Kebanyakan penggunaan stim daripada dandang lebih tertumpu kepada memusingkan turbin untuk penjanaan kuasa elektrik dan pemanasan produk, namun penggunaannya di hospital amat penting bagi menyahkuman atau steril perkakasan pembedahan untuk mengelak jangkitan kuman kepada pesakit.

Bidang kejuruteraan dandang telah wujud di Malaysia bermula pada tahun 1890-an iaitu kerajaan telah mewujudkan satu perundangan untuk memantau keselamatan mesin ini iaitu The Selangor Boiler Enactment 1892. Oleh kerana penggunaannya tertumpu di kawasan luar bandar dan perladangan, maka ia kurang dikenali walaupun kerja dalam bidang ini amat penting.

Memandangkan dandang mempunyai risiko yang tinggi, kerajaan mewajibkan pendaftaran setiap pemasangan dandang dalam industri mahupun premis dan wajib dioperasikan oleh Orang Yang Kompeten (OYK) yang ditauliahkan kompetensinya oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Walaupun dandang berisiko dan memerlukan pengetahuan teknikal yang mantap, ia tidak menjadikan satu halangan bagi seorang jurutera muda yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik untuk menjadikannya satu minat dan hobi.

Muhammad Salahuddin Abdul Majid membesar dalam persekitaran Felda telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekanikal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2000.

Beliau memulakan kerjaya dengan salah sebuah syarikat Jepun sebagai pereka kotak pembesar suara di Klang sebelum bertukar bidang ke sektor perkilangan berasaskan sawit di salah sebuah kilang milik Felda Palm Industries Sdn. Bhd. pada penghujung 2001. Muhammad Salahuddin kemudian berpindah ke sektor penjanaan janakuasa di Loji Janakuasa Biomas Sahabat di Lahad Datu, Sabah pada 2006 hingga 2011 sebelum berkhidmat di salah sebuah Loji Petrokimia sehingga kini.

Bermula dengan hanya memiliki sekeping lesen kompetensi Jurutera Stim Gred 2, beliau memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang dandang dengan menaik taraf lesen keupayaan dan kini memiliki lesen Jurutera Stim Gred 1.

Malah beliau juga pernah memegang lesen kompetensi Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan beberapa lesen berkaitan.

Minat yang amat menebal dan mendalam dalam bidang dandang bukan hanya dipraktikkan di tempat kerja, malah menjadikan ia sebagai hobi.

Setiap hujung minggu, beliau akan mengisi masa lapang dengan mengadakan program sendiri yang diberi nama Jalan Jalan Cari Boiler (JJCB).

Menerusi program tersebut, beliau akan melawat dandang di premis sahabat berdekatan bagi melihat sendiri kerosakan atau kecacatan yang dihadapi dan memberi khidmat nasihat secara percuma.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga sering dipanggil untuk memberi ceramah dalam seminar berkaitan dandang dan bidang keselamatan.

Malah, cuti tahunan beliau juga dihabiskan untuk aktiviti melibatkan dandang.

Beliau yang digelar ‘Dukun Boiler’ sangat terkenal dalam media sosial dan warga industri atas pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang dandang.

Gelaran itu dicetuskan oleh bekas Ketua Pengarah JKKP , Datuk Ir. Dr. Johari Basri pada majlis penutup Kursus Boiler 1 Persatuan Kejuruteraan Enjin Pembakaran Dalam dan Stim Malaysia (MSIEA) kerana kekagumannya terhadap Muhammad Salahuddin atas kejayaan luar biasa mengajar 500 peserta yang terdiri daripada pelbagai tahap pendidikan dan industri di Kuantan, Pahang.

Beliau juga kini merupakan salah seorang Boiler & Pressure Vessel Committee di bawah Jabatan Standard Malaysia dan pernah menganggotai panel industri termuda dalam Kajian Keperluan OYK bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di bawah kelolaan Institut Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Muhammad Salahuddin juga berjaya menaikkan nama persatuan yang terlibat secara langsung dalam bidang dandang iaitu MSIEA sebagai setiausaha kehormat bermula penubuhan pada 2013 hingga kini.

Idea luar biasa

MSIEA sangat aktif menganjurkan program atau kursus mahupun latihan kepada pengamal dalam bidang dandang.

