengukur keradioaktifan pada tahap rendah yang hampir sama dengan bacaan latar belakang.

Menurut Pengurus Stesen RN42, Faizal Azrin Abd. Razalim, pembinaan projek tersebut juga melambangkan komitmen Malaysia sebagai negara anggota CTBT dengan pendirian tegas untuk membenar penggunaan teknologi nuklear hanya bagi tujuan aman, selamat serta terkawal.

Katanya, kerjasama antara agensi pada peringkat kerajaan, antarabangsa dan pelbagai agensi membolehkan peranan stesen itu dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektif.

“Sistem pemantauan CTBT akan memantau stesen-stesennya melalui empat kaedah iaitu Pemantauan Radionuklid Partikel dan Gas Nadir atau Noble Gas, Pemantauan Seismik, Pemantauan Infrasound dan Pemantaun Hidro Akustik sama ada di bawah air, bawah tanah dan udara.

Malaysia hanya menempatkan Stesen Pemantauan Radionuklid di Tanah Rata buat masa ini.

“Kedudukan stesen ini di Tanah Rata amat bersesuaian kerana memiliki faktor suhu yang lembab sehingga 80 peratus, sekali gus membolehkan bacaan diambil dengan tepat,” katanya.

Sesuatu jisim yang sangat panas dan bercahaya akan bergabung membentuk awan radioaktif akibat dari letupan nuklear.

Apabila awan sejuk, radionuklid mengewap dan melekat kepada aerosal di dalam awan yang dibawa oleh angin.

Tambah Faizal Azrin, stesen tersebut akan menyedut partikulid debu yang diterbangkan oleh angin melalui inlet di Tapak Air Sampler bagi membolehkan proses persampelan sebelum data-data dihantar ke IDC menerusi satelit bagi memastikan kandungan radioaktif di dalam udara.

Mesin tersebut akan beroperasi selama 24 jam sehari dan mengambil masa selama 72 jam bagi menyiapkan satu proses sampling sebelum data-data mentah dihantar ke IDC.

“Sampel-sampel itu akan disimpan dan akan di hantar semula ke Vienna pada setiap tiga bulan bagi membolehkan mereka menghantarnya ke makmal di seluruh dunia untuk menganalisis semula kandungan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang perjalanan kerjaya di stesen RN42, stesen tersebut turut diiktiraf sebagai stesen terbaik pada dua tahun lalu kerana sejak diwujudkan tiada lagi sebarang kelewatan laporan.