Menerusi asas itu, suatu dana pengkomersialan dengan nama Biotechnology Commercialization Fund (BCF) menerusi Malaysia Bioeconomy Corporation telah dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) untuk membantu pembangunan industri berasaskan bio yang dilancarkan baru-baru ini oleh menterinya, Datuk Madius Tangau.

Dana sebanyak RM 100 juta itu disalurkan dalam bentuk pinjaman mudah sebagai bantuan kewangan kepada syarikat industri kecil dan sederhana dan syarikat matang industri berkaitan.

Menurutnya lagi, dana seperti itu membuktikan komitmen dan tumpuan berterusan kerajaan untuk membangunkan sektor berasaskan bio selain mengukuhkan prasarana kewangan dan pembiayaan bagi memperkasakan lebih banyak syarikat berasaskan bio, membantu mengembangkan perniagaan mereka. Dana pengkomersialan BCF itu juga merupakan susulan kepada Geran Pengkomersialan Bioteknologi (BCG) yang diperkenalkan di bawah pelan RMK-9.

Sebanyak RM 159.7 juta di bawah pelan pembangunan BCG memberi faedah lebih 81 penerima dan mengunjurkan pertumbuhan pelaburan sebanyak RM 1 bilion serta lebih 1,000 peluang pekerjaan. Menerusi data yang terkumpul sehingga tahun 2015, lebih RM716 juta dimanfaatkan.

“Dengan tawaran kadar faedah rendah hingga lima peratus sahaja dan lanjutan tempoh pembayaran semula selama 18 bulan sekali gus memudahkan pembayaran balik hutang oleh pemohon. Dijangka antara 30 hingga 50 buah syarikat menerima manfaat daripada dana ini sehingga penghujung tahun 2020,” kata beliau dalam ucapannya ketika majlis perasmian Karnival Kewangan Bank Negara di ibu negara baru-baru ini.

Hadir sama timbalannya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul dan Pengerusi Bioeconomy Corporation, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bioeconomy Corporation, Syed Agil Syed Hashim dan Ketua Bahagian Kewangan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Azizi Mustafa.

Menurut beliau lagi, pada akhir tahun 2015, pelaburan sebanyak RM19.5 bilion dicatatkan daripada syarikat berstatus BioNexus memberi impak yang tinggi terhadap pelaburan asing serta syarikat lain menerusi Bioeconomy Corporation.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM 7.1 bilion telah direalisasikan hingga ke dasar. Saya percaya bioekonomi dapat berkembang pesat pada masa depan jika kita merangka pelan dengan sempurna dan mengelola secara berhemah perusahaan berkaitan bio yang tersedia di pasaran,” ujarnya lagi.

Pada penghujung Disember lalu, sebanyak 278 syarikat industri kecil dan sederhana telah memperoleh status BioNexus, iaitu anugerah yang diiktiraf oleh Bioeconomy Corporation sebagai status kelayakan Program Transformasi Bioekonomi (BTP) dan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP).

Sementara itu, menurut Dr. Zakri, pinjaman BCF ditawarkan menerusi dua skim untuk menampung pelbagai keperluan syarikat berasaskan bio.

“Skim Sokongan Perniagaan adalah bagi modal kerja sehingga RM600,000 bagi 
setiap permohonan, manakala Skim Pembangunan Bioekonomi adalah bagi pertumbuhan 
dan pengembangan sehingga RM3 juta bagi setiap permohonan.

“Skim-skim ini menyumbang kepada kemampanan tempoh jangka panjang perniagaan yang dimiliki oleh syarikat berasaskan bio, merupakan kunci bagi pembangunan bioekonomi yang lebih kompetitif dalam negara,” jelasnya.

MIDF Berhad diberikan mandat untuk menguruskan dana pengkomersialan BCF yang telah pun menjalin kerjasama strategik terhadap polisi kerajaan dan Bioeconomy Corporation sejak tahun 2005.