Idea yang luar biasa daripada Muhammad Salahuddin sememangnya ditunggu-tunggu oleh semua pengamal dalam bidang dandang kerana ia telah menarik minat anak tempatan mengenali bidang ini dengan lebih dekat dan seterusnya memartabatkan bidang dandang di mata masyarakat.

Kejayaan Muhammad Salahuddin bersama MSIEA mencipta rekod dengan penganjuran kursus teknikal kelolaannya bersama Politeknik Kota Kinabalu amat mengujakan. Kursus Asas Kejuruteraan Dandang telah mencipta jumlah penyertaan terbanyak iaitu seramai 1,098 orang.

Kursus ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) MSIEA yang ditawarkan secara percuma kepada semua institusi pengajian tinggi, kolej teknikal, kolej kemahiran dan intitusi latihan yang berminat dari seluruh Malaysia.

Majlis penyerahan sijil daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) diserahkan melalui wakilnya, Nurul Syahirah Mohd. Yusof kepada MSIEA yang diwakili oleh Muhammad Salahuddin.

Ia adalah atas kejayaan penganjur mencipta rekod Most Number of Participants dalam Kursus Kejuruteraan Dandang sambil disaksikan oleh Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman yang diiringi Timbalan Pengarah Akademik dan Sokongan Akademik, Norhanum Awang dan Mohd. Shahran Mohaidin.

Pakar teknologi dihargai

Politeknik Kota Kinabalu (PKK) ternyata amat teruja dan kagum terhadap pencapaian Muhammad Salahuddin yang boleh dianggap sebagai mutiara dalam bidang teknologi dandang.

Program beliau bukan hanya ceramah tetapi juga kursus teknikal yang melibatkan penerangan melalui lakaran diagram, graf dan pengiraan formula.

Muhammad Salahuddin bukan sahaja mencipta rekod, namun telah mengukir lima kejayaan melalui kursus yang dijalankan itu.

Selain kursus asas kejuruteraan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), ia juga disenaraikan sebagai salah satu kelas bersama pensyarah industri, kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dipilih sebagai faktor wow kepada PKK .

Satu majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara PKK dan Persatuan Kejuruteraan Enjin Pembakaran Dalam dan Stim Malaysia (MSIEA) diadakan dan antara tujuannya adalah perkongsian teknologi serta ilmu berkaitan bidang dandang untuk kebaikan kedua-dua pihak.

Menurut Muhammad Salahuddin, tujuan utama Kursus Asas Kejuruteraan Dandang bukan untuk mencipta rekod, namun untuk memberi pendedahan awal tentang bidang teknologi dandang serta mempersiapkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengorak langkah ke alam pekerjaan suatu hari nanti.

Beliau juga berharap kerjasama yang terjalin baik antara MSIEA dan PKK serta semua IPT lain dapat dikembangkan dari semasa ke semasa. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKK atas pelantikannya sebagai penasihat teknikal untuk teknologi dandang serta pensyarah industri untuk subjek Termodinamik.

Menurut Muhammad Salahuddin, tip penting yang membolehkan beliau menyampaikan pengajaran dengan baik dan lancar di hadapan kumpulan yang ramai adalah mengolah bidang teknikal dalam gaya bahasa yang mudah difahami dan mengaitkan tubuh badan manusia serta kehidupan seharian dalam memberi penerangan teknikal berkaitan dandang.

Kaedah tersebut mampu menjadikan peserta ceria dan cergas mendengar penerangan teknikal bersama celoteh dan jenaka sepanjang lapan jam kursus berlangsung.

Muhammad Salahuddin tidak serik dengan halangan atau dugaan sepanjang beliau melayan hobi ini. Menurutnya, walaupun gaji itu penting, janganlah kita bekerja semata-mata kerana gaji, bekerjalah kerana kepuasan kerja itu sendiri.

Inilah kata-kata semangat yang membuatkan beliau tidak berhenti melakukan aktiviti serta program luar biasa berkaitan bidang dandang.

Dengan tersenyum, beliau mengatakan akan membuat kejutan lain dengan mencipta rekod mengajar dandang sambil berkayak ke tengah Laut China Selatan pada penghujung tahun ini.

Beliau amat yakin bidang dandang akan menjadi salah satu kerjaya pilihan pelajar dan masyarakat Malaysia.